26 Mei, 2009

Satu Sekolah Untuk Semua & Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010

-
Penulis pohon kemaafan kepada semua pembaca kerana sudah agak lama tidak mengemas kini blog dengan posting terbaru. Penulis sangat sibuk dengan pelbagai perkara dan tugas yang perlu diselesaikan. Terima kasih kepada yang memberikan e-mel bertanya khabar dan sebagainya (saya amat menghargai keprihatinan rakan semua).

Penulis juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan padu yang diberikan terhadap Kempen Satu Sekolah Untuk Semua (SSUS) oleh seluruh Anak Bangsa Malaysia yang benar-benar ikhlas ingin melihat anak-anak kita bermain, beramah mesra dan saling memahami di bawah satu bumbung persekolahan seawal usia kanak-kanak lagi.

Seperti apa yang penulis khuatir akhirnya berlaku juga. Ranjau sudah pun menanti di sepanjang jalan. Para aktivis dan pemimpin politik telah melihat kempen ini dari sudut yang sangat negatif. Kempen ini nampaknya tidak bermakna bagi pihak yang hanya memikirkan undi. Jelas sekali pemimpin tidak mahu berjiwa sebagai seorang negarawan apabila berdepan dengan isu ini.

Suara murni rakyat nampaknya tidak membawa apa-apa makna tanpa sokongan dari penggubal undang-undang (ahli politik). Tan Sri Muhyiddin dilaporkan menolak usaha ini. Namun, penulis menghormati keputusannya. Beliau mempunyai hak menerima atau menolak dan rakyat pula mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat melalui saluran yang betul demi negara tercinta.

Walau bagaimanapun, reaksi yang berlebihan ditunjukkan oleh pemimpin MCA iaitu Dato’ Dr. We Ka Siong. Wee Ka Siong selaku Timbalan Menteri Pelajaran I dilaporkan telah mengancam membuat laporan polis dan mengenakan tindakan undang-undang disebabkan kurang senang dengan kempen yang dilancarkan oleh komuniti Demi Negara.

Anehnya, ancaman laporan polis tidak pula kedengaran dari mulut Wee Ka Siong apabila beberapa pertubuhan Cina menuntut pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Cina ingin menyerahkan memorandum dan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran. Dimanakah Wee Ka Siong?

Sepatutnya, jika benarlah Wee Ka Siong berjiwa pemimpin tulen sudah tentu beliau mendesak pertubuhan tersebut kalau ingin membuat tuntutan sekali pun biarlah menuntut diajar dalam Bahasa Malaysia selaku bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Sekarang siapa yang perkauman sebenarnya? Dan dengan kedudukannya selaku Timbalan Menteri Pelajaran I sepatutnya beliau memperjuangkan dasar yang digubal oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Pernahkah agaknya Wee Ka Siong membaca dan memahami inti pati apa yang digariskan oleh Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010? Selaku Timbalan Menteri Pelajaran I adakah tindakan beliau mempertahankan pengasingan kaum melalui sistem pendidikan ini selari dengan kehendak PIPP? Tolong tolak ke tepi soal undi apabila bercakap soal perpaduan kaum melalui sistem pendidikan yang seharusnya wujud di negara kita.

Berikut penulis perturunkan hanya beberapa petikan ayat dari dokumen PIPP 2006-2010 (terlalu banyak kepincangan dengan scenario sebenar jika hendak diteliti ayat demi ayat dalam keseluruhan dokumen). Mari sama-sama membuat perbandingan sama ada kehendak PIPP itu bakal terlaksanakah dengan multi sistem pendidikan pada masa kini?


Dalam menjayakan Misi Nasional, KPM menyediakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) secara menyeluruh yang menggariskan fokus, strategi utama dan pelan pelaksanaan untuk menjadikan pendidikan negara relevan dengan keadaan semasa dan masa hadapan. Dengan usaha ini, setiap jurang dan kekurangan dalam pendidikan akan diberikan tumpuan. Selain itu, proses menganalisis sejarah, perkembangan dan pencapaian dalam bidang pendidikan dijalankan kerana kesemua aspek ini merupakan tunjang dalam merangka strategi penyediaan PIPP, KPM.

(Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, KPM, ms. 16).

Misi Nasional menggariskan keazaman untuk untuk menjadi sebuah negara yang teguh, maju dan bersatu kekal utuh walau pun terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi. Bersatu? Adakah dengan 3 sistem? Atau lebih baik dengan hanya 1 sistem? Mengapa tidak dicuba 1 sistem pendidikan? Bukan mati pun anak-anak kita bergaul sesama kaum di satu bumbung sekolah yang sama!

PIPP dikatakan menggariskan focus, strategi utama dan pelan pelaksanaan untuk menjadikan pendidikan negara relevan dengan keadaan semasa dan masa hadapan. Antara fokus penting yang diberikan tumpuan di dalam PIPP ialah aspek memperkasakan Sekolah Kebangsaan yang ditulis secara khas di Bab 6 di bawah tajuk Memperkasakan Sekolah Kebangsaan (ms. 76 – 88).

PIPP menggariskan bahawa setiap jurang dan kekurangan dalam pendidikan akan diberi tumpuan. Namun jurang dalam sistem pendidikan yang terasing dipisah-pisahkan seperti dasar Pecah-Perintah masih belum dapat ditangani oleh Kementerian Pelajaran Malaysia disebabkan oleh pelbagai ragam aktivis dan ahli politik.

Sistem pendidikan yang terasing ini seolah-olah menampakkan evolusi sistem pendidikan kita yang tidak berubah semenjak Zaman Pramerdeka (sebelum 1957) seperti mana yang dihurai di dalam PIPP (Bab 2, ms. 16-28):


Zaman Pramerdeka (sebelum 1957)

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, pendidikan yang wujud adalah terasing, selari dengan corak pemerintahan Pecah-Perintah yang diamalkan penjajah Inggeris. Setiap kaum menubuhkan sekolah mereka iaitu sekolah Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil yang menggunakan bahasa pengantar, kurikulum, buku dan guru masing-masing. Hanya dalam sekolah Inggeris sahaja kanak-kanak pelbagai kaum dapat belajar bersama tetapi sistem persekolah tersebut tidak dipersetujui oleh majoriti penduduk.

(PIPP, KPM, ms. 17).

Jadi apa bezanya dengan sekarang? Setelah 52 tahun merdeka?

Baca lagi yang berikut:

Menjelang kemerdekaan, timbul kesedaran mewujudkan satu sistem persekolahan…

(PIPP, KPM, ms. 17).

Malangnya sejak kemerdekaan sehingga kini (setelah 52 tahun merdeka), kesedaran tersebut dibiarkan timbul tanpa sebarang realisasi atas sebab tiadanya keazaman politik oleh para penggubal undang-undang (lawmakers). Hasrat murni rakyat dibiarkan sepi demi menjaga kepentingan undi penggubal undang-undang (ahli politik).

Ada eloknya jika Wee Ka Siong meletakkan jawatannya kerana segala pendiriannya jelas bertentangan dengan apa yang dimaktub dalam PIPP, KPM itu sendiri.

Kepada yang berhasrat meneruskan hasrat murni yang tertangguh setelah sekian lama ini bolehlah menyertai Kempen Satu Sekolah Untuk Semua dengan menandatangani petisyen di SINI.

Mari sama-sama berganding bahu merealisasikan Satu Sekolah Untuk Semua seperti mana yang dihasratkan oleh generasi-generasi yang terdahu sejak awal kemerdekaan lagi.

Sebagai renungan:


Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.

(Penyata Razak, Perenggan 12, 1956).
+

15 Mei, 2009

Kempen Satu Sekolah Untuk Semua: Tandatangan Petisyen, Pamer Logo & Hebah Kepada Anak Bangsa Malaysia

-
Akhirnya komuniti blog Demi Negara telah berjaya melaksanakan suatu usaha yang sungguh bermakna. Suatu usaha yang amat signifikan. Sesuatu yang sepatutnya telah lama dilaksanakan. Sesuatu yang telah lama ditolak dan ditarik umpama bermain layang-layang oleh para penggubal undang-undang dan aktivis politik yang hanya rakus memancing undi tanpa memberikan fokus terhadap suara hati sebenar seluruh anak Bangsa Malaysia yang benar-benar ikhlas melihat perpaduan seluruh rakyat.

Suara hati anak Bangsa Malaysia yang menginginkan perpaduan antara kaum dipupuk seawal usia muda bermula di bangku sekolah rendah lagi. Perpaduan antara kaum yang disemai melalui sekolah satu sistem dan aliran; bukannya pelbagai aliran yang hanya menyuburkan sikap saling syak-mensyaki antara satu sama lain. Sekolah pelbagai aliran yang memupuk sikap tiada toleransi antara semua kaum di negara tercinta ini.

Pelbagai aliran yang mencetuskan sikap tidak memahami antara kaum yang pelbagai latar belakang agama dan sebagainya. Orang Melayu dan Bumiputra memasuki Sekolah Kebangsaan, Cina pula cenderung ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, manakala India cenderung ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Akhirnya anak-anak kita diasing-asingkan oleh sistem yang dipertahan oleh penggubal undang-undang (ahli politik) dan para aktivis yang bersikap chauvinis.

Yang pastinya, tidak mungkin sistem TIGA aliran dapat menSATUpadukan anak bangsa Malaysia kita. Kita cuma mempunyai hanya SATU pilihan. Ya! Hanya SATU pilihan, bukannya TIGA. Hanya SATU pilihan: SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA. Janganlah usaha ini diremehkan dengan diberikan pelbagai dalih dan alasan (barangkali mereka sudah keras hati untuk tidak menyokong usaha ini!). Inilah masanya bagi semua rakyat untuk memberikan sokongan ke atas usaha perpaduan yang amat penting ini.

Penulis amat percaya bahawa majoriti rakyat Malaysia ingin sekali melihat para penggubal undang-undang (ahli politik) dan para aktivis politik berlumba-lumba untuk merealisasikan hasrat murni satu sekolah untuk semua ini. Janganlah disekat hasrat ini dengan pelbagai alasan dan dalih semata-mata takut kehilangan pengundi dari kumpulan-kumpulan tertentu yang hanya pandai berselindung di sebalik slogan “Saya Anak Bangsa Malaysia” tanpa memahami apa sebenarnya maksud yang tersurat dan tersirat serta tuntutan usaha ke arah merealisasikan Anak Bangsa Malaysia tersebut.

Jelas sekali, kumpulan-kumpulan tertentu hanya menyalah gunakan slogan Anak Bangsa Malaysia demi memenuhi agenda tertentu sahaja. Walau bagaimana pun, penulis menyeru kepada semua Anak Bangsa Malaysia yang benar-benar ikhlas tanpa ada sebarang agenda tersembunyi untuk sama-sama berganding bahu menyuarakan suara hati sebenar kita demi melihat perpaduan generasi akan datang. Tolong ketepikan segala perbezaan pelbagai fahaman dari segi politik, bangsa, dan sebagainya demi satu sebab: Melahirkan Satu Bangsa Malaysia Yang Bersatu, Teguh dan Bersepadu.

Segala usaha yang dibuat inilah yang membezakan dimana letaknya KITA dan MEREKA yang hanya berselindung dan mengaku kononnya benar-benar berjiwa Anak Bangsa Malaysia sedangkan tindak-tanduk mereka tidak langsung mencerminkan perlakuan sebagai Anak Bangsa Malaysia.

Sudah tiba masanya seluruh rakyat bangkit memperjuangkan pendidikan satu sistem demi melihat anak-anak kita bermain bersama, saling kenal-mengenali antara pelbagai kaum, saling mengenal hati budi masing-masing, saling berinteraksi dengan lebih kerap di usia yang masih rebung. Memahami dan menghormati adab dan budaya sesama kaum.

Penulis mohon penglibatan semua rakan agar dapat mengambil bahagian dalam kempen ini mengikut kemampuan masing-masing. Sama-sama kita berganding bahu menyumbang tenaga apa yang termampu demi memastikan kejayaan kempen ini. Sebarkan dan hebahkan kepada semua Anak Bangsa Malaysia melalui e-mel, sms, facebook dan alternatif lain yang difikirkan sesuai sebagai cara menyebarkan usaha murni ini kepada semua.

Sekalung tahniah dan jutaan terima kasih buat semua Anak Bangsa Malaysia yang menyokong usaha murni ini!

Tandatangan petisyen menyokong KEMPEN SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA di SINI.
+