KUALA LUMPUR 16 Jun - Malaysia bukan merupakan sebuah negara sekular
berdasarkan fakta sejarah penubuhan negara ini yang berasaskan kepada
Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-raja Melayu yang merupakan
Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
(gambar) berkata, perkara itu diperkukuhkan melalui Perkara 3
Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengatakan agama Islam adalah agama
Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian
Persekutuan.
Beliau berkata, kedudukan ini juga dizahirkan dengan adanya
peruntukan lain seperti dalam Fasal (4) Perkara 11 berkenaan dengan
penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain
dalam kalangan penganut agama Islam oleh undang-undang Negeri dan
Persekutuan.
Malah, katanya, dalam Fasal (2) Perkara 12 tentang hak berkenaan
dengan pendidikan, di mana sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri
menubuhkan, menyenggarakan, membantu dalam menubuhkan atau
menyenggarakan institusi Islam atau membantu untuk mengadakan ajaran
dalam agama Islam serta melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu.
"Dalam Fasal (1A) perkara 121 juga menyebut bahawa Mahkamah Sivil
tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam
bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Oscar
Ling Chai Yew (DAP-Sibu) sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular
atau Islam dalam Dewan Rakyat hari ini.
Jamil Khir menjelaskan, kedudukan tersebut jelas berbeza dengan
negara sekular yang tidak menetapkan sesuatu agama sebagai agama negara
tetapi rakyatnya dibenarkan mengamalkan agama masing-masing.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140617/pa_02/Malaysia-bukan-negara-sekular---Jamil-Khir#ixzz34xDq4HK3
© Utusan Melayu (M) Bhd
TERBAEKKK... SYUKUR ALHAMDULILLAH... MALAYSIA ADALAH NEGARA ISLAM. PERUNTUKAN YANG MENJAGA AGAMA ISLAM YANG DISEBUT DALAM ARTIKEL DIATAS SEPERTI BERIKUT,
PERKARA 3.
UGAMA BAGI PERSEKUTUAN.
(1) Ugama Islam ialah
ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di
mana-mana bahagian Persekutuan.
(2) Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak
mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan
setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga,
tertakluk kepada perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan
kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat,
tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis
Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah
atas sifatnya sebagai Ketua ugama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.
(3) Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-negeri Melaka, Pulau
Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada
Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.
(4) Tiada apa-apa dalam Perkara ini mengurangkan kuasa mana-mana
peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.
(5) Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan
Agong hendaklah menjadi Ketua ugama Islam dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
dan Labuan; dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat
peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal ugama Islam dan bagi
menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara
berhubung dengan ugama Islam.
Perkara 11. Kebebasan Beragama
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang
hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud
sesuatu agama selain agamanya sendiri.
(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—
(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.
(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang
persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin
atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang
berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan
ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.
Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan
(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada
diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan
agama, ras, keturunan atau tempat lahir—
(a) dalam pentadbiran
mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak
berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau
pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan bantuan
kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan
atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi
pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau
tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).
(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan
institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu
sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama
dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan
institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang
itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan
atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan
institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan
ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana
yang perlu bagi maksud itu.
(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama
atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang
sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan
belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.
Pada tahun 1988, Kerajaan Persekutuan telah membuat pindaan terhadap
perlembagaan mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah terkenal dengan
Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 (Akta A 704) Perkara 121,
Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak
lagi mempunyai bidangkuasa berkenaan apa-apa perkara yang Mahkamah
Syariah mempunyai bidangkuasa. Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan
Persekutuan menyebutkan: "Mahkamah-Mahkamah yang disebut di dalam Fasal
(1) tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa dengan apa-apa perkara dalam
bidangkuasa Mahkamah Syariah".