-
BN memilih Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon.
Isa Samad sah calon BN di Bagan Pinang
29/09/2009 5:24pm
PORT DICKSON 29 Sept. – Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini diumumkan secara rasmi sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai dekat sini petang ini.
Mohd. Isa, 60, merupakan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun.
Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober ini.
Terdapat 13,664 pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang dengan 9,060 merupakan pengundi biasa manakala 4,604 pengundi pos.
DUN Bagan Pinang mempunyai 62.7 peratus pengundi Melayu, 20.7 peratus India, 10.9 peratus Cina dan 5.5 peratus kaum lain.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Azman Mohd Nor pada 4 September lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Allahyarham Azman memenangi kerusi DUN itu selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. - Utusan
Manakala, Pas pula memilih Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.
Pesuruhjaya Pas Negeri calon di Bagan Pinang
29/09/2009 10:48pm
PORT DICKSON 29 Sept. – Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar, 45, dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Zulkefly sebelum ini pernah bertanding pada pilihan raya umum lalu bagi kerusi DUN Lenggeng, tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Mustafa Salim dengan majoriti 1,285 undi.
Pengumuman calon Pas itu dibuat oleh Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pukul 10.30 malam ini di Bilik Gerakan pakatan pembangkang dekat pejabat DAP Teluk Kemang di sini.
- Utusan
Penulis berharap BN dapat mempertahankan kerusi Bagan Pinang. Kemenangan BN sangat diperlukan untuk menyuntik semangat di kalangan penyokong BN di kala kekalahan BN di semua PRK kecuali di Batang Ai. Jika BN kalah di Bagan Pinang, penulis percaya signal bakal tersungkurnya BN pada PRU13 semakin jelas.
Untuk memastikan rakyat kembali menerima BN, Najib sebagai pengemudi BN perlu sentiasa peka. Najib perlu melakukan sesuatu yang benar-benar signifikan kepada orang Melayu dan Bumiputra. Sudah ada suara-suara orang Melayu dan Bumiputra yang terguris dengan segala fokus Najib yang banyak tertumpu kepada bukan Bumiputra. Bumiputra selaku majoriti seakan dipinggir. (Mungkin Najib tidak dimaklumkan oleh para penasihatnya).
Najib tidak punya banyak masa lagi. Langkah-langkah yang perlu mesti dilaksanakan agar sokongan Bumiputra dan rakyat kembali padu terhadap BN. Lakukan apa yang sepatutnya. Pujuklah rakyat dengan cara yang adil (dengan memberi fokus kepada semua secara adil).
+
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pemilik blog tidak bertanggungjawab dengan komen yang anda berikan. Adalah dinasihatkan setiap komen dibuat mengikut lunas undang-undang. Terima kasih.