-
03/01/2009 1:40pm
KUANTAN 3 Jan. — Hujan yang berterusan sejak malam semalam mengakibatkan 106 orang daripada 28 keluarga di daerah Kuantan terpaksa dipindahkan selepas kawasan penempatan mereka mula dilanda banjir.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berkata usaha pemindahan mula dijalankan sejak 9.30 pagi di tiga kawasan selepas air naik setinggi 1.2 meter.
“Kawasan itu ialah Kampung Jeliang dan Pekan Sungai Lembing melibatkan 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di Balai Polis Sungai Lembing manakala empat orang dari Kampung Paya, Panching pula ditempatkan di Dewan Serbaguna Panching,” katanya ketika dihubungi Bernama. Setakat ini, tiga batang jalan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan iaitu KM9 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, Jalan Pekan-Nenasi dan KM36 Jalan Kuantan-Maran.
Sementara itu, katanya usaha menyelamat sedang dijalankan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam bagi mengeluarkan 10 orang yang terperangkap di Sungai Bekelah dekat sini. Katanya pihaknya menerima laporan pada 10 pagi ini selepas mangsa yang sedang berkelah di situ tidak dapat keluar apabila air sungai mulai naik. — BERNAMA
Sumber: Utusan Malaysia, 3 Januari 2009
+
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pemilik blog tidak bertanggungjawab dengan komen yang anda berikan. Adalah dinasihatkan setiap komen dibuat mengikut lunas undang-undang. Terima kasih.