31 Disember, 2008

Negara OIC digesa bantu Palestin

-
KUALA LUMPUR 30 Dis. - Negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) digesa bersatu membantu masyarakat Palestin menentang keganasan yang dilakukan oleh Israel dan sekutunya ke atas mereka.

Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, masyarakat Islam di seluruh dunia perlu mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya kekejaman itu serta menolak setiap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis terbabit.

''Kami menyeru masyarakat Islam di seluruh dunia agar menolak segala bentuk keganasan dilakukan rejim Zionis selain sokongan dalam diam Amerika Syarikat terhadap kekejaman itu,'' katanya melalui laman blog www.mukhriz. com di sini hari ini.

Mukhriz mengulas mengenai serangan terbaru Israel ke atas masyarakat Palestin di Genting Gaza yang mengorbankan ramai nyawa tidak berdosa termasuk kanak-kanak.

Kekejaman itu bagaimanapun mendapat restu Amerika Syarikat yang menyalahkan Hamas kerana didakwa melakukan provokasi sehingga mendorong Israel melancarkan serangan tersebut.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, tindakan tentera Israel yang sengaja menjadikan warga tua, wanita dan kanak-kanak sebagai sasaran turut menambahkan kebencian masyarakat Islam di seluruh dunia terhadap rejim Yahudi itu.

''Tindakan mereka menyerang Universiti Islam Gaza sudah cukup membuktikan kecenderungan mereka untuk menyerang masyarakat awam.

''Ia menimbulkan kemarahan masyarakat dunia yang cintakan keamanan dan atas dasar itu, Israel perlu menghentikan kegiatan yang tidak berlandaskan moral dan perundangan ini dengan serta merta,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 31 Disember 2008
+

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik blog tidak bertanggungjawab dengan komen yang anda berikan. Adalah dinasihatkan setiap komen dibuat mengikut lunas undang-undang. Terima kasih.