24 Jun, 2009

Satu Sekolah Untuk Semua: Pungutan Suara

-
Blog Demi Negara telah melancarkan kempen menggesa pihak kerajaan agar melaksanakan satu pungutan suara berhubung pelaksanaan sekolah satu sistem di negara ini. Sebagai Anak Bangsa Malaysia yang cintakan perpaduan, penulis menyokong penuh gesaan pungutan suara yang dibuat oleh blog Demi Negara tersebut.

Secara sinisnya, agak aneh apabila terdapat individu yang masih mempertahankan segregasi setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan. Suka penulis memetik kata-kata negarawan kita iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak dalam Penyata Razak 1956 sebagai pembakar semangat meneruskan perjuangan sebenar menyatukan anak bangsa Malaysia.

Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur. - Penyata Razak, Perenggan 12, 1956.


Kata-kata tersebut menunjukkan betapa perlunya sekolah satu sistem diguna pakai dalam sistem pendidikan negara. Kempen Satu Sekolah Untuk Semua sangat bertepatan dengan hasrat yang tercetus dari jiwa negarawan Tun Abdul Razak sejak sekian lama lagi. Dan hasrat ini sebenarnya sentiasa dekat di hati pemimpin yang berjiwa negarawan.

Sudah tiba masanya anak-anak Malaysia bersekolah di sekolah satu sistem yang mengguna pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar; sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di dalam Perlembagaan negara kita.

Kempen Satu Sekolah Untuk Semua turut memberi penekanan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah satu sistem. Berikut diperturunkan Perkara 152 seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia:

Perkara 152. Bahasa Kebangsaan.

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—

(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan

(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:

Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Jika diteliti klausa dalam setiap Fasal dalam Perkara 152 tersebut kita akan dapati bahawa Kempen Satu Sekolah Untuk Semua memang selari dengan kehendak Perlembagaan. Mari kita kaji dan bandingkan Perkara 152 dengan apa yang sebenarnya ditekankan oleh Kempen Satu Sekolah Untuk Semua.

Di dalam Fasal (1) ada ternukil bahawa:


(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:


Ya, melalui Satu Sekolah Untuk Semua, semua sekolah perlu mengguna pakai satu sistem dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, dan ianya sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan negara ini.

Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan


Kempen Satu Sekolah Untuk Semua tidak pun menyentuh untuk dirobohkan mana-mana sekolah-sekolah yang ada, cuma menyarankan satu sistem diguna pakai, dan yang pentingnya tidak pun melarang pengajaran, pembelajaran dan penggunaan bahasa selain Bahasa Kebangsaan atas maksud tidak rasmi.


Pendidikan terletak atas urusan rasmi. Dan urusan rasmi tersebut dikuatkan dengan wujudnya Akta Pendidikan. Akta Pendidikan 1996 di bawah Seksyen 29A, menetapkan kuasa Menteri untuk mewajibkan pendidikan rendah di negara ini. Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah tergolong di bawah maksud rasmi.

Seksyen 29A (2) juga menjelaskan bahawa setiap ibu bapa yang merupakan warganegara Malaysia hendaklah memastikan bahawa jika anaknya telah mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa anak itu didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah dalam tahun itu dan terus menjadi murid di sekolah rendah sepanjang tempoh pendidikan wajib.


(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.


Kempen ini tetap menekankan pemeliharaan dalam pengajian bahasa selain bahasa Melayu dengan mencadangkan penawaran pengajian bahasa selain bahasa Melayu di sekolah satu sistem.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Sekolah Kebangsaan (SK) telah pun mula menawarkan mata pelajaran bahasa Arab, Mandarin dan Tamil. Dan sebagai tambahan fakta, sebenarnya Bahasa Arab, Mandarin dan Tamil turut dipelajari oleh semua kaum di SK. Penulis difahamkan juga bahawa di Sabah, bahasa Kadazandusun turut diajar di SK.

Dalam peruntukan Fasal (2) dan seterusnya pula, terdapatnya unsur tolak ansur yang diberikan dengan mengambil kira masa untuk penyesuaian terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan memandangkan adalah tidak munasabah untuk mewajibkan pelaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan secara drastik (mengejut). Dan masa yang ditolak ansur tersebut ialah selama 10 tahun selepas kemerdekaan.

Pelbagai usaha dilakukan untuk menimbulkan kesedaran rakyat akan peri pentingnya mewujudkan sekolah satu sistem di negara yang pelbagai kaum ini. Dan penulis percaya rakyat yang cintakan perpaduan menyokong pelbagai usaha ke arah penyatuan bangsa Malaysia.

Namun, kesedaran untuk mewujudkan satu sistem persekolahan telah dipolitikkan dan dilengahkan oleh segelintir yang mendakwa berjuang demi rakyat dan negara tetapi tingkah laku mempertahan segregasi menzahirkan wajah sebenar mereka.

Khairul Anwar Shazali, Setiausaha Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memetik pandangan Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arsyad bahawa perlu ada keazaman politik untuk merealisasikan sekolah satu sistem yang mana para pemimpin perlu telus dan tulus untuk mencapai hasrat murni ini.

Apa pun, selagi para penggubal undang-undang (ahli politik) masih berjiwa lemah dan tidak mempunyai keazaman politik yang tinggi, selagi itulah segregasi terus akan wujud. Dan selama itu jugalah hasrat dan suara hati rakyat terbanyak dipinggir.

Dan elok kiranya kerajaan memulangkan hak menentukan penyatuan bangsa Malaysia di tangan semua rakyat dengan mengadakan pungutan suara berhubung sekolah satu sistem. Dengan ini, blog Kembara Politik berpendirian turut sama menyokong blog Demi Negara dalam menggesa pihak kerajaan mengadakan pungutan suara.
+

12 Jun, 2009

Perkukuh prinsip kesopanan, kesusilaan

-
TEKS titah Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika merasmikan Majlis Wacana Ilmu anjuran bersama Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia di Institut Tadbiran Islam Perak, Ipoh, semalam.

BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dari-Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Wacana Ilmu yang dianjurkan sempena ulang tahun hari keputeraan Beta ke-81.

Ilmu amat penting dalam kehidupan insan. Ilmu itu terus bercambah dan berkembang, terus diterokai dan dirintis, terus dipelajari dan dikuasai sepanjang hidup. Kaedah penyampaian dan kaedah penyebaran ilmu terus berubah selaras dengan dinamik berkomunikasi, bermula secara lisan beralih melalui perantaraan tulisan dan kini mengoptimumkan sepenuhnya saluran teknologi moden komunikasi elektronik. Perkembangan teknologi komunikasi itu juga adalah hasil daripada kejayaan penyelidikan yang hari ini memberi manfaat memenuhi peranan penyebaran dan penyampaian ilmu secara lebih berkesan.

Hari ini dunia kaya dengan sumber ilmu dan mendapat manfaat daripada saluran komunikasi yang semakin pantas, mudah dan canggih. Hari ini keupayaan menguasai teknologi komunikasi menjadi satu keperluan wajib dalam proses menimba ilmu.

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi, insan yang gagal dan tertinggal daripada keupayaan menguasai teknologi komunikasi boleh dianggap tidak literate atau buta huruf.

Teknologi komunikasi dan teknologi penyelidikan telah memesatkan proses penemuan dan proses penyebaran ilmu.

Pelbagai disiplin baru dan pelbagai cabang ilmu kini ditemui. Kini ilmu juga turut memiliki nilai komersial lalu mendorong kepada kelahiran industri pendidikan yang memiliki kapasiti dan potensi mencetuskan sumber kekayaan baru.

Susulan daripada itu, institusi ilmu kini memiliki sifat baru, beralih daripada peranan asal bertujuan semata-mata untuk mengembangkan ilmu, kepada tujuan komersial kerana turut dipengaruhi oleh elemen-elemen keuntungan dan pemasaran.

Dalam sistem ekonomi bebas atau laissez-faire, apabila urusan diserahkan sepenuhnya kepada kelok permintaan dan bekalan, akan tercetuslah keadaan tidak saksama kepada golongan yang berpendapatan rendah. Oleh itu, dasar yang dapat mengimbangkan berlakunya kesaksamaan perlu dilaksanakan secara berkesan supaya rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah tidak akan tertinggal dan tersisih malah turut berpeluang mendapat ilmu dan mendapat tempat dalam pusat-pusat pengajian tinggi.

Berlandaskan semangat tersebut, atas kesedaran bahawa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak masih jauh tertinggal secara perbandingan dengan kaum-kaum lain di negara ini, Fasal 153-(2), Perlembagaan Negara memperuntukkan kuasa tertentu kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak daripada segi biasiswa dan tempat pengajian.

Perkara 27B-(2) Perlembagaan Negeri Perak, memperuntukkan tanggungjawab yang sama kepada Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan.

Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah persetujuan yang telah dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima, dan dalam semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.

Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-Raja Melayu. Oleh itu apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan perkara ini, bukan sahaja telah melanggar peruntukan asas di dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri malah turut mempertikaikan kedaulatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong begitu juga kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Para pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan tanggungjawab kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis; iaitu asas-asas yang telah dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka.

Penyimpangan daripada semangat asal yang telah dicapai, tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.

Pada masa yang sama, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalah gunakan di peringkat pelaksanaan hingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.

Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri, memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum-kaum lain yang sah dari segi undang-undang (legitimate interests) turut dilindungi.

Amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku. Setiap warga negara yang sah adalah rakyat Baginda yang harus diberikan keadilan yang setimpal.

Manusia biasanya dapat berfikiran rasional jika asas pertimbangan senantiasa didasarkan kepada ilmu lalu sesuatu peristiwa ditafsirkan secara objektif berdasarkan fakta.

Manusia yang mengasaskan tafsiran berdasarkan ilmu dapat memisahkan diri daripada pengaruh sentimen dan pengaruh emosi lalu dapat membezakan tentang apa yang dianggap fakta dengan apa yang diharapkan berlaku.

Ilmu menjadi bernilai jika ilmu yang telah dipelajari itu dapat diamalkan dalam kehidupan harian. Ujian sebenar terhadap penguasaan ilmu adalah di peringkat aplikasi. Manusia yang berjaya menghayati ilmu akan memperlihatkan penguasaannya terhadap ilmu di peringkat aplikasi.

Insan berilmu akan memperlihatkan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan. Kesopanan dan Kesusilaan adalah prinsip kelima dalam Rukun Negara.

Lima puluh tahun yang lalu, ketika negara masih kurang bilangan cerdik pandai dan kurang bilangan profesional, kesopanan dan kesusilaan merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat di negara ini, merupakan komponen yang ditekankan dalam proses pendidikan dan penyampaian ilmu, merupakan elemen penting untuk mewujudkan kestabilan.

Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi negara senantiasa dihormati. Hari ini negara telah memiliki bilangan cerdik pandai dan bilangan profesional yang jauh lebih ramai. Namun telah mula memperlihatkan kelunturan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan.

Hari ini institusi ilmu tumbuh bercambah, tetapi aspek kesopanan dan kesusilaan bagaikan tidak diutamakan lagi. Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi negara bukan sahaja tidak dihormati malah dipersendakan dan dicabar secara terbuka.

Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian; atau kemungkinan sedang berlakunya satu keadaan tidak seimbang, di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga teralpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan.

Kesopanan dan kesusilaan berperanan penting dalam membina sahsiah seseorang insan. Kesopanan dan kesusilaan itu adalah sebahagian daripada budaya masyarakat kita yang harus disemai di kalangan warga ketika negara menuju untuk mencapai status negara maju.

Tamadun dan budaya agung sesuatu bangsa dibangunkan atas prinsip kesopanan dan kesusilaan. Nilai-nilai tersebut jangan sama sekali disisihkan. Nilai-nilai tersebut penting dalam membina jati diri dan daya tahan warga terutama ketika warga menghadapi pengaruh dari budaya asing dalam era globalisasi ini.

Ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat. Semoga komponen kesopanan dan kesusilaan diberikan perhatian penting dan dianyam dengan bijak oleh setiap insan dan setiap institusi yang terlibat dengan aktiviti keilmuan.

(Sumber: Utusan Malaysia, 12 Jun 2009).
+

Jangan pertikai kuasa Agong, Raja Melayu - Sultan Azlan

-
Oleh ZAINI RABAN
pengarang@utusan.com.my


IPOH 11 Jun - Sebarang gerakan mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan bumiputera bukan sahaja melanggar peruntukan asas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menegaskan, perkara yang termaktub dalam kedua-dua perlembagaan itu adalah persetujuan yang dicapai secara bersama ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.

Titah baginda, ia dicapai dalam semangat memberi dan menerima serta memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum.

''Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu.

''Oleh itu, apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan perkara ini, bukan sahaja melanggar peruntukan asas di dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri malah mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong begitu juga kedaulatan Raja-Raja Melayu," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Wacana Ilmu sempena ulang tahun baginda yang ke-81 di Institut Tadbiran Islam Perak di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sultan Azlan Shah turut memberi peringatan kepada para pemimpin negara bahawa mereka mempunyai tanggung jawab politik dan tanggung jawab kenegaraan.

''Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka,'' titah baginda.

Titah Sultan Azlan, penyimpangan daripada semangat asal yang dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.

Pada masa sama, titah baginda, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan sehingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.

''Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum lain yang sah dari segi undang-undang turut dilindungi," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah, amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku kerana setiap warganegara yang sah adalah rakyat yang harus diberikan keadilan yang setimpal.

Dalam pada itu, baginda menyuarakan rasa bimbang mengenai perubahan sikap terhadap insan berilmu, cerdik pandai dan profesional yang jumlahnya makin bertambah tetapi tidak mempunyai sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang merupakan elemen penting mewujudkan kestabilan.

''Hari ini institusi ilmu tumbuh bercambah tetapi aspek kesopanan dan kesusilaan bagaikan tidak diutamakan lagi. Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi negara bukan sahaja tidak dihormati malah dipersenda secara terbuka.

''Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian.

''Atau kemungkinan sedang berlakunya satu keadaan tidak seimbang di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga alpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan," titah baginda.

Titah baginda, ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat.

Justeru, baginda berharap agar komponen kesopanan dan kesusilaan diberikan perhatian dan dianyam dengan bijak oleh setiap insan dan setiap institusi yang terlibat dengan aktiviti keilmuan.

(Sumber: Utusan Malaysia, 12 Jun 2009).
+

10 Jun, 2009

Data lengkap pencapaian ekonomi ikut kaum

-
KUALA LUMPUR 9 Jun - Kerajaan diminta mengeluarkan data terperinci pencapaian mengikut kaum dalam ekonomi meliputi peruncitan, borong, industri, pelancongan, perbankan, insurans dan lain-lain bidang.

Setiausaha Majlis Muafakat Melayu (MMM), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan (gambar) berkata, jika data itu menunjukkan penglibatan kaum yang tidak seimbang maka atas semangat 1 Malaysia, kerajaan secara bijaksana wajar melakukan pengubahsuaian.

Katanya, ini supaya komposisi kaum dalam aktiviti ekonomi dilihat lebih bersesuaian dan seimbang dengan demografi penduduk.

Menurutnya, sebab itulah data tersebut penting kerana kebanyakan perangkaan sebelum ini tidak mencerminkan keseluruhan ekonomi kerana hanya berasaskan bilangan profesional seperti peguam dan doktor.

''Apabila ada data terperinci maka kita tahu kaum mana yang ketinggalan sebenarnya, maka atas semangat Satu Malaysia, kita buat penyesuaian balik untuk imbangkan penglibatan kaum dalam ekonomi negara.

''Kalau Melayu lebih, maka buat penyesuaian. Tapi dalam hal ini, kita tahulah siapa yang lebih hingga tahap monopoli,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) mengulas kewajaran tuntutan kaum-kaum bukan pribumi yang dilihat banyak terkeluar daripada kewajarannya.

Menurut Zainal Abidin, kerajaan juga sewajarnya terbuka dalam memaparkan kedudukan sebenar ekonomi negara khususnya tentang kaum mana yang menjadi pemain utama di setiap sektor.

Katanya, dengan itu semua pihak boleh mengetahui kedudukan setiap kaum dan seterusnya menunjukkan secara tepat pengubahsuaian yang harus dilakukan bagi menyeimbangkan ekonomi negara.

''Dengan itu diharapkan tiada lagi suara-suara tidak puas hati menyoal penyaluran bantuan kerajaan walaupun sebenarnya usaha menyusun semula penduduk tidak boleh dilihat ikut kerangka perkauman.

''Formula Dasar Ekonomi Baru (DEB) menetapkan sasaran 30 peratus untuk bumiputera sedangkan jika diikutkan, ia juga boleh dipersoal kerana demografi penduduk Malaysia menunjukkan 65 peratus bumiputera,'' ujarnya.

(Sumber: Utusan Malaysia, 10 Jun 2009).
+

Dilema ekonomi Melayu

-
Oleh IBRAHIM ALI

Hari ini orang Melayu juga mengalami dilema ekonomi. Walaupun mulai 1970-an kerajaan telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan kemudiannya Dasar Pembangunan Nasional (DPN), ekonomi orang Melayu masih tercorot dan amat ketinggalan.

Malangnya, segolongan bukan Melayu asyik mengecam dan mengkritik kerajaan, kononnya kerajaan tidak bersikap adil bila memberikan keistimewaan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Ada segolongan bukan Melayu juga mendesak agar kuota pemilikan saham Melayu sebanyak 30 peratus dimansuhkan.

Segolongan bukan Melayu juga mendesak supaya kuota biasiswa untuk pelajar bukan Melayu mesti ditambah. Kata mereka, orang Melayu wajar berlumba-lumba dalam hal pendidikan dan ekonomi negara menerusi sistem meritokrasi, iaitu sistem siapa hebat dia yang dapat, sistem siapa yang kuat, dia dapat semuanya. Kalau sistem ini dilaksanakan, orang Melayu akan terpinggir dan akhirnya lesap daripada bumi tercinta ini.

Dalam hal ini, sekali lagi saya ulangi, suara-suara yang mengungkit-ungkit keistimewaan Melayu pada hari ini adalah suara orang yang sudah dapat betis, mahukan paha. Ini suara orang tamak dan haloba, tidak menghargai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera yang mundur akibat penjajahan British. Kepada kelompok ini, fahamilah maksud perangkaan atau statistik di bawah.

Akibat dasar British membawa masuk orang asing ke Tanah Melayu tanpa sebarang kawalan, banci penduduk Tanah Melayu pada tahun 1931 mendapati jumlah orang asing ketika itu mengatasi pribumi di Tanah Melayu.

Pada tahun 1932-1933 ada kemelesetan ekonomi dunia. Orang asing pun ramai yang balik ke negara asal mereka. Biarpun begitu, banci penduduk Tanah Melayu pada 1947, pun masih mendapati orang asing mengatasi pribumi. Selepas Perang Dunia Kedua pada 1945, bancian penduduk Tanah Melayu, termasuk Singapura, mendapati daripada 5.7 juta penduduk ketika itu, orang Melayu dan Bumiputera hanya 2.5 juta orang, bukan Melayu seramai 3.2 juta orang (Cheah Boon Kheng 2007).

Perkembangan kependudukan seperti ini menyebabkan jumlah orang asing berbanding orang Melayu dan Bumiputera pada 1957 adalah hampir seimbang. Daripada keseluruhan rakyat Tanah Melayu ketika itu, 3.12 juta adalah orang Melayu dan Bumiputera. Orang Cina seramai 2.33 juta, India 690,000 dan 120,000 daripada lain-lain etnik (Federation of Malaya Year Book 1959).

Biarpun begitu, daripada segi ekonominya, keturunan Cina pada 1957 telah menguasai ekonomi negara secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan. Contohnya, sejak 1937, pelaburan orang Cina di Tanah Melayu sudah pun menjangkau AS$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah AS$454.5 juta (Ling Liong Sik 1995:3).

Pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus hingga 75 peratus perdagangan eksport dan 60 peratus hingga 70 peratus perdagangan import. Syarikat-syarikat milik orang Cina ketika itu menguasai 10 peratus agensi eksport. Syarikat-syarikat etnik India pula menguasai dua peratus perdagangan berkenaan. Pada ketika itu, orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan. (Gomez & Jomo, 1997:14-15).

Pada tahun 2008, penduduk Malaysia adalah 25.056 juta. Melayu 13.667 juta, Bumiputera 2.963 juta, etnik Cina 6.256 juta, etnik India 1.880 juta, lain-lain etnik 290,000 dan bukan rakyat 2.826 juta (Unit Perancang Ekonomi:2008).

Bagaimanapun, pemilikan modal saham pada 2008 adalah RM100 bilion atau 18.9 peratus sahaja di tangan Bumiputera, RM215 bilion atau 40.6 peratus dikuasai oleh bukan Bumiputera, RM42.3 bilion atau 8 peratus dikuasai oleh syarikat nomini, dan RM172.3 bilion atau 32.5 peratus dipegang oleh pemodal asing.

Ekuiti Bumiputera sebanyak RM100 bilion pada tahun 2008 terbahagi kepada RM79.4 bilion atau 15 peratus milik individu, RM11.9 bilion atau 2.2 peratus milik institusi, dan RM8.7 bilion atau 1.7 peratus milik agensi amanah. Ekuiti milik bukan Bumiputera, RM207 bilion atau 39 peratus dikuasai oleh etnik Cina, RM6.4 bilion atau 1.2 peratus dalam tangan etnik India, dan RM1.9 bilion atau 0.4 peratus kepunyaan lain-lain kaum. (The Star: 27.6.2008).

Statistik di atas membuktikan jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera berbanding lain-lain etnik yang hampir seimbang sewaktu kemerdekaan tanah air, meningkat secara prominen pada 2008. Tetapi, kenyataan mengenai kemiskinan serta lain-lain petunjuk ekonomi di era sebelum merdeka adalah manifestasi dan dampak dasar pecah dan perintah penjajah British yang memihak kepada bukan Bumiputera dan menindas orang Melayu dan Bumiputera.

Petunjuk ekonomi di era sesudah merdeka, seperti pada tahun 2008, adalah realiti dan manifestasi bahawa sehingga hari ini, orang Melayu dan Bumiputera adalah golongan rakyat Malaysia yang jauh ketinggalan berbanding bukan Bumiputera dan berbanding kedudukan pemodal asing di negara ini.

Hakikat ini jadi lebih ketara jika dikaji lain-lain petunjuk sosio-ekonomi seperti pendapatan isi rumah, kadar kemiskinan relatif dan kemiskinan tegar, jumlah profesional Melayu dan Bumiputera dan sebagainya. Dikaji ikut perspektif mana sekalipun, adalah jelas Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) terbukti belum berjaya mengatasi jurang perbezaan ekonomi dan kadar kemiskinan antara orang Melayu dan Bumiputera dengan bukan Bumiputera di Malaysia.

Oleh sebab itu, apakah asas yang menghalalkan segolongan orang bukan Melayu untuk mempersoalkan DEB, DPN, keistimewaan orang Melayu, biasiswa untuk Bumiputera dan segala-gala dasar yang disifatkan memihak kepada orang Melayu dan Bumiputera kebelakangan ini?

Apakah alasan kerajaan melayan desakan demi desakan, termasuklah dalam bidang pelajaran rendah, pelajaran menengah dan pendidikan tinggi, daripada sesetengah kelompok bukan Melayu pada hari ini?

Kepada golongan ini, ingatlah bahawa di era penjajah, hanya 10 peratus sahaja anak Melayu masuk universiti. Bakinya yang 90 peratus semuanya dibolot oleh bukan Melayu.

Dalam hal dilema ekonomi ini, saya juga merayu semoga kerajaan tidak akan berkompromi dan tidak akan tunduk kepada tuntutan keterlaluan oleh sesetengah kelompok bukan Melayu.

Saya juga menyeru segolongan pegawai Melayu yang selama ini kononnya kurang sensitif terhadap kemajuan orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekonomi, supaya insaf dan ubah sikap untuk membantu Melayu dan Bumiputera dengan lebih ikhlas dan dedikasi.

Kepada seluruh pegawai dan profesional Melayu dalam bidang korporat dan syarikat milik kerajaan (GLC), saya menyeru, fikirkanlah masa depan orang Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi dan perniagaan.

Janganlah bila sudah dapat tempat tinggi-tinggi, kelompok pegawai dan profesional Melayu ini jadi seperti kacang yang lupakan kulit. Jangan di pandang hina usahawan dan peniaga Melayu dan Bumiputera.

Ingatlah bahawa tanpa perjuangan Melayu terdahulu, para profesional Melayu dalam GLC dan mereka yang berada dalam sektor awam dan sektor korporat pada hari ini, belum pasti dapat menikmati kedudukan yang mereka nikmati sekarang.

Seluruh pegawai Melayu dalam sektor kerajaan dan GLC sewajarnya memberikan peluang perniagaan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Jangan tergamak sesetengah pegawai menafikan peluang perniagaan yang sepatutnya diberikan kepada usahawan dan peniaga Melayu serta Bumiputera.

Badan-badan korporat dan GLC Melayu perlu turut memainkan tanggungjawab sosial kepada NGO dan pertubuhan Melayu yang mendukung perjuangan untuk memperkasakan aspirasi Melayu dan Bumiputera.

Mereka perlu mempunyai keutamaan dan fokus yang tepat dan betul mengenai perkara ini. Janganlah kalau untuk hiburan yang melekakan, mereka sanggup menderma hingga berjuta-juta ringgit jumlahnya. Janganlah pula untuk menggerak serta memperkasakan perjuangan Melayu dan Bumiputera, mereka sentiasa berdolak-dalik untuk membantu perjuangan ini.

Saya sangat berharap, semoga golongan pegawai-pegawai Melayu dan eksekutif Melayu dalam syarikat korporat dan GLC, tidak akan tergamak untuk mengkhianati aspirasi perjuangan Melayu. Jangan digadaikan masa depan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini di masa akan datang.

Demikianlah penegasan semula saya mengenai perjuangan orang Melayu dan Bumiputera pada hari ini. Penegasan semula ini saya lahirkan semata-mata kerana saya tidak rela orang Melayu dan Bumiputera terus dilanda dilema politik dan dilema ekonomi di tanah airnya sendiri.

Penegasan semula aspirasi perjuangan ini saya lakukan kerana saya tidak reda dagang lalu ditanakkan, anak di rumah mati kebuluran. Penegasan semula aspirasi perjuangan bangsa ini saya lafazkan kerana saya mahukan majoriti orang Melayu dan Bumiputera kembali memberikan sokongan serta keyakinan mereka kepada pemerintah.

Penegasan semula aspirasi perjuangan Melayu ini juga saya lahirkan supaya pihak pemerintah juga sentiasa mempertahankan seluruh hak dan keistimewaan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan yang termaktub dalam seluruh dasar afirmatif kerajaan.

Marilah sama-sama kita memohon restu dan hidayat daripada Allah SWT semoga usaha kita melakukan penegasan semula aspirasi perjuangan ini akan menghasilkan tindakan yang positif oleh semua pihak, rakyat jelata daripada semua keturunan, pemerintah, pemimpin politik, pemimpin masyarakat sivil, para pegawai kerajaan, pemimpin korporat dan para pendukung GLC di Malaysia.

Datuk Ibrahim Ali ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia.

(Sumber: Utusan Malaysia, 9 Jun 2009).
+

Label

#justiceforMH17 'Masalah Sikap' vs 'Cemburu' 16 September 2008 1Malaysia 22 tahun tanpa konflik kaum 3 billion 31 Ogos 2009 5 Ogos 1957 Abdullah ABIM Acaro Solingan Adik Siti Amynur Ain AIDC Air percuma AirAsia Akta hasutan Akta Hasutan 1948 Akta Pendidikan 1996 Aktivis Al-Fatihah Allahyarham Tun Abdul Razak Altantuya Altel Aman Malaysia Ambiga Anak Bangsa Malaysia? Anak Wayang Pas analisa PRU13 ancaman islam di Malaysia. Anjing Gila Anwar Anwar Ibrahim Azan Azizan Azmin Ali babi Badak Pekak Badut Bahasa Kebangsaan Bahasa Malaysia Bahasa Melayu Bajet Pahang 2009 BALACI Bangsa Malaysia Banjir Banjir di Kuantan Banjir di Lipis Bantuan Barisan Nasional Batal Usul Sekat Jualan Arak Behind The Veil Belasungkawa Bersih biadap Biadap Hina Nabi Blogger BN BN Perak BOC Boikot barangan israel Boikot produk Yahudi-Amerika Boikot Secara Terancang Bomoh Boneka BR1M Brader Anwar Bin Ibrahim bubar UMNO Bumi Daku cadbury calon boleh menang Carlsberg halal CDM25 Celaka Ceroboh Tanah Milik TNB Chin Peng Chui Jui Meng Cina Cina Boikot Melayu COMANGO Criminalise War Exhibition and Conference 2009 Cuit: Dilema Melayu Moden DAP Datuk Ibrahim Ali Datuk Mukhriz Datuk Mukhriz Mahathir DEB Demi Negara Demonstrasi DERHAKA diesel Din Turtle DNA babi Dokumen Langkah kajang Dong Zong Double Standard Prosedure Dr Abdul Rani Kamarudin Dr Chandra Muzaffar Dr Khir Dr Novandri Dr Ridhuan Tee Abdullah Dr Sidek Baba Dr Yusri Mohamad Dr Zambry Kadir Dr Zuhdi Dr. M DS Anwar DS Anwar Ibrahim DS Najib DUN DUN Perak Durian Runtuh Dyana Sofya DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah DYMM Sultan Azlan Shah Dyna Sofya DYTM Raja Dr Nazrin Shah Ekonomi Ekonomi Bumiputera ekonomi melayu Elizabeth Wong Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor Erniceda Etnic Cleansing Eurocopter Evolusi Politik Melayu Fatimah Zuhri's Blog Fatwa Anti Tomboy FELDA FGV fitnah Fitnah Undi Pos Flip-flop Forum Peluk Islam Foto gabungan UMNO dan PAS. gaza Gerakan Razak Gobalakrishnan Hak Istimewa Melayu/Bumiputera Hak Membeli Hak Mengundi Hansard Parlimen Harakah haram harga minyak naik Hari Kemerdekaan hina Hina Fatwa Hina Islam Hina Raja Melayu Hindraf Hipokrit Hishammuddin Tun Hussein Hishamuddin Hj Hadi Awang Hj Naser Disa Hormati murtad hudud Hudud dan Qisas Husam Musa i want to tocuh a dog i want to touch a dog Ideotique IFC india Institusi Raja Islam Islam Agama Persekutuan Islam Agama Rasmi Persekutuan Ismail Mina Ahmad israel Isu CAR Isu Kalimah Allah Isu Ketidakseimbangan Kaum isu lahad datu Isu Menteri Besar Isu Moral Isu Roboh Kuil Isu Scorpene Isu Tanah Kolej Taiping Isu Tanah Perak Jabatan Pendaftaran Negara JAIS JAKIM Jambatan Bengkok Jeff Ooi Jenayah Jom Bantu Jumlah pengundi muda Jurugambar Utusan KAFA Kaki Pembelit kalimah Allah Kamarudin Jaafar KAR1SMA Karpal Singh Kaum Cina Kaum Melayu Kebaikan Kebal Kebebasan Bersuara Kedah Kedai Rakyat 1 Malaysia keistimewaan Melayu Kekejaman Israel ke atas umat Islam kelvin yip Kempen Satu Sekolah Untuk Semua kerajaan islam Keranda 152 Kes Datuk Nasaruddin Hashim (UMNO ke PKR) Kes Liwat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Ketuanan DAP Ketuanan Melayu Ketuanan Pakatan Rakyat Ketum Khalid Ibrahim Kiasu KijangMas Kiki KKM Kongres Ekonomi Islam Ketiga Kontrak Sosial kronisma Kuala Lumpur Foundation To Criminalise War Kuota Pemilikan 30 % Kuota Pemilikan Rumah 50 % Ladang Babi Lateefa Koya LBGT Lee Kuan Yew lembah klang Lembah Pantai Leong Ngah Ngah LGBT Liberalisasi? Lidah 'tidak rasmi' Pakatan Rakyat = Malaysiakini Lim Guan Eng Lim Kit Siang Lina Joy Logo Halal logo halal JAKIM Lompat Parti Low Siew Moi lowyat M Manoharan M-UPRo Mah Siew Keong Mahkamah Syariah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Majlis Fatwa Kebangsaan Majlis Muafakat Melayu Majlis Peguam Malay Mail Cyberspot Malaysia malaysia bukan negara sekular Malaysian Airline System Malaysian Malaysia Mangkat Mangkuk Ayun Azmi Shahrom Manifesto bukan janji Marah-Marah Sayang MAS Masjid Besi Putrajaya MB Kedah MB selangor MCA media sosial melayu Melayu Pulau Pinang Melayu Singapura Membina Negara mencari simcard Altel Menteri besar Selangor merdeka riview Meroyan MH17 MH370 Monopoli Ekonomi Muhammad Firdaus Dullah Muhyiddin Murtad Muslim UPRo Mustafa Ali Musuh islam Musuh Melayu Musuh Negara Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 MyKad Najib Najib Tun Razak Nasrudin Hassan negara islam negara sekular Negarawan Ulung Nga kor ming Ngeh Koo Ham Nik Aziz Nilai Nizar Nizar Boneka DAP Nurul Izzah Obama octoberfest octoberfest2014 OKU OKU dikurung OKU terbiar Omar Ong One utama Open Letter by Matthias Chang PAC Pahang Darul Makmur Pakatan Pakatan Haram Pakatan Rakyat Pakatan Rakyat Perak Pakatan Rakyat. pertusan undi cina Palestin Paneh Miang PAP Parlimen Parti tunggal PAS Pas selangor Pas Terengganu PAS youth Pasca PRU-13 PAU Ke-59 Peguam Negara Pelacuran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 PEMBELA Pembohong Pembubaran parlimen Pemuda UMNO Pemuda UMNO Bahagaian Segambut Pemuda UMNO Pahang Penamaan Calon Pencemaran Pencerobohan Tanah Kerajaan Peneroka Pengganas Komunis Pengkhianat pengkhianat negara Pengundi Atas Pagar Penyata Razak 1956 Perak Perbandingan Perdana Menteri Malaysia Ke-6 perkara 11 Perkara 11 Perlembagaan Perkara 12 perkara 121 Perkara 152 Perkara 153 perkara 3 Perkara 3 Perlembagaan PERKASA perkauman Perkhidmatan Awam Pulau Pinang perkongsian kuasa. Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Perpaduan Perpaduan Melayu/Islam Persekutuan Tanah Melayu pesawat MAS terhempas pesta arak pesta arak terbuka Petisyen petrol Petronas Pilihanraya Masjid PKM PKNS PKPIM PKR Polarisasi Kaum Politik Perak Portal Kempen SSS PPSMI PR PRK Bagan Pinang PRK Bukit Gantang PRK Galas PRK Kuala Terengganu PRK Teluk Intan pro-pembangkang produk cina produk melayu Prof Dr Aziz Bari Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim Prof. P Ramasamy PRU12 PRU13 Puasa Ramadhan Pulau Pinang Puppet Master Putera Sultan Selangor Putrajaya Qarinah Qazaf Rabindranath Tagore racist Raja Nong Chick Raja-Raja Melayu Rakyat Malaysia? Rasuah Razak Baginda RBA Reaksi pemimpin politik Reflections: Melayu Lama Ronnie Liu Rukun Negara Rusia Rusia Border Rusuhan Saham FGV Saiful Bukhari Azlan Sakmongkol AK47 Salah Guna Kuasa SAR Sastera Satira Satu Malaysia Sekolah Agama Sekolah Kebangsaan Sekolah Satu Aliran Sekolah Vernakular Seks sekular Selangor Sepitman Begins sesat Shafie Apdal shah alam Sidek Baba Sistem Pendidikan Kebangsaan Skuad Banjir Pemuda sokongan masyarakat kepada MAS Solat Hajat SPR SRJK Persendirian steering lock SUARAM subsidi Sultan Perak Sultan Selangor Sumpah Laknat Sun Tzu'z Art of War surah al kafirun Syed Azmi Alhabshi syiah Tan Sri Isa Samad Tan Sri Khalid Ibrahim Tan Sri Muhyiddin Tanah Kebun Peneroka Techno Crap Teluk Intan tembak Tender Tanah tender terbuka Tengku Adnan Teresa Kok terhempas The Economist The Unspinners The War Crimes Commission and Tribunal 2009 Titah DYMM Sultan Selangor Titah DYTM Raja Muda Perak di Majlis Perasmian Penutupan Kongres Ekonomi Islam Ketiga Toyota Camry 2.4 Perak Truth for Teoh Beng Hock Tsunami Cina Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Tulisan Jawi Tun Dr. Mahathir Mohamad tuntutan Ukraine UMNO UMNO Seremban Uncle sim Undang-undang antilompat parti wakil rakyat Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Undi cina undi hantu Usahawan Bumiputera Pahang Ustaz Kazim Elias Utusan Malaysia V. Sivakumar video WADAH wall street journal Wan Azizah Wasiat Raja-Raja Melayu Wong Siew Teng aka Agnes Wong Yayasan Anti Peperangan Kuala Lumpur Yusuf Qardhawi Zahid Hamidi Zahrain Zaini Hassan Zulkifli Noordin