Tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru YB Datuk Seri Zahrain keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengumumkan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen bebas pada pagi 12 Feb 2010 sebenarnya sudah boleh diagak.
Bagi penulis, mana-mana manusia yang waras pasti akan mengambil tindakan sedemikian. Hanya ahli politik dan penyokong yang tidak waras sahaja akan terus bersekongkol dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang bersikap chauvinis, ekstremis, diktator, dan berfikiran ala komunis dan terus berasa seolah-olah sangat selesa untuk terus berada dalam Pakatan Rakyat (PR).
Penulis sangat percaya bahawa rakyat sudah mula dapat melihat sendiri rupa dan perangai sebenar DAP. Rakyat sebenarnya sudah banyak kali meluahkan rasa tidak senang hati dengan dasar yang diguna pakai oleh kerajaan PR di negeri-negeri yang didominasi DAP seperti Pulau Pinang, Perak di bawah mantan Menteri Besar (MB) Boneka DAP YB Dato’ Seri Nizar Jamaludin dan Selangor.
Namun keluhan rakyat marhaen yang tidak ada kuasa semuanya dipandang sepi dan enteng oleh seluruh kepimpinan PR. Lebih teruk lagi keluhan rakyat tersebut pula mereka tuduh dan label sebagai suara agen Barisan Nasional (BN).
Apakah PR akan berfikir semula setelah beberapa prang pemimpinnya sendiri seperti Zahrain yang menyuarakan suara hati rakyat itu? Atau PR masih lagi dibuai mimpi masih berada dalam keadaan tidak mahu menerima hakikat sebenar? Baguslah kalau begitu! Teruskanlah bermimpi indah!
Barisan kepimpinan gabungan parti DAP-PKR-PAS sebenarnya terlupa atau buat-buat lupa bahawa kemenangan mereka adalah disebabkan rakyat sangat benci dengan sikap tidak ambil berat dan bongkak BN semasa pentadbiran anak-beranak mantan Perdana Menteri (PM) Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dahulu, kalau PR meletakkan calon ‘tunggul kayu’ pun sebagai calonnya, rakyat akan pangkah atau mengundi ‘tunggul kayu’ tersebut sebagai wakil rakyat mereka disebabkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap corak pentadbiran BN (dan juga Khairy Jamaludin). Itulah realitinya.
Kini, di bawah pentadbiran PM YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak penulis dapat melihat sendiri bagaimana UMNO dan seluruh parti komponen BN menginsafi kesilapan lalu dan berusaha keras untuk berkhidmat dengan lebih baik demi menjaga kebajikan rakyat keseluruhannya.
Wakil-wakil rakyat BN dilihat lebih rajin turun padang untuk melihat sendiri dan menyelesaikan masalah rakyat di kawasan yang mereka wakili. Masalah rakyat diselesaikan secepat mungkin. Malahan kalau dahulu muka Yang Berhormat (YB) susah hendak nampak, kini asyik nampak muka YB sahaja. Kalau dahulu hantar borang kena tunggu seminggu baru dapat perhatian YB, tapi kini, hari ini hantar borang, esok sudah boleh ambil.
Tetapi dalam masa yang sama, kita semua dapat melihat bagaimana kerajaan yang dikuasai PR yang mana baru mendapat kuasa sudah mula lupa akan janji-janji manis yang ditabur sebelum PRU12 dahulu. Mereka dilihat gagal menunaikan janji-janji yang ditabur. Malahan banyak tindakan kerajaan negeri yang dikuasai PR dilihat jauh lebih teruk dari kerajaan BN di bawah pimpinan Tun Abdullah dahulu.
Bagi penulis, kecelaruan dan tidak berkesannya kerajaan negeri PR adalah salah satunya disebabkan oleh sikap DAP dalam PR. DAP dilihat cuba mencorak hala tuju PR di semua negeri yang dikuasai PR. Malahan di negeri yang mana DAP begitu dominan, rakyat boleh melihat sendiri bagaimana dasar dwi-standard diamalkan.
Di Pulau Pinang contohnya, Zahrain dalam temubual dengan akhbar New Straits Times mendedahkan bagaimana dasar dwi-standard amalan DAP yang hanya ‘bijak’ bertindak terhadap peniaga Melayu.
Malahan, pemimpin DAP di negeri yang dikuasai PAS seperti Kedah juga terpaksa mengikut telunjuk DAP dalam beberapa isu. Kita dapat melihat bagaimana kerajaan PAS Kedah pimpinan YAB MB Dato' Seri Azizan terpaksa menarik kembali beberapa dasar kerajaan negeri yang mendapat tentangan hebat oleh DAP. Malahan DAP dilihat berjaya dilihat sebagai pemberi kata pemutus dalam banyak perkara.
Gesaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu dari PKR iaitu YB Zulkifli Noordin baru-baru ini bahawa DAP wajib ditendang keluar dari PR jelas menunjukkan bahawa sudah ramai dari kalangan pemimpin PR khususnya pemimpin Melayu sedar hakikat sebenar perjuangan sebuah parti chauvinis bernama DAP (dan rakyat sebenarnya sudah lama sedar!). Mereka sudah dapat melihat bagaimana segala tindak tanduk DAP adalah dengan kos melemahkan PKR dan PAS itu sendiri.
Rakyat yang bersikap celik akal sudah tahu bagaimana cara DAP berpolitik. Rakyat boleh melihat sendiri bagaimana hampir semua pemimpin PR yang mengkritik DAP dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti sedangkan selama ini rakyat dihidangkan 'drama' segala tanduk para pemimpin DAP yang mengkritik rakan komponennya contohnya di Selangor dan Kedah tanpa dikenakan sebarang tindakan disiplin.
Pemimpin DAP yang bermulut celupar mengkritik dilihat seolah-olah kebal dari sebarang tindakan disiplin dan tidak boleh disentuh oleh PAS dan PKR. Umum juga melihat bagaimana mulut-mulut busuk pemimpin DAP inilah yang sibuk mencanang agar beberapa pemimpin PR yang mengkritik DAP dikenakan tindakan disiplin.
Dan rakyat juga tahu bahawa pemimpin Melayu PR yang bersuara mengkritik DAP adalah untuk mempertahankan sesuatu isu dan sesuatu perkara yang dekat di hati pengundi Melayu. Mereka ini sudah bosan dilabel agen UMNO sedangkan suara akar umbi mahukan mereka lebih vokal mempertahankan apa yang sepatutnya dipertahankan.
Apakah gesaan Zulkifli agar DAP ditendang keluar akan dipandang sepi? Atau beliau pula yang akan ditendang keluar? Penulis menyarankan agar eloklah jika sekiranya Zulkifli keluar sahaja menjadi Ahli Parlimen bebas daripada terus “menunggang motorsikal Kawasaki yang salah”.
Para pemimpin PR nampaknya masih lagi dibuai mimpi dengan melabel Zulkifli sebagai suara UMNO sedangkan umum mengetahui bahawa parti Melayu dalam PR seperti Pas dan PKR semakin hari semakin susut sokongan dari pengundi Melayu jika dikaji dalam setiap kali selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca PRU12.
Persoalannya, sampai bilakah pemimpin dan penyokong PKR dan Pas mahu jadi bebal untuk terus berada dalam PR?
+