-
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN 28 Dis. - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyalurkan sebanyak RM67 juta pinjaman perniagaan kepada 1,200 usahawan bumiputera di Pahang pada tahun ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Mara negeri, Roziah Osman berkata, pembiayaan itu bagi melahirkan usahawan bumiputera berdaya saing dan maju di negeri ini.
Katanya, pinjaman maksimum sehingga RM100,000 seorang itu memberi kemudahan kepada usahawan bumiputera mendapat modal pusingan supaya perniagaan mereka terus berkembang.
''Pembiayaan Mara membabitkan pinjaman untuk pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, pemborongan dan runcit,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Ekspo Keusahawanan Mara peringkat daerah yang dirasmikan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Muttalib di Dataran Teksi Maran di sini hari ini.
Roziah berkata, Mara bukan sahaja membantu dari segi kewangan tetapi juga galakan moral kepada usahawan bumiputera dengan mewujudkan pelbagai anugerah kepada mereka.
Beliau turut mengingatkan usahawan bumiputera supaya mewujudkan jaringan perniagaan kerana hubungan seumpama itu dapat memantap dan mengembangkan perniagaan.
Tegasnya, jaringan seumpama itu yang diamalkan peniaga kaum Cina terbukti berkesan dalam mengembangkan perniagaan.
''Contohilah usahawan Cina yang berjaya dalam bidang ini yang membuktikan bahawa jaringan perniagaan menjadi nadi kejayaan dan perkembangan empayar perniagaan mereka,'' katanya.
Selain itu, Roziah menegaskan, sektor perniagaan bumiputera akan berkembang jika mereka meningkatkan ilmu pengetahuan, kemampuan dan rangkaian perniagaan.
Tambah beliau, Mara akan terus memberi sokongan menyediakan skim promosi pemasaran seperti bantuan pengiklanan, pelabelan, penyelidikan dan pembangunan, lawatan serta bantuan penyewaan mesin kepada peniaga.
Katanya, skim promosi pemasaran bagi membantu usahawan bumiputera memasar dan mempromosikan produk mereka di tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti ekspo dan pusat beli-belah.
Sumber: Utusan Malaysia, 29 Disember 2008
+
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pemilik blog tidak bertanggungjawab dengan komen yang anda berikan. Adalah dinasihatkan setiap komen dibuat mengikut lunas undang-undang. Terima kasih.