24 Disember, 2008

Alahai Tanah Perak!

-
Bukan kuasa negeri

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 23 Dis. – Cadangan Kerajaan Perak untuk memberikan status hak milik tanah pegangan kekal kepada penduduk di kampung baru dan kampung tersusun di negeri itu tidak boleh dilaksanakan sehingga ia diputuskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan cadangan tersebut secara bersendirian sebaliknya perlu melalui keputusan yang diambil oleh MTN.

‘‘Dari segi dasar dan Perlembagaan Persekutuan, cadangan itu tidak boleh dibuat secara unilateral sebaliknya mesti melalui MTN,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ke-64 majlis tersebut di sini hari ini.

Pada 27 Jun lalu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin ketika menggulung usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, rasional untuk memberi hak milik kekal dibuat berdasarkan prinsip keadilan dan ia mengikut apa yang dibenarkan oleh Kanun Tanah Negara.

Di seluruh Perak, terdapat 60,000 penduduk di kampung baru dengan kira-kira 80 peratus kaum Cina.

Sementara Rancangan Kampung Tersusun (RKT) pula terdiri daripada 73,703 penduduk dengan pecahan 44.02 peratus Melayu, Cina (37.93 peratus) dan India (18.05 peratus).

Langkah kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas itu mendapat kritikan pelbagai pihak yang melihat ia lebih bermotifkan politik kerana dicadangkan hanya selepas tiga bulan pakatan pembangkang itu menguasai kerajaan negeri.

Setiausaha Persatuan Anak Perak di Selangor dan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Mohd. Hilmi Ismail dipetik sebagai berkata, jika kerajaan negeri meluluskan mana-mana tanah secara pegangan bebas, ia bercanggah dengan Seksyen 76 (aa) subseksyen (iii) Kanun Tanah Negara.

Jika diluluskan, keputusan itu tidak sah dan boleh dibawa ke mahkamah untuk dibatalkan manakala sekiranya dikeluarkan secara pajakan, ia terhad kepada tempoh maksimum 99 tahun dan bukan 999 tahun, katanya.

Najib menjelaskan, pada masa ini Dasar Tanah Negara menetapkan bahawa pegangan selama-lamanya diberikan bagi maksud penggunaan Kerajaan Persekutuan dan tujuan awam selain maksud tertentu yang terhad.

Bagaimanapun beliau berkata, Kerajaan Perak telah mengemukakan cadangan untuk memberikan hak pegangan selama-lamanya kepada kampung baru dan kampung tersusun di negeri tersebut.

“Seperti sedia maklum, MTN ditubuhkan mengikut Perlembagaan dan tujuannya untuk menyelaraskan dasar tanah negara supaya akan wujudkan keseragaman di antara negeri-negeri,” katanya.

Justeru menurut Najib, satu mesyuarat khas MTN akan diddakan tidak lama lagi untuk membincangkan perkara tersebut manakala kertas kerja Kerajaan Perak mengenai cadangan berkenaan dijadualkan dibincangkan dalam mesyuarat MTN akan datang.

Ditanya apakah alasan kerajaan negeri mencadangkan pemberian hak milik kekal itu, beliau menjelaskan, sebarang alasan yang diberikan tidak boleh bertentangan dengan dasar tanah negara yang diputuskan oleh MTN.

Sementara itu, Najib berkata, jawatankuasa MTN turut mengambil maklum bahawa sistem e-tanah akan diteruskan di Negeri Sembilan dan Melaka pada tahun depan selaras projek rintis di Pulau Pinang dilaksanakan.

“Sekiranya projek tersebut berjalan lancer dan memberikan kesan, ia akan diperluaskan ke seluruh negara,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Disember 2008

*****************************

Hak milik tanah kekal di Perak sah - Exco

IPOH 23 Dis. - Kerajaan campuran negeri Perak tetap berpendapat pemberian hak milik tanah pegangan kekal atau selama-lamanya bagi kampung baru dan kampung tersusun di negeri ini adalah sah dan mematuhi Kanun Tanah Negara.

Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pemberian hak milik tanah itu memang boleh dilaksanakan kerana ia selaras dengan syarat keadaan khas yang terkandung di bawah kanun tersebut.

"Kita ada kriteria yang dipanggil sebagai keadaan khas di bawah Kanun Tanah Negara untuk meluluskan pegangan tanah kekal.

"Kampung baru dan tersusun memenuhi syarat keadaan khas itu kerana kerajaan yang lepas telah menafikan hak penduduk untuk memperolehi pegangan kekal sedangkan penduduk di kawasan lain memperolehinya,"katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya hari ini bahawa cadangan Kerajaan Perak itu tidak boleh dilaksanakan kerana perkara berkenaan perlu diputuskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) terlebih dahulu.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan cadangan tersebut secara bersendirian sebaliknya perlu melalui keputusan yang diambil oleh MTN.

Mengulas lanjut, Koo Ham berkata, penduduk kampung baru layak mendapat hak tanah
selama-lamanya kerana kawasan itu telah lama wujud iaitu sejak zaman Kerajaan British lagi.

Kata beliau, selama lebih 50 tahun penduduk tinggal di kawasan berkenaan tetapi masih tidak mendapat hak milik kekal dan kerajaan negeri sekarang mahu mengubah keadaan tersebut.

"Penduduk terbabit telah dipaksa untuk tinggal di kampung baru oleh kerajaan British bagi tujuan kurungan atas alasan mengelak ancaman komunis.

"Mereka telah banyak menderita dan sebagai kerajaan rakyat, kita akan memperbetulkan ketidakadilan yang telah dilakukan kepada mereka," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Disember 2008

***************

Artikel berkaitan:

1. Tanah Perak digadai secara 'sistematik'
+

1 ulasan:

Pemilik blog tidak bertanggungjawab dengan komen yang anda berikan. Adalah dinasihatkan setiap komen dibuat mengikut lunas undang-undang. Terima kasih.