31 Disember, 2008

Laman sembang hina Nabi

-
KUALA LUMPUR 30 Dis. - Selain wujud blog menghina Nabi Muhammad di Internet, perbuatan tidak bertanggung jawab itu juga berlaku di laman sembang interaktif (web mobile chatting) yang dikendalikan oleh sebuah syarikat telekomunikasi terkenal tanah air dan dipancarkan melalui GPRS telefon bimbit.

Perbuatan itu didedahkan oleh seorang pembaca majalah Al Islam terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Utusan dan artikel mengenainya disiarkan oleh majalah tersebut dalam keluaran terbarunya, Januari 2009, yang kini sedang berada di pasaran.

Pembaca itu yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman ketika mendedahkan perkara tersebut kepada wartawan Al Islam, Mohd. Zaidi Senapi memberitahu, perbuatan tidak bertanggung jawab itu dikesannya pada 3 November lalu dan dilakukan oleh seorang pengguna yang menggunakan nama samaran, ISLAMIC.

Menjelaskan lebih lanjut tentang perkara itu, Sulaiman berkata, pada hari berkenaan ketika melayari laman tersebut, beliau terkejut apabila satu nama samaran yang menggelar dirinya ISLAMIC telah masuk ke laman itu dan mencarut-carut tentang Hajarulaswad serta menghina Nabi.

''Perbuatannya itu telah mengundang kemarahan pengguna lain di laman sembang interaktif itu, tetapi ISLAMIC langsung tidak mempedulikannya dan terus menghina Nabi, Islam serta Hajarulaswad,'' tegas Sulaiman, seorang pekerja di sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Tambah mengecewakan, kata Sulaiman, semakin dimarah oleh pengguna lain, semakin galak ISLAMIC menghina dan mempermainkan orang yang memarahinya.

''Ayat dan perkataan-perkataan yang digunakannya pula bersifat provokasi seperti mahu mencetuskan ketegangan agama dan mengajak orang lain keluar beramai-ramai berperang dengannya,'' jelas Sulaiman lagi.

Sulaiman memberitahu, beliau telah cuba memeriksa identiti ISLAMIC tetapi malang identiti terbabit telah ditutup dan dilabelkan sebagai private.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Sulaiman beserta dengan bukti salinan beberapa muka laman web sembang tersebut yang masih disimpannya.

Sulaiman juga telah membuat aduan di pejabat agama Islam Hulu Selangor, tetapi sehingga kini beliau tidak tahu sama ada pihak berkenaan telah mengambil tindakan susulan atau sebaliknya.

''Yang saya kesalkan, kenapa syarikat telekomunikasi yang mengendalikan web mobile itu membiarkan saja penggunanya mengeluarkan kata-kata yang menyinggung serta menghina agama lain, lebih-lebih lagi Islam?

''Kenapa mereka tidak halang ia daripada dipaparkan, atau adakah perkara ini disengajakan agar web mobile itu mendapat banyak pengunjung dan syarikat terbabit meraih keuntungan daripadanya,'' soal Sulaiman.

Beliau juga bimbang sekiranya chatter yang menggelarkan dirinya ISLAMIC itu hanyalah dalang yang digunakan untuk melakukan provokasi bagi tujuan tertentu.

Ditanya adakah perbuatan yang tidak bertanggung jawab itu terus dilakukan pada hari-hari berikutnya, Sulaiman memberitahu, dia kurang pasti kerana selepas kejadian tersebut, dia agak jarang melayari laman web berkenaan sebab terlalu marah.

''Saya berharap agar pihak-pihak yang berkaitan segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terbabit kerana ia mengganggu keharmonian masyarakat dan negara kita,'' tegas Sulaiman.

Sumber: Utusan Malaysia, 31 Disember 2008
+

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik blog tidak bertanggungjawab dengan komen yang anda berikan. Adalah dinasihatkan setiap komen dibuat mengikut lunas undang-undang. Terima kasih.