1. Sudah lama penulis tidak menulis dalam blog Kembara Politik ini. Kali terakhir entri blog ini adalah bertarikh 16 September 2012.
2. Sepanjang penulis tidak menulis itulah penulis berpeluang untuk bertanya secara bersemuka dengan pelbagai lapisan masyarakat. Berborak santai di warong kopi sambil bertanyakan isu-isu semasa dan juga mencungkil sentimen dari penyokong BN mahupun mereka yang menyokong DAP-PKR-Pas.
3. Penulis cuba mendapatkan maklum balas tentang segala program dan inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan. Rata-rata yang ditemui memberikan maklum balas yang sangat positif. Mereka dengan penuh yakin memberikan pujian dan rasa penghargaan terhadap Kerajaan.
4. Penulis berkeyakinan bahawa segala usaha Kerajaan melalui pelbagai bentuk program ini telah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Imej Kerajaan BN adalah sangat baik di mata rakyat berbanding imej pakatan DAP-PKR-Pas di negeri yang diterajui mereka.
5. Persoalannya, apakah kejayaan pelbagai program yang dilaksanakan Kerajaan BN boleh menarik rakyat mengundi Barisan Nasional pada PRU13?
6. Rata-rata yang ditemui bersikap lebih cenderung menyokong Barisan Nasional atau cara mereka mengulas isu lebih mirip kepada pro-Kerajaan BN berbanding pakatan DAP-PKR-Pas.
7. Mereka berpendapat bahawa Kerajaan BN lebih bertanggungjawab dalam menunaikan janji-janji dan tidak beretorik. Janji-janji dari pihak pembangkang pula tidak diyakini kerana rakyat melihat bagaimana janji-janji yang mereka tabur masih lagi tidak ditunaikan sehingga kini. Kerajaan BN juga dilihat rakyat sebagai sebuah Kerajaan yang track record yang baik, konsisten dan mempunyai hala tuju yang realistik. Ini adalah kekuatan Kerajaan BN yang dirasai oleh rakyat berbanding pakatan DAP-PKR-Pas.
8. Ramai pengundi atas pagar pula lebih cenderung mengambil pendirian pro-BN kerana tidak bersetuju dengan parti Pas bergabung dengan DAP dan PKR selepas PRU12 kerana mereka beranggapan bahawa mereka mengundi Pas pada PRU12 dahulu bukan kerana Pas berada dalam sebuah pakatan bersama DAP. Sebelum PRU12 gabungan DAP-PKR-Pas yang diwar-warkan sebagai Pakatan Rakyat tidak pernah wujud.
9. Walau bagaimanapun dari maklum balas yang penulis terima, sokongan terhadap Kerajaaan ini tidak semestinya diterjemah dalam bentuk undi. Dalam erti kata lain, rakyat yang menyokong Kerajaan ini memang pro-Kerajaan BN tetapi mengambil sikap tidak apa jika tidak keluar mengundi. Rakyat yang pro-BN ini sebenarnya masih lagi berada dalam zon selesa dan beranggapan jika mereka tidak keluar mengundi pun, Kerajaan BN masih boleh menang di peringkat Pusat mahupun Negeri.
10. Anggapan seperti ini sebenarnya tidak boleh digunakan lagi pada PRU13 yang akan diadakan sedikit masa lagi. Situasi politik kini sudah sangat berbeza.
11. Rakyat yang menyokong segala program yang dilaksanakan Kerajaan BN perlu keluar mengundi. Anggapan bahawa BN masih lagi berada dalam zon selesa perlu dibuang kerana BN memerlukan setiap undi rakyat yang menyokongnya untuk meneruskan segala program dan kesinambungan yang ada. Setiap undi rakyat terhadap BN dalam PRU13 adalah sangat berharga.
12. Dan apa yang paling penting, seluruh pendokong Barisan Nasional perlu memastikan pada Piliharaya Umum Ke-13 kali ini akan memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada semua calon-calon yang mewakili Barisan Nasional. Seluruh pendokong BN perlu keluar mengundi demi memastikan Kerajaan BN pimpinan Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mendapat mandat dua pertiga pada PRU13 nanti.
13. InsyaALLAH, Barisan Nasional akan memperoleh mandat dua pertiga jika semua menunaikan tanggungjawab masing-masing. Ayuh beri mandat besar untuk Barisan Nasional pada PRU13 kali ini!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pemilik blog tidak bertanggungjawab dengan komen yang anda berikan. Adalah dinasihatkan setiap komen dibuat mengikut lunas undang-undang. Terima kasih.