10 Ogos, 2009

Rakyat dibidas apabila cuba menjadi tuan? Jadi, siapa sebenarnya tuan dalam Ketuanan Rakyat?

-
Apakah Ketuanan Rakyat bermaksud rakyat menjadi boss dalam menentukan tindak tanduk Pakatan Rakyat? Jika itu yang dimaksudkan dengan Ketuanan Rakyat maka tidak berlakulah senario di mana rakyat pula dipersalahkan apabila timbul sesuatu isu yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan PR yang kononnya mendakwa rakyat menjadi tuan.

Apakah suara rakyat yang dicanang oleh Pakatan Rakyat dengan gembar-gembur Ketuanan Rakyat hanyalah sebagai sesuatu yang hanya untuk mengaburi mata rakyat dengan meyelitkan idea Ketuanan Rakyat sebagai alat memancing undi? Semasa mahukan undi rakyat bukan main lagi dicanang bahawa rakyat menjadi penentu kepada sebarang keputusan kerajaan Pakatan Rakyat.

Jika dilihat laporan akhbar Utusan Malaysia pada 9 Ogos 2009, jelas menunjukkan rakyat tidak ada nilai pun di mata kerajaan PR Selangor. Malah rakyat pula yang dipersalahkan. Apa yang penting bagi mereka ini ialah menjaga hati para pemimpin dan pendokong DAP atas alasan takut kehilangan kerusi Dap yang banyak dalam kerajaan Selangor itu sendiri.

Dalam pada masa itu, PAS akan sentiasa berada dalam keadaan terperangkap dengan idealis Negara Islamnya. Para penyokong Pas mungkin sudah mula melihat betapa konsep Negara Islam Pakatan Rakyatnya mungkin bakal tinggal angan-angan. Desakan dari akar umbi Pas agar Pas meninggalkan Pakatan Rakyat Selangor semakin kedengaran seperti mana Dap Kedah dengan garangnya keluar pakatan bagi dilihat menjuarai isu bukan Islam/bukan Melayu iaitu pusat penyembelihan babi haram yang diroboh.

Adakah pemimpin Pas Selangor mempunyai keberanian seperti Dap Kedah dalam menjuarai isu orang Islam di Selangor? Apakah slogan Pas for All yang dicanang akan melembutkan perjuangan Pas? Apakah sekali lagi PAS akan berlembut dengan DAP seperti kebanyakan isu yang melibatkan Pas dan Dap? Apakah Pas sudah sama-sama menari mengikut rentak tari yang dimahukan oleh Dap seperti mana yang ditulis oleh YB Zulkifli Noordin? Sama-sama kita ikuti dan buat penilaian.

Baca laporan Utusan Malaysia, 9 Ogos 2009:

Khalid salahkan penduduk Seksyen 8, Shah Alam buat aduan

KUALA SELANGOR 8 Ogos - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyalahkan penduduk Seksyen 8 yang membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung penjualan arak ke atas umat Islam oleh sebuah kedai serbaneka di kawasan itu, Julai lalu.

Beliau menyifatkan langkah penduduk membantah tindakan kedai berkenaan tidak wajar kerana ia dibuat tanpa mengikut saluran serta prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

''Mereka (penduduk) tidak tahu cara nak selesaikan. Selalunya, orang lebih suka pukul dahulu, kemudian baru nak selesaikan atau bincang.

"Maka, sebab itu kerajaan negeri mengambil langkah yang lebih bijak daripada mereka (membenarkan penjualan arak dengan konsep kawalan sendiri)," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan fakir miskin dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Aitam di sini hari ini.

Tambah Abdul Khalid, konsep kawalan sendiri yang diumumkannya semalam adalah jalan penyelesaian terbaik bagi mengawal penjualan minuman keras termasuklah bir kepada umat Islam di Selangor.

Melalui konsep itu, katanya, kerajaan negeri memberi kuasa sepenuhnya kepada penjual arak untuk menentukan sendiri kepada siapa mereka ingin menjual minuman berkenaan.

''Penjual akan mengawal selia penjualan arak ini dan dalam masa yang sama mereka juga perlu sensitif. Jika mereka jual juga kepada umat Islam, mereka akan berhadapan dengan risiko dipulaukan oleh pelanggan beragama Islam.

''Umat Islam pula, sekiranya ada kedai terus menjual arak kepada mereka, mereka boleh beri peringatan kepada penjual berkenaan," jelasnya.

Diminta mengulas gesaan Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua semalam yang mahu supaya Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali dikenakan tindakan disiplin kerana membantah tindakan kerajaan negeri, kata beliau, ia bukan isu yang perlu diperbesarkan dan hanya merupakan hal dalaman pakatan pembangkang.

''Mengenai perkara itu (gesaan Tony) ia bukan isu....bukan isu. Tumpuan sekarang ini ialah mengenai penjualan arak di Shah Alam," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik blog tidak bertanggungjawab dengan komen yang anda berikan. Adalah dinasihatkan setiap komen dibuat mengikut lunas undang-undang. Terima kasih.