17 Ogos, 2015

PRU14: UMNO Memilih Jalan Mati

+
Penulis memerhati senario politik tanahair dengan begitu teliti. Melihat dan mendengar pandangan dan luahan penyokong akar umbi UMNO itu sendiri. Isu besar yang gagal ditangani oleh UMNO berlegar kepada 2 perkara besar.

Pertamanya isu hutang RM42 bilion 1MDB. Suatu angka yang sangat besar yang menaikkan kemarahan penyokong UMNO itu sendiri. Kita tidak mengambil kira pandangan dan luahan penyokong pembangkang yang sudah tentunya tidak akan memberikan sokongan kepada BN pada PRU akan datang.

Keduanya isu dana politik RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Ini juga tidak dapat dijelaskan dengan wajar dan tidak nampak kewajaran jawapan yang diberikan. Penyokong UMNO sendiri melihat jawapan yang diberikan oleh loyalis presiden sangat pelik dan aneh apatah lagi di pihak pembangkang. RM2.6 bilion derma? Mana logik akalnya?

Penyokong UMNO yang dahulunya giat mempertahankan UMNO akhirnya mengambil jalan untuk tidak mempertahankan presiden kerana mereka sedar bahawa tidak ada satu pun fakta konkrit yang boleh digunakan untuk mempertahankan presiden parti. Semua jawapan yang dikeluarkan oleh PMO, Menteri dan PM sendiri tidak langsung meyakinkan dan lebih parah jawapan itu dilihat sangat lucu.

Ketua bahagian ramai yang mengambil 'jalan selamat' dengan tidak menceritakan keadaan sebenar tahap sokongan akar umbi. 'Jalan selamat' ini sebenarnya adalah 'jalan mati' bagi parti. Ramai sahabat penulis yang dahulunya giat mempertahankan UMNO akhirnya beralih arah untuk tidak mempertahankan presiden. Malah ramai yang beralih arah dan menyatakan sokongan kepada PAS (tetapi tidak kepada DAP dan PKR). Paling tidak pun mereka tidak akan keluar mengundi pada PRU akan datang.

Jika keadaan ini berterusan, UMNO bakal kalah besar pada PRU yang akan datang. Terserah kepada semua ahli UMNO untuk menyelamatkan UMNO dari terkubur.

Kepada Allah Kita Berserah.
_