02 Januari, 2009

Yayasan Perang desak Israel henti serang Gaza

-
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Yayasan Perang Jenayah Kuala Lumpur menggesa masyarakat antarabangsa bersama- sama bertindak segera, mendesak Israel memberhentikan pengeboman di Gaza dan pembunuhan yang kejam dan beramai-ramai terhadap penduduk yang tidak berdosa.

Pengerusinya, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, yayasan itu juga menggesa kerajaan Amerika Syarikat, Britain dan kuasa besar lain memberikan tekanan terhadap Tel Aviv untuk memberhentikan pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan terhadap lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin di Gaza dengan bom dan senjata lain.

Yayasan itu menyokong gesaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan gencatan senjata segera dan menamatkan semua operasi ketenteraan bagi menyenangkan kerja-kerja dan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, katanya.

"Hati kita untuk penduduk Gaza pada masa kesengsaraan ini," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, yayasan ini terkejut dan marah dengan penaklukan Israel di Gaza Sabtu lepas yang mengakibatkan kira-kira 300 lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin terbunuh.

Sementara itu Perikatan Rakyat untuk Keamanan Malaysia (Aman Malaysia) menggesa Wisma Putra membentangkan usul di PBB untuk menganjurkan dan menghantar segera pasukan petugas kemanusiaan PBB untuk meringankan kesengsaraan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Penyelaras Aman Malaysia dan Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tindakan sia-sia dan pembunuhan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin oleh kerajaan Israel bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan resolusi PBB.

"Kita juga meminta PBB mengutuk Israel sekeras-kerasnya dengan tindakan yang menjijikkan itu dan Amerika Syarikat kerana bersubahat dengan tindakan keganasan tersebut yang ditaja negara ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai boleh memberikan sumbangan wang kepada Kassem Aina, Institut Nasional Penjagaan Sosial dan Latihan Vokasional (NISCVT) yang menganjurkan bantuan kemanusiaan ini dalam bentuk barang makanan keperluan seperti susu dan ubat-ubatan untuk rakyat Palestin yang sengsara.

Sumbangan boleh dihantar kepada Donations for Children, National Institution of Social Care and Vocational Training account number 00 1 10684 5002 at First National Bank, Immobilita Building, SWIFT Code: FINKLBBE, Hamra Street, P.O. Box 113-5453, Beirut, Lubnan.

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Januari 2009
+

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik blog tidak bertanggungjawab dengan komen yang anda berikan. Adalah dinasihatkan setiap komen dibuat mengikut lunas undang-undang. Terima kasih.