DAP melalui Setiausaha Publisiti,
Tony Pua yang juga merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara telah mengeluarkan kenyataan membidas analisa Pengarah Operasi Penyelidikan Pas Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki. Tony Pua (dalam Sinar Harian, 30 Julai 2014) telah meletakkan label rasis dan ekstremis ke atas Dr. Zuhdi.
Persoalannya, apakah benar apa yang ditulis oleh Dr. Zuhdi itu bersifat rasis dan ekstremis? Penulis tidak fikir apa yang ditulis oleh Dr
Zuhdi adalah menjadi satu kesalahan sehingga boleh dilabel rasis dan ekstremis oleh DAP.
Apa yang dikatakan oleh beliau adalah sesuatu yang benar dan apa yang lebih penting ianya bersandarkan
undang-undang. Malah DAP boleh sahaja membuat laporan polis sekiranya
berpendapat bahawa analisa Dr Zuhdi itu rasis dan ekstremis.
Penulis percaya DAP tidak akan berani berbuat
demikian kerana sedar bahawa mereka membuat kenyataan yang tidak bersandarkan
pada undang-undang yang sah. Sebaliknya apa yang diperkatakan oleh Dr Zuhdi
adalah bersandarkan undang-undang yang sah yang terpakai dan masih berjalan
dalam negara ini.
Berikut antara apa yang DAP persoalkan . (Untuk laporan penuh, sila rujuk Sinar Harian):
Yang mencetuskan kontroversi adalah isi kandungan mesej
beliau bahawa selepas penceraian daripada PR, "DAP, gereja dan non-Muslim
melalak isu serbuan, kalimah ALLAH, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun
ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana
suara non-muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini.”
‘Analisa’ Dr Mohd Zuhdi jelas menunjukkan fikiran rasis dan
ekstremis beliau di mana hak rakyat Malaysia yang bukan Islam dan bukan Melayu
dijentik dan disergah.
Dr Mohd Zuhdi berpendapat bahawa antara faedah
penceraian adalah ia dapat “kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam”.
Isunya ialah Dr Mohd Zuhdi telah membongkarkan fikiran dan sifat rasis dan ekstremis beliau dalam analisanya. Oleh sebab itu, nama beliau masih tidak “dapat dibersihkan daripada tanggapan buruk pelbagai golongan.” Rakyat Malaysia meminta supaya Dr Mohd Zuhdi menyedari pemikiran sempit beliau dan memohon maaf ke atas pendapat beliau.
Kalau pemikiran yang rasis dan ekstremis tersebut tidak dikesali, kami tidak beringin Dr Mohd Zuhdi terus berada dalam PR, mahupun beliau mungkin tidak berniat keluar. Pada masa yang sama, kami berharap supaya Pas mengambil tindakan ke atas pemimpin-pemimpin yang berpemikiran sempit seperti Dr Mohd Zuhdi supaya nama baik parti Pas yang berslogan “Pas for All” tidak terus tercemar.
Di dalam kenyataan Tony Pua itu beliau ada menyatakan bahawa apa yang kontroversi ialah analisa Dr. Zuhdi yang membidas campur tangan DAP, pihak gereja dan bukan Muslim dalam hal yang berkaitan dengan aktiviti pemurtadan oleh pihak gereja dan penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja Katolik di Selangor. Ini yang mendorong Tony Pua melabel Dr. Zuhdi sebagai rasis dan ektremis.
Hakikatnya, apa yang dikatakan oleh Dr. Zuhdi adalah cerminan daripada peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan, secara khusunya Perkara 11. Sepatutnya Dr. Zuhdi tidak dilabel sebagai rasis dan ekstremis, sebaliknya sebagai rakyat yang berani menegakkan apa yang benar seperti yang dimaktub kemas dalam Perlembagaan negara.
Perkara 11(1) menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti agama masing-masing. Tetapi Perkara 11(1) juga menyatakan pengembangan agama selain Islam tertakluk kepada Perkara 11(4) yang menyatakan undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal bagi mengawal dan menyekat pengembangan agama lain terhadap umat Islam. Perkara 11(1) hendaklah dibaca bersama Perkara 11(4).
Jadi dalam hal analisa Dr. Zuhdi yang menyentuh pemeriksaan pihak berkuasa agama Islam ke atas gereja yang jelas melanggar Perlembagaan ini tidaklah boleh DAP label sebagai rasis dan ekstremis. Sebetulnya DAP, pihak gereja dan bukan Islam yang persoal Perkara 11 ini yang wajar dilabel rasis dan ekstremis.
Dalam hal penyalahgunaan kalimah Allah oleh pihak gereja Katolik di Selangor pula ianya jelas melanggar undang-undang kerajaan negeri Selangor. Dalam Seksyen 9, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 jelas melarang penggunaan perkataan berkait rapat dengan Islam termasuklah kalimah ALLAH bagi tujuan pengembangan oleh agama selain Islam. Kedegilan DAP dan pihak gereja Katolik dalam isu kalimah Allah secara jelas turut melanggar Perkara 3 yang mana menggariskan Islam adalah agama bagi Persekutuan, walau bagaimanapun, agama lain boleh diamalkan dengan syarat diamalkan secara aman damai.
Jadi, yang rasis dan ekstremis bukanlah Dr. Zuhdi, tetapi DAP yang secara terang-terangan tidak menghormati undang-undang seperti termaktub dalam Perkara 11 dan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
Telunjuk DAP kepada Dr Zuhdi dengan label rasis dan ekstremis nampak sangat canggung kerana tidak ada salahnya dengan analisa tersebut. Sebaliknya tindakan DAP membidas analisa tersebut jelas memperlihatkan niat sebenar DAP. Niat sebenar DAP ialah mempertikai Perkara 11(4) dan Enakmen Selangor 1988 yang sesungguhnya tidak cocok dengan selera mereka. Hajat besar mereka sudah pun disuarakan oleh 3 ADUN DAP Selangor yang mahu Enakmen 1988 ini dipinda.
Kepada sahabat di pihak Pas. Apakah dengan terpelantingnya Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan digantikan dengan boneka DAP iaitu bini Anwar Ibrahim mampu mempertahankan apa yang selama ini Khalid Ibrahim cuba pertahankan walau pun berdepan tekanan hebat DAP, pihak gereja dan bukan Islam seperti mana analisa Dr Zuhdi itu?
Mampukah Pas Selangor menegakkan apa yang hak seperti termaktub dalam undang-undang? Atau selepas ini terus disenyapkan oleh suara-suara garang DAP, gereja dan bukan Islam di Selangor? Apa pilihan Pas buat masa ini? Ayuh kuak ke tepi perbezaan kita. Bersatulah demi kuasa politik Melayu Islam di Selangor.
Rujukan:
Abdul Monir Yaacob. (2009). “Perlaksanaan Perundangan Islam di
Malaysia: Satu Penilaian”. Dalam Jurnal Fiqh, No. 6 (2009) 1-20.
Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang
Islam), 1988 (Negeri Selangor).
NurHafilah Musa. (2007). “Undang-undang Kawalan
Penyebaran Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam – Satu Penilaian Selepas 50
Tahun Perlembagaan Persekutuan”. Kertas kerja dibentang dalam Persidangan Tuanku Jaafar 2007, 20 &
22 Ogos 2007, anjuran Fakulti Undang-Undang UKM.
Tony
Pua. (dalam Sinar Harian, 30 Julai
2014). “Kenyataan rasis: DAP mahu Zuhdi minta maaf”.
Ancaman-Ancaman terhadap Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara
Mahamad Naser bin Disa
Mukadimah
Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, sesuatu yang gah namanya dan
teguh kedudukannya akan sentiasa dilanda pelbagai ancaman serta
percubaan menggugat keagungannya. Demikianlah juga apa yang dihadapi
oleh agama dan umat Islam hari ini, termasuk di Malaysia. Meskipun
Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf dan memartabatkan kedudukan agama
Islam, namun pihak-pihak tertentu melakukan pelbagai usaha bagi
menimbulkan kekeliruan berhubung dengan kedudukannya yang tinggi lagi
berdaulat. Usaha-usaha yang dijalankan kelihatan tersusun dan licik,
kerana bermula dengan persepsi dan pentafsiran yang salah tentang
kedudukan tinggi agama Islam, ia akhirnya mendorong tindakan tidak wajar
atau tidak bijaksana, iaitu yang merugikan agama Islam dan umat Islam.
Kedaulatan agama Islam diabaikan begitu sahaja dan ruang yang luas
dibuka bagi memberikan peluang kepada pihak-pihak tertentu untuk terus
mengasak dan mempertikaikan ketuanan Islam di Negara ini. Kertas ini
akan menghuraikan isu, permasalahan, dan bentuk-bentuk ancaman yang
dihadapi oleh umat Islam pada hari ini. Seterusnya, kertas ini
mengemukakan saranan-saranan tertentu yang perlu diambil dengan penuh
perhatian dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Kekeliruan dalam Memahami Perkara 3(1)
Perbincangan pakar-pakar undang-undang berhubung dengan kedudukan
Islam dalam Perlembagaan sering kali dimulakan dengan kekaburan terhadap
maksud Perkara 3 (1). Justeru, timbullah pelbagai kesimpulan yang
ternyata bertentangan dengan maksud nyata Perkara 3 itu sendiri yang
menjadi pegangan banyak pihak. Antara kesimpulan yang dibuat
termasuklah Islam hanya sekadar agama rasmi sahaja. Sebagai agama
rasmi, maka ajaran dan adab-adab yang digariskan dalam Islam hanyalah
terpakai dalam situasi tertentu, misalnya amalan membaca doa pada
pembukaan majlis rasmi. Lebih membimbangkan daripada itu ialah majoriti
peguam bukan Islam dan sebahagian peguam Islam menganggap bahawa negara
ini merupakan sebuah negara sekular. Kefahaman dan tanggapan kumpulan
ini mempunyai pengaruh yang meluas serta mendalam dalam kalangan
masyarakat bukan Islam dan sebahagian umat Islam.
Sebahagian besar aktivis pertubuhan Islam berpegang pada gabungan
kedua-duanya, iaitu Malaysia ialah negara sekular yang meletakkan Islam
sekadar agama rasmi. Mereka berpegang pada Perlembagaan negara ini yang
memartabatkan sekularisme sebagai ideologi negara dan dengan demikian,
manifesto perjuangan mereka ialah menukar wajah perlembagaan dan
ideologi negara daripada sekular kepada Islam. Alasannya ialah Perkara 4
memartabatkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan
menggantikan al-Qur’an dan al-Sunnah. Justeru, sebahagian besar aktivis
gerakan Islam meletakkan perspektif perjuangan mereka di luar ruang
lingkup Perlembagaan yang ada.
Malaysia Negara Sekular?
Pegangan yang menyimpulkan bahawa Malaysia sebuah negara sekular
berasaskan laporan Kertas Putih tentang syor perlembagaan yang
mencadangkan agar Islam dimartabatkan sebagai agama Persekutuan dalam
perkara 3(1) dan pada masa yang sama, menjamin kebebasan beragama serta
melindungi kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama bagi negeri
masing-masing daripada terjejas. Kertas Putih ini juga menyebut bahawa
kedudukan Islam itu tidak akan menjejaskan sifat sekular Persekutuan.
Atas jaminan ini, MCA dan MIC dikatakan telah bersetuju untuk menerima
perkara 3(1) itu dengan senang hati.
Persoalannya adakah rujukan kepada Kertas Putih syor perlembagaan itu
membantu kita untuk mentafsirkan perkara 3(1) secara konklusif? Atau
adakah kita terus dikelirukan pula dengan persoalan berkaitan dengan
maksud sifat sekular itu? Apa yang berlaku sekarang ini ialah kumpulan
ini terus merujuk kepada Kertas Putih itu. Mereka menerima jaminan yang
diberikan dalam Kertas Putih berkenaan seolah-olah itulah yang termaktub
dalam perlembagaan yang seolah-olah berbunyi, “Islam ialah agama
Persekutuan, namun ini tidaklah menghilangkan sifat sekular
Persekutuan.”
Kekeliruan yang cuba ditimbulkan kumpulan ini bukan sahaja bertujuan
menyerlahkan negara ini sebagai negara sekular, malah mereka
terus-menerus berusaha menghakis dan menghilangkan bahagian awal perkara
3(1) sehingga ia seolah-olah berbunyi, “Persekutuan ialah sebuah Negara
sekular, namun adat-istiadat Islam dan Melayu boleh diamalkan dalam
acara rasmi.” Inilah pegangan yang mendominasi Majlis Peguam Malaysia
dan diperjuangkan dengan hebat oleh Kumpulan Artikel 11. Hal ini dapat
dilihat dalam kes Lina Joy pada peringkat Mahkamah Persekutuan, apabila
peguamnya berkata,
“Sudah tiba masanya orang Melayu difahamkan bahawa kedudukan Islam
adalah lebih rendah daripada Perlembagaan kita dan mesej ini hendaklah
dijelaskan kepada mereka oleh mahkamah yang mulia ini.”
Usaha Mendaulatkan Perkara 3 (1)
Usaha untuk mendaulatkan kedudukan Islam sebagai agama Negara telah
dilakukan oleh peguam-peguam bukan Islam yang pada hakikatnya hanya
merupakan pembelaan bagi mengelakkan anak guam mereka daripada dijatuhi
hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah dan memiliki senjata api.
Dalam kes Che’ Omar bin Che Soh lwn Public Prosecutor,
peguam-peguam T Mura Raju dan Ramdas Tikamdas berhujah bahawa hukuman
mati bagi kedua-dua kesalahan itu bercanggah dengan hukum syarak kerana
kedua-dua kesalahan itu bukan merupakan kesalahan hudud. Oleh itu, ia
bercanggah dengan perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama
Persekutuan.
Meskipun Mahkamah Agung yang diketuai oleh Tun Mohd Salleh Abbas
telah memberikan tafsiran yang betul bagi Islam berdasarkan tulisan
S.A.A al Maudu di dalam bukunya, The Islamic Law and Constitution,
namun malangnya, keberkesanan perkara 3(1) telah disempitkan
berdasarkan niat dan hasrat penggubal Perlembagaan. Hakim yang bijaksana
itu telah menghuraikan suasana pemerintahan dan politik di
negeri-negeri Melayu sejak tahun 1874 dan seterusnya semasa pembentukan
Persekutuan Tanah Melayu yang memisahkan antara pentadbiran Negara yang
terletak di tangan penjajah dengan hal-ehwal agama di bawah bidang kuasa
Raja-raja. Beliau menyimpulkan-
“In our view, it is in this sense of dichotomy that the framers of
the Constitution understood the meaning of the word Islam in the
context of Article 3. If it had been otherwise, there would been another
provision in the Constitution which would have the effect that any law
contrary to the injuction of Islam will be void. Far from making such
provision, Article 62, on the other hand, purposesly preserves the
continuity of secular law prior to the Constitution, unless such law is
contrary to the latter.“
Jelas pendekatan mahkamah tertinggi Negara ketika itu, iaitu pada
tahun 1988, masih mentafsirkan perkara 3(1) dengan merujuk kepada niat
penggubal dan bukan kepada maksud Islam itu sendiri. Walaupun bahasa
yang digunakan bagi menghuraikan peruntukan Perkara 3(1) itu amat jelas,
namun kelihatan mahkamah masih juga mahu merujuk kepada niat penggubal.
Walau bagaimanapun, dari satu aspek, Mahkamah Agung sama sekali tidak
memutuskan bahawa Negara ini ialah Negara sekular sebagaimana yang
sering dihujahkan oleh peguam bukan Islam dan sebahagian kecil peguam
hak asasi manusia kebelakangan ini. Sebaliknya apa yang diutarakan oleh
Mahkamah Agung ialah undang-undang yang terpakai merupakan undang-undang
sekular, sebagaimana yang dibenarkan oleh Perkara 162 Perlembagaan.
Dalam hubungan ini, hakim berkenaan mengaitkan Perkara 3(1) dengan
Perkara 162 yang dikatakan membenarkan undang-undang sekular untuk terus
berkuat kuasa. Namun jika diteliti secara cermat, Perkara 162 itu
merupakan peruntukan transitional yang membenarkan pemakaian
undang-undang sebelum merdeka untuk tertakluk pada pengubahsuaian dan
pindaan yang boleh dilakukan kemudian oleh pihak berkuasa.
Jelas di sini bahawa Perkara 162 dimasukkan bagi membolehkan proses
pengubahsuaian atau pindaan dilakukan terhadap undang-undang yang sedia
berkuatkuasa sebelum merdeka. Hal ini bermaksud, sekiranya undang-undang
itu bercanggah dengan Perkara 3(1), maka ia boleh dipinda supaya
selaras dengan Islam. Perkara 162 tidak boleh dijadikan hujah untuk
menyifatkan negara ini sebagai sebuah negara sekular atau membenarkan
undang-undang yang bercanggah dengan Islam terus berkuat kuasa.
Oleh sebab itulah didapati di bahagian akhir penghakimannya, hakim
yang bijaksana itu menyarankan supaya hujah kedua-dua peguam itu
diteruskan dalam forum-forum lain seperti di Parlimen dan juga
disampaikan kepada ahli politik. Namun malangnya, saranan hakim itu
tidak diikuti oleh peguam-peguam Islam yang lain dan tidak kelihatan
usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengkaji keberkesanan Perkara 3(1)
bagi memartabatkan kedudukan Islam. Sebaliknya, majoriti peguam Islam
mengambil sikap menerima sahaja keputusan Mahkamah Agung itu.
Meskipun demikian keadaannya, kita wajar bersyukur atas usaha yang diambil oleh Hakim Mohd Noor Abdullah dalam kes Meor Atiqurrahman lwn Fatimah bte Sihi
[2000] 5 MLJ 375 untuk mentafsir Perkara 3(1) dengan lebih tepat. Pada
hakikatnya, usaha penting yang diambil hakim yang bijaksana itu telah
merintis jalan ke arah pemurnian kefahaman tentang kedudukan Islam dan
pemartabatannya dalam negara yang bertuah ini. Beliau menegaskan bahawa
seharusnya, dengan memenuhi semangat Perlembagaan, pakaian murid lelaki
ialah seluar panjang dengan memberi pilihan memakai seluar pendek dan
pakaian murid perempuan ialah baju kurung, kain sarung dan
tudung/telekung dengan memberi pilihan memakai pinafore tunic dan blouse atau skirt.
Peraturan sebaliknya jelas membelakangkan agama Islam, iaitu yang
dahulu dikemudiankan dan yang kemudian didahulukan dan ia jelas tidak
selari dengan Perlembagaan Persekutuan.[1]
Beliau selanjutnya menyatakan bahawa Islam sebagai ad-deen merangkumi
keseluruhan aktiviti kehidupan manusia dan dalam hubungan ini, beliau
memetik pandangan S Abdul A’la Maududi dalam bukunya, The Islamic Law and Constitution,
bahawa Islam bukan sekadar kumpulan dogma dan ritual tetapi sebaliknya
cara hidup yang meliputi semua bidang dan aktiviti kehiudpan manusia,
sama ada undang-undang, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, akhlak,
dan sebagainya.[2]
YA Hakim Mohd Noor seterusnya menegaskan bahawa frasa “Islam ialah
ugama bagi Persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan
aman dan damai” bermaksud Islam merupakan agama yang utama berbanding
dengan agama-agama lain di negara ini seperti Kristian, Buddha, Hindu
dan selainnya. Islam bukan setaraf dengan agama lain, tidak juga duduk
berganding bahu atau berdiri sama tegak. Malah sebaliknya, Islam duduk
di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya
lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati—tinggi, teguh dan terampil.
Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan tetapi
merupakan salah satu antara beberapa agama yang dianuti di negara ini
dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana agama yang
dianutinya, tiada satu pun antara agama tersebut yang memiliki kelebihan
berbanding dengan yang lain.
Walaupun keputusan YA Hakim Mohd. Noor Abdullah diketepikan pada
peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun pendekatan
yang diambil dalam mentafsirkan Perkara 3(1) tidak sama sekali disentuh
oleh mahkamah tertinggi negara. Bahkan ketika memberikan penghakiman
Mahkamah Persekutuan, Hakim Abdul Hamid Mohamad mengambil pendekatan
hukum syarak dalam memutuskan kedudukan peraturan sekolah yang
mengharamkan pemakaian serban oleh pelajar-pelajar sekolah rendah. Hakim
berkenaan berkata -
[37] SP3 gave his opinion that the wearing of turban is ‘sunat’.
Clearly, he based his opinion on the views of the traditional jurists —
the turban wearing scholars from turban-wearing communities who lived at
a time when the wearing of turban was customary or fashionable.
Certainly their surroundings could have, to a certain extent, influenced
their views on a matter such as the wearing of turban where Al-Quran is
silent. That is natural. Imam Shafie revised some of his rulings after
living in Egypt for a few years and observing the custom of the people
there. That is the mark of a great jurist!
[38] Even if we were to accept the view of SP3 that men wearing of
turban (by adult Muslim male) is ‘sunat’ or (commendable), it certainly
does not rank on the same level as ‘sunat prayers’, as learned counsel
for the appellants tried to convince the court when the question was put
to him by me.
[39] So, the ‘practice’ is of little significance from the point of
view of the religion of Islam, what more, in relation to underaged boys.
Certainly, it is not a part of ‘Islamic prophetic teaching’ as
submitted by the learned counsel for the appellants.
[40] Moving to the second factor which, in my view, should be considered i.e. the extent of the ‘prohibition’.
[41] We are not dealing with a total prohibition of wearing of the
turban. The students, primary school students of the school, are not
allowed to wear the turban as part of the school uniform, i.e. during
the school hours. They are not prevented from wearing the turban at
other times. Even in school, certainly, they would not be prevented from
wearing the turban when they perform, say, their ‘Zohor’ prayer in the
school ‘surau’ (prayer room). But, if they join the ‘Boy Scout’, it is
only natural if they are required to wear the Scouts uniform during its
activities. Or, when they play football, naturally they would be
required to wear shorts and T-shirts. Should they be allowed to wear
‘jubah’ when playing football because it was the practice of the Prophet
(PBUH) to wear jubah? Following the arguments or learned counsel for
the appellants, they should. Certainly, there is a place for everything.
[42] Furthermore, there is nothing to prevent them from changing
school, eg to a ‘pondok’ school that would allow them to wear the
turban.
[43] To accept the learned counsel’s argument would mean that anybody
has a right to do anything, any time, anywhere which he considers to be
a practice of his religion, no matter how trivial. The only limit is
clause (5). To me, that cannot be the law.”
Pendekatan yang diambil oleh YA Hakim Abdul Hamid Mohamad menunjukkan
bahawa pentafsiran tentang hak individu pada pandangan Islam boleh
dilakukan di Mahkamah Persekutuan. Pendekatan sebegini sepatutnya mampu
dilakukan oleh hakim-hakim tanpa merujuk kepada keterangan saksi pakar
kerana undang-undang Islam merupakan the law of the land, sebagaimana yang diputuskan dalam kes Ramah lwn Laton. Oleh itu negara perlu mempunyai hakim-hakim yang berkemampuan untuk memutuskan kes berdasarkan hukum syarak.
Perkara 3 (1) Memartabatkan Kedudukan Istimewa Agama Islam
Terdapat juga pandangan bahawa peruntukan dalam Perkara 3(1) itu
hanya mengatakan bahawa sebagai agama rasmi Persekutuan, Islam merupakan
satu-satunya agama yang diberi kedudukan yang sebegitu tinggi
berbanding dengan agama-agama lain. Peringatan sedemikian pernah
diutarakan oleh Y. A. Dato’ Abdul Hamid Mohamad dalam kes Kamariah bte Ali Iwn Kerajaan Negeri Kelantan.
Hakim bekenaan menjelaskan bahawa Perlembagaan juga memberi kuasa
kepada Badan Perundangan Negeri untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam
perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual
Kesembilan. Selain itu, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
1965 juga digubal, selaras dengan kehendak Senarai II tersebut.
Kedudukan istimewa Islam sebagai agama yang paling dominan juga
diiktiraf melalui Artikel 11 walaupun Artikel tersebut menyebut tentang
kebebasan beragama. Hal ini dapat dilihat dalam Klausa (1) dan (4):
(1) “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Perkara (4), mengembangkannya,
(4) Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang
Persekutuan boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin
atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”
Fasal (4) dengan jelas bertujuan memberi kuasa kepada Negeri untuk
membuat undang-undang yang dapat melindungi serta mempertahankan agama
Islam daripada dipengaruhi oleh ajaran atau amalan agama-agama lain.
Dengan kata-kata lain, walaupun agama lain bebas diamalkan oleh
penganutnya dalam negara ini, mereka dilarang daripada menyebarkan
ajaran agama mereka kepada umat Islam atas alasan Islam merupakan agama
bagi negara ini. Lantaran itu, sebagai agama negara, Islam tidak layak
sama sekali untuk diperlakukan sesuka hati dan dengan
sewenang-wenangnya, apatah lagi untuk dihina serta direndahkan
martabatnya.
Pendekatan Holistik dalam Mentafsirkan Perlembagaan
Dalam kes Danaharta Urus Sdn. Bhd. lwn Kekatong Sdn Bhd & Anor,
Mahkamah Persekutuan menyebut betapa perlunya Perlembagaan dilihat
secara menyeluruh untuk mengelakkan daripada berlakunya penyelewengan
terhadap maksud sebenar sesuatu peruntukan dalam Perlembagaan. Dalam
penghakiman kes ini, mahkamah menegaskan:
“.. .Tafsiran terhadap peruntukan dalam Perlembagaan dibuat dengan
cara merujuk kepada dua peruntukan atau lebih secara bersama untuk
mendapatkan maksud yang tepat. la adalah satu kaedah yang sememangnya
diiktiraf dalam mana-mana perlembagaan. Adalah perlu untuk merujuk
kepada ‘Bindra’s Interpretation of Statute 7th Ed’ di mana ia menyebut, Perlembagaan
mesti dilihat secara menyeluruh untuk memastikan bahawa kesemua
peruntukannya adalah berikat dan berkuasa. la adalah satu kaedah yang
diiktiraf dalam mana-mana Perlembagaan bahawa sesuatu peruntukan dalam
Perlembagaan tidak boleh dipisahkan daripada peruntukan yang lain dan
dibiarkan berasingan. Pengasingan yang sedemikian akan menyebabkan
kedaulatan sesebuah Perlembagaan itu tergugat dan lari daripada tujuan
sebenar penggubalan sesebuah Perlembagaan.”
Atas sebab yang sama, mengasingkan sesuatu peruntukan daripada
peruntukan yang lain dan memberikan tafsiran yang juga dibuat secara
berasingan adalah janggal dan tidak tepat…”
Untuk tujuan memahami dan menghargai kedudukan Islam dalam
Perlembagaan, maka Perlembagaan itu sendiri perlu dilihat secara
keseluruhannya. Aspek utama perlembagaan yang sering diperkatakan oleh
peguam hak asasi manusia sebagai dominan dan perlu dihormati ialah
Bahagian ll yang merangkumi Kebebasan Asasi, Kesamarataan, Hak Kebebasan
Berucap, Berkumpul dan Berpersatuan, Hak Kebebasan beragama ,Hak
Mengenai Pendidikan dan sebagainya.
Pada dasarnya, hak-hak yang diiktiraf oleh Perlembagaan ini adalah
selaras dengan ajaran Islam. Malah, Islam ternyata mendahului ideologi
–ideologi lain, termasuk daripada barat dalam mengiktiraf dan membela
hak-hak ini meskipun ajaran Islam tidak menamainya secara khusus seperti
hak asasi manusia, hak wanita, hak kebebasan, dan sebagainya. Namun
demikian, perlulah disedari dan diingatkan bahawa hak dan kebebasan yang
diberikan oleh Perlembagaan itu tidaklah bersifat mutlak. Perkara 5
memperuntukkan, “No person shall be deprived of his life or personal
liberty save in accordance with law,” Perkara 8 (2) menegaskan,“Except
as expressly authorised by his constitution, there shall be no
discrimination against citizens…”, dan Perkara 10 menyatakan “(1)
Subject to Clauses (2), (3) and (4) – (a) every citizen has the right to
freedom of speech and expression;”
Oleh itu apabila mentafsirkan hak-hak yang dikurniakan oleh
Perlembagaan, pentafsiran terhadap Perlembagaan terutamanya
perkara-perkara yang terkandung dalam Bahagian II ini tidak sewajarnya
dilakukan dengan hanya bersandarkan doktrin-doktrin asing tanpa melihat
keseluruhan Perlembagaan itu sendiri. Dengan kata-kata lain, Bahagian II
ini perlu ditafsir secara harmoni dengan Bahagian I, iaitu dengan
menilainya dari aspek pandangan falsafah dan ideologi negara.
Sehubungan itu, dapat dilihat bagaimana dalam kes Danaharta Urus Sdn. Bhd., Mahkamah Persekutuan menyatakan:
“…Mahkamah sepatutnya berpegang pada andaian bahawa tiada peruntukan
yang saling bercanggah dalam Perlembagaan dan mengandaikan bahawa itulah
yang dimaksudkan oleh para penggubalnya… Raja Azlan Shah FJ dalam kes Loh Kooi Choon Iwn Kerajaan Malaysia
menyatakan, “Perlembagaan sebagai undang-undang yang tertinggi dalam
sesebuah Negara, tidak boleh diubah sewenang-wenangnya, dan berbeza
dengan undang-undang biasa. Oleh sebab itu peruntukan dalam Perlembagaan
tidak boleh bercanggah sesama sendiri…”
Seterusnya Suffian LP, dalam kes Phang Chin Hock Iwn Public Prosecutor pula menyatakan:
“Dalam mentafsir Artikel 4(1) dan Artikel 159, prinsip harmonious
construction menghendaki kita supaya mengambil perhatian terhadap
kedua-dua peruntukan tersebut.” Usaha Mencabar Kedaulatan Negara melalui Isu-Isu Hak Asasi Manusia
Pelbagai gesaan dan kritikan berasaskan hak asasi manusia di negara
ini sering kali dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu, khususnya badan
bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia tanpa had dan
batasan perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Antaranya
termasuklah:
1. Hak kebebasan beragama – termasuk hak untuk murtad.
Isu murtad telah dihubungkaitkan oleh sesetengah pihak dengan hak
kebebasan beragama, iaitu selaras dengan Perkara 18 UDHR yang
memperuntukkan hak kebebasan untuk menukar agama. Murtad telah
dilaung-laungkan sebagai suatu hak tanpa melihatnya sebagai kesalahan
jenayah yang serius dari sudut pandangan agama Islam. Ironinya,
perjuangan mempertahankan apa yang dikatakan sebagai hak kebebasan
beragama dan hak asasi ini berlaku di sebuah negara yang memartabatkan
agama Islam sebagai agama negara. Kes-kes seperti Nor Aisyah Bokhari,
Kamariah Ali, Nyonya Tahir, Lina Joy, Siti Fatimah Tan dan Jeffrey Or
telah memberi impak kepada hubungan antara agama di negara ini dan turut
mendapat perhatian meluas masyarakat antarabangsa. Perjuangan kononnya
atas nama hak untuk murtad dengan sesuka hati tanpa melalui proses
penentuan oleh Mahkamah Syariah dan tindakan mempertikaikan bidang
kuasa mahkamah Syariah di mahkamah sivil ternyata mencabar kedaulatan
Islam dan Perlembagaan Persekutuan.
Antara hujah yang dikemukakan dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain[3] ialah
seharusnya wujud keselarasan antara undang-undang Malaysia dengan
Perkara 18 UDHR. Hal ini khususnya bagi memberikan hak kepada Lina Joy
untuk murtad dan memeluk agama pilihannya. Walau bagaimanapun,
penghujahan ini tidak dimasukkan dalam penghakiman kes tersebut.
Mahkamah Persekutuan dalam kes ini memutuskan bahawa Perkara 11(1)
Perlembagaan Persekutuan tidak wajar dihujahkan sebagai peruntukan yang
memberikan hak kebebasan yang tidak terbatas dan hak untuk menganut
serta mengamalkan sesuatu agama hendaklah selalunya tertakluk pada
prinsip-prinsip dan amalan yang ditentukan oleh agama itu.
2.Hak bagi umat Islam untuk bebas daripada
kawalan undang-undang moral berasaskan undang-undang Syariah yang sedang
berkuat kuasa di negeri-negeri
Hak kebebasan daripada kawalan undang-undang moral berasaskan
undang-undang Syariah membolehkan umat Islam bebas mengamalkan agamanya
mengikut tafsirannya sendiri. Hal ini bermaksud, tiada sebarang
undang-undang yang boleh mengawal mereka dan tiada sesiapa yang boleh
memutuskan sama ada cara mereka itu benar atau sebaliknya. Kebebasan
seumpama ini merupakan hak asasi manusia, iaitu sebagaimana
diperuntukkan dalam Perkara 12 UDHR yang antara lain menekankan bahawa
tiada gangguan boleh dikenakan terhadap hak peribadi.
Peristiwa operasi di kelab malam The Zouk dengan penangkapan
lebih kurang 100 orang Islam telah membangkitkan beberapa isu yang
berkaitan dengan perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang syariah
di Malaysia. Antaranya termasuklah kesesuaian perlaksanaan
undang-undang moral di negara ini. Kenyataan akhbar Utusan Malaysia
bertarikh 5 April 2005 melaporkan bahawa Jawatankuasa Caucus Parlimen
berkenaan dengan Hak Asasi Manusia sepakat untuk bersama-sama 50
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menolak penggunaan undang-undang dalam
menjaga moral individu. Menurut Pengerusi Caucus Parlimen berkenaan Hak
Asasi Manusia, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (ketika itu), persoalan
yang berkaitan dengan moral merupakan hak peribadi setiap individu dan
kewujudan undang-undang bagi mengawalnya dilihat sebagai melanggar
prinsip hak asasi manusia. Sehubungan itu, garis panduan (standard operating procedure)
berkaitan dengan operasi dan kefahaman tatacara serta prosedur bagi
menghalusi langkah-langkah penguatkuasaandan pendakwaan jenayah Syariah
telah diwujudkan.
Dari sudut yang lain, isu ini boleh dilihat dalam konteks pengecilan
kuasa perundangan syariah dan mencabar kedaulatan Islam di negara ini.
Usaha-usaha pelbagai pihak yang cuba memperkasa dan mengukuhkan elemen
sekularisme dalam sistem kehidupan rakyat negara ini telah berlaku sejak
sekian lama dan sejajar dengan ideologi kapitalisme yang mendaulatkan
prinsip-prinsip kebebasan individu.
3.Hak kebebasan berfikir dan bersuara khususnya berkaitan dengan hal ehwal agama Islam
Kebelakangan ini, isu-isu berkaitan dengan hal ehwal agama Islam dan
pelaksanaan undang-undang Syariah sering kali dipertikaikan. Tindakan
tersebut dianggap sebagai hak kebebasan berfikir dan bersuara yang
merupakan salah satu hak asasi manusia, sebagaimana yang diperuntukkan
dalam Perkara 19 UDHR. Pelbagai isu yang menyentuh kedaulatan Islam dan
undang-undang Syariah diperdebat secara terbuka tanpa memberikan
penghormatan yang selayaknya kepada Agama Negara, sebagaimana yang
diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Demikian juga dengan
tindakan yang jelas menghina Agama Negara seperti menolak fatwa
kebangsaan, mentafsirkan sesuatu hukum berdasarkan pandangan yang
bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, dan sebagainya.
Dalam kes Sulaiman Takrib lwn Kerajaan Negeri Terengganu[4],
Peguam Malek Imtiaz dan Harith Ibrahim dengan dibantu oleh Edmund Bon,
bertindak bagi pihak seorang pengikut Ayah Pin untuk mencabar instistusi
fatwa dan berhujah tentang hak kebebasan berfikir dalam kalangan umat
Islam serta hak untuk bebas daripada keterikatan pada sebarang pendapat
pihak berkuasa seperti mufti. Implikasinya ialah setiap orang Islam
berhak menggunakan akal fikirannya sendiri untuk menentukan bentuk
pegangan dan ajaran agama yang dipegang atau diamalkan oleh umat Islam.
Selain itu, tindakan mencabar kedaulatan agama Islam juga dapat dilihat pada penghantaran memorandum oleh, Sisters in Islam (SIS), Woman’s Aid Organisation (WAO), dan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) kepada Perdana Menteri , pada 25 Ogos 2009, yang bertajuk Justice for Kartika (Keadilan
untuk Kartika). Memorandum tersebut bertujuan mendesak Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memansuhkan undang-undang jenayah
Syariah yang sedang berkuatkuasa di negara ini. Desakan itu pula dibuat
sebagai rentetan daripada hukuman sebat yang dijatuhkan atas pesalah
jenayah Syariah wanita. Cadangan pemansuhan undang-undang jenayah
syariah ini pada hakikatnya, menafikan pelaksanaan undang-undang Syariah
dan hak orang Islam untuk mengamalkan agama mereka, sebagaimana dijamin
oleh Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hal ini, Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak
kebebasan bersuara, berhimpun, dan berpersatuan kepada warga negara
Malaysia, tetapi ia masih dalam batas-batas tertentu dan tertakluk pada
undang-undang tertentu, lebih-lebih lagi berkaitan dengan hal ehwal
agama yang menyentuh kedaulatan Islam dan Negara.
4. Hak kesamarataan gender
Ketidakadilan dan diskriminasi sering dibangkitkan sebagai salah satu
permasalahan utama yang dialami oleh kaum wanita dari semasa ke
semasa. Perkara ini seterusnya menimbukan tuntutan bagi memperjuangkan
hak-hak wanita, yang dinamai sebagai hak kesamarataan gender, iaitu
memberikan hak yang sama kepada lelaki dan wanita dalam semua perkara
dan ia dikatakan selari dengan peruntukan umum dalam Perkara 2 dan
Perkara 16 UDHR.
Di Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan seperti Sister in Islam (SIS),
Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG), dan
sebagainya merupakan organisasi yang aktif memperjuangkan hak tersebut
dengan mencadangkan kajian semula terhadap sistem dan undang-undang
Syariah di negara ini. Kajian semula ini dikatakan bertujuan memastikan
bahawa ia selaras dengan iltizam kerajaan terhadap prinsip keadilan dan
kesamarataan gender. Sungguh malang bagi mereka kerana meletakkan hak
asasi manusia lebih tinggi dan lebih awla walaupun ia jelas bercanggah dengan undang-undang Syariah dan Perlembagaan itu sendiri.
Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan jelas mengiktiraf dan
melindungi hak sama rata di sisi undang-undang bagi setiap orang di
negara ini. Perkara 8(2) seterusnya menekankan bahawa Perlembagaan
tidak membenarkan diskriminasi terhadap warga negara atas alasan agama,
ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam perkara-perkara seperti
pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan
penubuhan atau pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau
pekerjaan. Sebaliknya, the Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW)
1979 memperuntukkan kesamarataan gender dalam semua perkara sebagai
suatu hak yang perlu dilaksanakan. Malaysia telah menandatangani
konvensyen antarabangsa tersebut dan seterusnya tertakluk pada apa-apa
peruntukan berkaitan dengan hak kesamarataan gender kecuali dalam
perkara-perkara yang diberikan reservasi.
5. Hak kesamarataan agama (transcendental eqality of religion)
Kedaulatan Islam sebagai agama Negara seterusnya dicabar dengan
aliran perjuangan untuk mendapatkan hak kesamarataan agama. Sehubungan
itu, timbullah cadangan penubuhan suruhanjaya yang dinamai Suruhanjaya
antara Agama (Inter-faith Commission) (IFC), iaitu badan berkanun
yang mempunyai kuasa undang-undang untuk mengubah ajaran sesetengah
agama. IFC bertindak dan berfungsi sebagai badan yang mendengar kes-kes
berkaitan dengan hak individu dalam mengamalkan kebebasan beragama.
Mereka turut mendesak agar, berasaskan Perlembagaan Negara, kedudukan
agama Islam disamaratakan dengan agama-agama lain.
Walaupun pada tahun 2005, pihak kerajaan telah menangguhkan kelulusan
penubuhan IFC, namun perjuangan IFC ini telah mula meresap dan merebak
dalam masyarakat melalui suara-suara yang dibawa oleh kumpulan tertentu
seperti Majlis Peguam, HINDRAF dan sebagainya. Mereka menuntut pelbagai
perkara berkaitan dengan hal ehwal Islam seperti seorang anak yang
dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara automatik menjadi
orang Islam, kebebasan untuk murtad tanpa tindakan undang-undang, kes
pertukaran agama dikendalikan di mahkamah sivil, kebenaran bagi
pengedaran secara terbuka untuk terjemahan Bible dalam bahasa Melayu,
dana yang mencukupi untuk membina serta menyelenggara rumah-rumah ibadat
orang bukan Islam dan sebagainya. Perjuangan bagi menuntut hak
kesamarataan agama ini secara langsung membuka ruang seluas-luasnya
kepada orang bukan Islam untuk mencampuri hal ehwal agama Islam dan
sekali gus memberikan ancaman yang memudaratkan terhadap kedaulatan
Islam khususnya dan Negara amnya.
Pemerhatian terhadap Implikasi Konflik
Konflik dalam persoalan hak asasi manusia ini pada dasarnya
disebabkan fahaman liberalisme tanpa batasan undang-undang. Pihak yang
mewujudkan konflik ini sewenang-wenangnya memetik peruntukan dalam UDHR,
sedangkan Perkara 29 (2) memperuntukkan bahawa dalam pelaksanaan
hak-hak dan kebebasan, setiap individu tertakluk pada batasan
sebagaimana yang ditentukan oleh undang-undang. Hal ini bertujuan
menjamin pengiktirafan serta penghormatan terhadap hak-hak dan
kebebasan-kebebasan lain di samping memenuhi syarat-syarat moral,
kepentingan awam, dan kebajikan umum dalam sebuah masyarakat demokratik.
Mereka juga mengabaikan peruntukan dalam Akta SUHAKAM 1999 yang
menyatakan bahawa hanya peruntukan yang tidak bertentangan dengan
peruntukan Perlembagaan sahaja yang boleh diterima.
Ketiadaan rasa hormat terhadap Perlembagaan dan undang-undang yang
berkuat kuasa, khususnya yang menyentuh hal ehwal agama Islam
menyebabkan kedaulatan negara terus-menerus dicabar. Isu hak asasi
manusia yang dibangkitkan tidak seharusnya timbul kerana semasa
rundingan kemerdekaan diadakan, semua kaum daripada semua agama di
Malaysia telah bersetuju menerima Islam sebagai agama negara. Bagi kaum
Melayu pula, mereka menyatakan kesediaan untuk menerima kaum lain
sebagai warga negara melalui prinsip jus soli. Implikasi sejarah
ini seakan-akan telah dilupakan dan tidak dihayati oleh generasi baharu
dengan penuh ketulusan. Sebaliknya, atas nama hak asasi manusia,
mereka mengasaskan perjuangan bagi mempertikaikan kedudukan agama Islam
dan sekali gus menentang semangat Perlembagaan itu sendiri.
Melalui mekanisme pemeriksaan dan pemantauan HRC di negara anggotanya
termasuk Malaysia, badan bukan kerajaan diberi ruang yang luas untuk
membangkitkan dan mengemukakan laporan situasi hak asasi manusia.
Laporan berkenaan turut meliputi isu-isu yang telah dinyatakan untuk
mendapatkan perhatian antarabangsa, meskipun cukup disedari bahawa
isu-isu tersebut bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan. Tindakan
yang diambil oleh badan-badan bukan kerajaan itu seterusnya menggalakkan
campur tangan luar dalam pelaksanaan undang-undang di Malaysia. Selain
itu, masyarakat antarabangsa juga semakin peka dan memberikan pelbagai
reaksi terhadap isu-isu yang melibatkan hak asasi melalui pelbagai wadah
seperti jaringan internet dan sebagainya. Situasi ini pada hakikatnya
menjejaskan kedaulatan Negara apabila setiap undang-undang yang memberi
batasan terhadap hak asasi manusia dipertikaikan dan digesa untuk dikaji
semula.
Cabaran-Cabaran Terhadap Agenda Melahirkan Khayra Ummah
1. Penghakisan Kedaulatan Agama Islam daripada Perlembagaan Persekutuan
Pegangan dan fahaman bahawa Malaysia merupakan sebuah ”Negara
Demokrasi Sekular dengan Islam Sebagai Agama Rasmi” masih menular dengan
meluas, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat biasa malah juga dalam
kalangan sebahagian besar ahli politik, pengamal undang-undang, serta
penggubal dasar, sama ada pada peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun
Negeri dan juga dalam kalangan majoriti pendidik.
Jika selama ini kedaulatan Islam dalam Perlembagaan hanya berhadapan
dengan pemikiran sekular yang menyempitkan tafsiran Islam kepada hanya
sekadar agama rasmi sahaja atau ritual semata-mata, kini Islam
berhadapan dengan cabaran yang lebih besar yang diterajui oleh golongan
pemikiran Liberal yang sifat utamanya ialah menghakis agama dari aspek
pemerintahan. Mereka berpegang pada fahaman bahawa agama hanya
difokuskan pada pegangan (faith) seseorang dan prinsip Islam
tidak wajar dikenakan atas penganut agama lain. Dalam hal ini pandangan
dan Prof. Ulung Negara Tan Sri Prof. Dr Muhammad Kamal Hassan amat
wajar diberikan perhatian –
“Manusia dan umat Islam sedang berada dalam satu era pancaroba yang disebut oleh Alan Greenspan sebagai “The Age of turbulence”
(Greenspan, 2008), suatu zaman yang kecemerlangan sains moden dan
sekular telah mencapai kemuncak kegemilangannya, iaitu dari segi
ciptaan-ciptaan dan penemuan-penemuan saintifik yang menakjubkan dan
yang amat bermanfaat. Namun demikian, kekufuran, keegoan dan
keangkuhan akal (reason) bebasnya telah mencipta pelbagai jenis
mala petaka ekonomi, politik, budaya, intelektual, dan moral kerana
membelakangi petunjuk Allah S.W.T., bimbingan para Rasul, hukum-hukum
Allah S.W.T. dan ajaran-ajaran agama Allah S.W.T. Tamadun tempang dan
cacat ini didirikan atas sistem pendidikan moden sekular Barat, yang
kemudian diterapkan di negara-negara orang Islam termasuk dunia Melayu
Islam.”
Sebagai salah satu langkah memelihara dan mempertahankan kedaulatan
Islam, prinsip dan ajaran Islam wajib dipelihara dalam semua aktiviti
penggubalan dasar atau undang-undang. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri
dan Kerajaan Persekutuan wajib memelihara kedaulatan Islam – selaras
dengan Sumpah YDPA sebagai Ketua Utama Negara sebagaimana yang
dilakarkan dalam Jadual Keempat dan dibaca bersama-sama dengan Perkara
37 Perlembagaan Persekutuan – untuk memelihara agama Islam pada semua
masa. Dengan yang demikian juga, pemerintah dan pentadbir, iaitu
Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri, sama ada yang beragama
Islam atau bukan Islam, berkewajipan untuk memastikan bahawa
prinsip-prinsip Islam dihormati dalam sebarang penggubalan dasar atau
undang-undang yang diperkenalkan termasuklah dalam hal pendidikan.
Islam sebagai ideologi dan identiti Negara perlu dihormati dan
diberikan kedudukan yang sewajarnya.
Harus diakui bahawa cabaran dan ancaman yang dihadapi oleh umat Islam
negara ini pada masa kini, telah memberikan kesan yang buruk terhadap
akhlak umat Islam terutama remaja. Pendidikan yang dilaksanakan di
sekolah-sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi kelihatan tidak begitu
berkesan, bukan sahaja untuk memenuhi Falsafah Pendidikan Islam yang
digariskan dengan sedemikian sempurna tetapi juga untuk melahirkan
sebaik-baik (khaira) ummah. Sebaliknya apa yang dapat disaksikan
oleh kita ialah pendedahan demi pendedahan yang amat mengerikan tentang
kebejatan akhlak yang melanda golongan remaja dan pada masa yang sama,
prestasi pencapaian dalam peperiksaan dilaporkan terus meningkat tahun
demi tahun. Apakah maksud semuanya ini? Adakah fenomena ini menandakan
bahawa sistem pendidikan kita hanya berupaya melahirkan pelajar yang
hanya dapat menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang, namun
sebaliknya gagal menghayati isi pengajaran yang disampaikan. Apatah
pula untuk mendorong mereka memanfaatkannya dalam pembentukan jiwa yang
teguh dan akhlak yang mulia. Apa pun juga hakikatnya, ia seharusnya
mencetuskan dorongan kepada kita untuk memberikan perhatian yang serius
terhadap permasalahan keruntuhan akhlak remaja dan punca-puncanya.
Demikian juga terhadap peranan sekolah dan IPT yang perlu kembali
dikendalikan sebagai institusi pendidikan yang berteraskan agama.
2. Ancaman Sekularisme dan Liberalisme
Kita umumnya menyedari tentang kaitan antara krisis gejala sosial
yang melanda remaja Islam pada masa kini dengan dengan kejutan budaya
dan perubahan nilai serta pemikiran yang melanda masyarakat. Gejala
sosial yang berlaku pada hari ini bolehlah disifatkan sebagai amalan
jahiliyyah pada era globalisasi yang serba maju dan moden. Dalam era
pembebasan daripada kawalan agama ini, remaja pelajar semakin terdedah
pada budaya hedonisme, iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan
keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas atau zina, hamil tanpa
nikah, buang bayi, ketagihan arak, dadah rokok, judi, bahan-bahan lucah,
rogol dan pelbagai bentuk masalah sosial lain yang cukup membimbangkan.
Antara faktor yang dapat dikenal pasti sebagai penyebab utama gejala
sosial pada era pasca-modenisme ini adalah seperti yang berikut:
3. Serangan Pemikiran Barat
Kesan serangan pemikiran dan ideologi Barat telah mengakibatkan
sistem nilai, pemikiran serta cara hidup masyarakat Malaysia terutama
remaja tersasar daripada norma-norma yang sepatutnya menjadi asas bagi
penggemblengan peranan remaja secara agresif dalam masyarakat. Berikut
adalah antara pegangan dan sistem barat yang kuat mempengaruhi pemikiran
masyarakat Malaysia serta menjadi punca utama yang mendorong pembabitan
golongan remaja dalam gejala sosial:
4. Kapitalisme
Prof. Ulung Negara, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal bin Hassan menukilkan bahawa―
“Di bawah dasar liberalisasi dan deregulasi perdagangan
antarabangsa pimpinan World Trade Organisation, globalisasi yang
didukung oleh kuasa korporat global memberikan peluang besar kepada
mereka untuk mengeksploitasi ekonomi negara-negara membangun, termasuk
Malaysia. Situasi ini akan mempercepatkan proses homogenisasi budaya
secara global, iaitu negara yang kuat akan mempengaruhi negara yang
lemah. Pada waktu itu, ciri-ciri luhur dalam budaya Malaysia dan sistem
nilai agama dan tradisi yang mendasarinya akan dihimpit dan digugat oleh
gagasan-gagasan atau aliran-aliran kebudayaan asing yang berjiwa
materialistik, sekularistik, relativistik, neo-modernistik, hedonistik
atau permissive (serba boleh). Aliran-aliran yang ingin melemahkan
pengaruh nilai-nilai budaya, agama dan moral tempatan itu dibawa masuk
oleh unsur-unsur ekonomi kapitalistik tempatan atau antarabangsa yang
mementingkan keuntungan kewangan semata-mata tanpa mempedulikan isu
tanggungjawab sosial atau moral. Pelbagai saluran akan digunakan untuk
mencapai matlamat ekonomi dan budaya bebas mereka, termasuk
industri-industri pengiklanan, perfileman, fesyen, muzik, hiburan,
pelancongan, media cetak, media elektronik dan Internet.”
Pernyataan ini jelas merujuk kepada pemikiran ekonomi kapitalisme
yang hanya menitikberatkan keuntungan material pihak pemodal tanpa
mementingkan kemaslahatan masyarakat. Sebagai pemilik modal, mereka
bebas melakukan apa sahaja sehingga sanggup merobek sistem keadilan atau
perundangan dan juga agama bagi memenuhi kehendak serta memperoleh
keuntungan. Golongan ini sentiasa memperjuangkan kebebasan dari semua
aspek termasuklah kebebasan dalam beragama, kebebasan dalam tingkah
laku, kebebasan dalam menyuarakan pendapat, dan kebebasan dalam
pemilikan harta berpandukan sistem kapitalis.
Seterusnya ialah amalan manipulasi secara berleluasa melalui kegiatan
perniagaan berasaskan seks khususnya yang membabitkan wanita-wanita
yang terdesak, penipuan, dan pemerdagangan orang. Akibatnya, industri
yang berasaskan seks bebas dan zina semakin berleluasa. Pusat-pusat
hiburan dan maksiat yang menjadikan remaja wanita sebagai alat tarikan
pelanggan seperti GRO, pelayan, teman sosial malah sebagai pelacur
semakin bertambah.
5. Liberalisme
Pada dasarnya, gerakan Liberalisme merupakan pengaruh daripada
falsafah liberalisme yang berkembang di negara barat dan telah meresap
dalam semua bidang kehidupan seperti liberalisme ekonomi, budaya,
politik, dan agama (Mohammad Ariffin 2009). Gerakan liberalisme ini
memperjuangkan demokrasi, fahaman persamaan semua agama, fahaman
persamaan hak antara lelaki dengan wanita serta mempromosikan kebebasan.
Sebagai contoh, golongan ini memperjuangkan hak kebebasan seks seperti
lesbian dan homoseksual, hak untuk berpakaian dan bersosial, hak
pengguguran anak selain penentangan terhadap hukum dan undang-undang
kekeluargaan Islam yang diperuntukkan di bawah undang-undang Syariah
seperti poligami, pembahagian harta pusaka, kuasa talak dan sebagainya.
Bagi merealisasikan keinginan mereka, golongan ini mentafsirkan hukum
agama mengikut rasional akal dan realiti semasa. Mereka yang berpegang
teguh pada agama dikatakan golongan fundamentalis yang kolot dan jumud
kerana tidak mengikut peredaran masa.
Liberalisme merupakan lanjutan dan edisi baharu bagi fahaman
sekularisme barat moden. Sejarah telah mencatat bahawa melalui
kolonialisme, fahaman sekularisme tajaan barat moden telah berjaya
mensekularkan seluruh dunia, termasuklah negara-negara Islam.
Selanjutnya, fahaman Liberalisme disebarluaskan oleh proses globalisasi
melalui kecanggihan teknologi komunikasi dan maklumat yang melahirkan
pula kolonialisme edisi baharu.
Fahaman Liberalisme ini menegaskan kepentingan bahawa manusia
mempunyai kebebasan diri untuk menjalani kehidupan tanpa sebarang ikatan
dengan sebarang bentuk tradisi, termasuk Tuhan dan agama. Hal ini
menjadikan manusia hidup tanpa garis panduan terhadap apa yang
dilakukannya dan seterusnya mewujudkan pemikiran kontemporari yang
meraikan kepelbagaian budaya, amalan dan prinsip. Interaksi global juga
telah menyebabkan manusia menjadi objek pengguna yang diperdagangkan
menerusi hedonisme anjuran barat. Secara dasarnya, globalisasi yang
merupakan produk Liberalisme ini telah mencabul kedaulatan sesebuah
negara dan bangsa sama ada dari segi agama, budaya, bahasa dan juga
undang-undang.
Jika era modenisme telah melahirkan pelbagai kefahaman dan ideologi
yang menjadi pegangan masyarakat barat seperti sekularisme, pluralisme,
sosialisme, feminisme, positivism, dan sebagainya, selanjutnya pada era
Liberalisme, ideologi-ideologi tersebut telah berkembang pesat dan
menjadi lebih hebat sehingga ia mendorong manusia menolak agama atau
berpaling daripada konsep theologi (ketuhanan) secara total.
Fahaman dan ideologi barat pada era Liberalisme ini telah tersebar
luas secara pantas, sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan
proses globalisasi. Ia telah meresap masuk dalam pemikiran masyarakat
Islam dan penularannya berlaku secara halus sama ada secara disedari
atau tidak oleh umat Islam kerana ia diolah secara rasional. Sekiranya
ia tidak dibanteras dengan berkesan, pastinya akidah umat Islam akan
terjejas dan terancam. Penerimaan prinsip hak asasi manusia sebagai
sebahagian cara hidup pada peringkat global tanpa mengira latar belakang
ras, etnik, agama, warna kulit, dan jantina memburukkan lagi keadaan
ini. Dalam konteks ini, golongan remaja tidak terlepas daripada
menerima corak pemikiran sebegini sehingga banyak yang telah menjadi
mangsa eksploitasi agenda barat atau Yahudi dan seterusnya menyebabkan
mereka terjebak dalam kancah gejala sosial.
Dalam era Liberalisme ini, struktur kehidupan sosial masyarakat telah
banyak berubah. Budaya moden telah mempengaruhi tingkah laku dan cara
berfikir, termasuklah penghayatan terhadap ajaran agama. Gaya hidup
moden juga menjadikan sebilangan masyarakat bersikap individualistik,
mengabaikan semangat kekeluargaan, kejiranan dan bermasyarakat serta
tidak mengambil peduli terhadap gejala sosial yang berlaku di kawasan
kejiranan dan tempat-tempat awam seperti jiran yang tinggal
bersekedudukan, berkelakuan tidak sopan di tempat awam, berpakaian
menjolok mata dan sebagainya. Selain itu, tindakan oleh beberapa
pertubuhan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan ahli politik
tertentu yang mendesak kerajaan supaya tidak menggunakan undang-undang
bagi mengawal masalah keruntuhan akhlak di Negara ini telah membuka
ruang yang lebih luas kepada berleluasanya gejala sosial.
Peranan institusi agama sentiasa disekat dan dikritik hebat serta
diletakkan di bawah pengaruh politik, sedangkan institusi agama
bertanggungjawab terus kepada Sultan sebagai Ketua Agama. Keadaan ini
mewujudkan sindrom takut dan bimbang dalam kalangan pihak berkuasa agama
untuk menyusun langkah bagi memastikan prinsip dan nilai agama terus
terpelihara. Bagi mahasiswa pula, mereka yang cenderung kepada agama
sentiasa dilabelkan sebagai terpengaruh dengan fahaman ekstremis dan
fundamentalis atau sekurang-kurangnya dianggap sebagai terpengaruh
dengan fahaman politik pembangkang. Sekumpulan yang lain pula memiliki
pendirian dan fahaman yang berbeza, maka tercetuslah pertelagahan antara
sesama kumpulan mahasiswa berkenaan. Kecenderungan untuk berpolemik,
perbalahan dan pertelagahan yang berterusan itu telah menyebabkan mereka
kehilangan tumpuan terhadap perjuangan sebenar yang perlu diterajui
oleh mereka. Mereka juga kelihatan tidak mampu bukan sahaja untuk
membimbing rakan-rakan siswa mereka untuk memahami kepentingan akhlak
dalam kehidupan apatah pula untuk membantu masyarakat menyelesaikan
permasalahan sosial yang sedang hebat melanda. Inikah generasi yang
harus diletakkan sandaran besar bagi memimpin Negara pada masa hadapan?
Pemikiran dan pendekatan sebegini berpunca daripada salah tanggapan
yang meluas terhadap kedudukan Islam di Negara ini. Apa yang dikesalkan
ialah golongan yang berpemikiran Liberal ini cukup berpengaruh dan
sedang memperluas pengaruh mereka dalam kalangan generasi muda yang
berminat terhadap agama. Dominasi golongan yang berpemikiran Liberal
ini mempunyai agenda besar (grand design) untuk menghakis pengaruh agama dalam aspek kenegaraan dan kehidupan bermasyarakat.
Kedudukan Islam sebagai agama Negara bukan sahaja diketepikan dengan
merendahkan martabatnya kepada sekadar agama rasmi, malah gerakan untuk
terus menghapuskan unsur-unsur pegangan terhadap agama Islam juga sedang
berlangsung dengan hebatnya. Kelompok Liberal ini bukan sahaja cuba
memperluas pengaruh mereka dalam bidang politik malah mereka sering
mencabar kedudukan agama Islam sehingga peringkat mahkamah tertinggi
Negara, iaitu menerusi kes-kes yang diwakili mereka.
Ternyata pemikiran Liberal ini bukan sahaja didukung oleh
kelompok-kelompok kecil yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) malah ia telah berjaya mendirikan asas yang teguh sebagai
aliran politik, sama ada dalam parti pemerintah mahu pun juga
pembangkang.
Fakta yang dikeluarkan oleh pelbagai agensi Kerajaan membuktikan
betapa meruncingnya gejala sosial yang melanda masyarakat, khususnya
yang melibatkan golongan wanita. Hal tersebut dipercayai merupakan
akibat daripada menularnya budaya hidup bebas yang berpaksikan pemikiran
Liberal. Fakta-fakta tersebut termasuklah: perangkaan Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) 2011, mencatat jumlah kelahiran anak tidak sah
taraf yang didaftarkan antara tahun 2006-2010 adalah sebanyak 234,647.
Daripada jumlah tersebut, seramai 80,979 atau 34.5% merupakan bayi yang
ibu kandungnya beragama Islam. Jumlah anak luar nikah pasangan Islam
menunjukkan pola peningkatan dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2006
(Berita Harian, 21 Mac 2011);
Sebanyak 280 kes buang bayi dilaporkan bagi tahun 2005 hingga April
2010 di seluruh negara (PDRM 2010). Setiap kali berakhirnya sambutan
yang membabitkan upacara besar-besaran pada sebelah malamnya di negara
ini, kes-kes hamil anak luar nikah dan buang bayi akan mencatat
peningkatan tiga bulan selepas itu. Tidak keterlaluan jika dikatakan
bahawa tempoh tersebut diibaratkan sebagai “musim mengawan;
Data yang dikeluarkan oleh Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada
tahun 2005 menunjukkan kes pelacuran kanak-kanak dengan purata 150 – 160
gadis tempatan yang ditahan setiap tahun. Dianggarkan 150 ribu wanita
terbabit dalam kegiatan pelacuran dengan sejumlah besarnya ialah wanita
dewasa:
I. PDRM 2010 juga telah mencatat kes rogol bagi tahun 2008
hingga April 2010 yang berjumlah 8227 kes. Kes mencabul kehormatan
juga menunjukkan statistik yang tinggi, iaitu sebanyak 4894 kes
dilaporkan bagi tahun 2008 hingga April 2010 di seluruh negara;
II. Peningkatan penglibatan remaja Melayu Islam dalam
gejala sosial amat membimbangkan dan ia dianggap antara lain, berpunca
daripada budaya hedonisme yang dilancarkan secara besar-besaran oleh
kelompok kapitalis atas nama pembangunan dan kemajuan material.
Antaranya termasuklah lakonan, nyanyian, dan tarian yang berunsurkan
seks dan memaparkan kerendahan akhlak, peragaan, ratu cantik, manipulasi
wanita untuk tujuan pengiklanan, tarikan bagi sesuatu acara seperti
penganjuran pertandingan serta perlumbaan kereta dan motor, dan
sebagainya, yang jelas mencemar nama baik agama Islam.
Kesimpulan
Umat Islam negara ini perlu bijak mengenal pasti musuh yang sedang
dihadapi oleh mereka, sama ada yang kelihatan secara zahir mahupun juga
yang terselindung di sebalik pelbagai bentuk, wadah, dan wajah.
Berbekalkan keimanan, ilmu, dan keteguhan semangat, mereka haruslah
bijak mengatur langkah yang rapi bagi menghadapi musuh-musuh berkenaan.
Antara langkah paling utama ialah menyatukan hati dan memperkasa
keupayaan agar mereka sekalian berupaya bergerak dengan sederap
langkah. Saf yang kukuh inilah yang akan membolehkan mereka menghadapi
musuh yang satu dengan tabah dan gagahnya. Jika hal ini tidak dapat
dilakukan, pastinya mereka juga ditimpa penghinaan yang diberi terhadap
musuh-musuh Islam, iaitu sebagaimana dinyatakan dalam ayat, “Kamu menyangka mereka bersatu-padu, sedang hati mereka berpecah- belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka).” (Surah al-Hasyr 59 :14). Ingatlah bahawa perpecahan merupakan ciri utama musuh-musuh Islam dan tidak sama sekali berkaitan dengan umat Islam.
Umat Islam merupakan umat yang bersatu kerana menyahut seruan al-Qur’an, “Berpegang
teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah
kamu bercerai-berai dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika
kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan
antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka
menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara….” (Surah Ali `Imran
3 : 103). Elakkan sama sekali perpecahan kerana ia membuka jalan dan
ruang yang luas bagi tindakan mencabar serta menghakis kedaulatan agama
Islam, agama yang diredai oleh Allah S.W.T. Usaha mempertahankan
kedaulatan agama Islam merupakan amanah dan tanggungjawab kita bersama.
[1]
YA Hakim selanjutnya menegaskan, “Saya percaya seandainya pembuat dasar
di Kementerian Pendidikan sedar atau disedarkan tentang kaedah pakaian
bagi orang Muslim dan mengutamakan Islam sebagai ugama Persekutuan,
Kementerian Pendidikan tidak akan mewajibkan pakaian seluar pendek bagi
murid lelaki dengan pilihan seluar panjang atau mewajibkan pakaian pinafore tunic dan blouse
bagi murid perempuan dengan pilihan memakai baju kurung dan kain sarung
serta tudung/telekung. Peraturan pakaian seragam sekolah Bil 3/1983
tersebut adalah songsang dan tidak selari dengan Perlembagaan dan
menurut Perkara 4, “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama
Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari
Merdeka dan yang tidak selari dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal
setakat yang tak selari itu. Peraturan tersebut adalah terbatal. Adanya
pilihan untuk memakai seluar panjang atau baju kurung dan kain sarung
tidak dapat menyelamatkan atau menjadikan sah Peraturan tersebut.”
[2]
YA Hakim turut merujuk kepada tafsiran atau maksud perkataan Islam
dalam al-Qur’an sebagaimana dihuraikan oleh Abdullah Yusuf Ali (New
Revised Ed) n 434 p 155 oleh: Islam is not sectarian, non-racial,
non-doctrinal and is a universal religion. Islam is just submission to
the will of Allah. This implies: (1) Faith; (2) doing right, being an
example to others to do right, and having the power to see that the
right prevails; (3) eschewing wrong,being an example to others to eschew
wrong and having the powers to see that wrong and injustice are
defeated. Islam therefore lives not for itself, but for mankind.
1. Draf Rang Undang-Undang Harmoni (RUU Harmoni), RUU Perpaduan Nasional dan RUU Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional ini dikemukakan oleh Majlis Peguam.
2. Seluruh dunia tahu peranan Majlis Peguam sebagai lidah rasmi Pakatan Rakyat. Tidak ada sebab Kerajaan perlu terima. Tongsampahkan sahaja sebab tengok pada siapa yang gubal draf pun kita sudah tahu nawaitunya. Nawaitu tidak baik!
3. Seluruh dunia tahu kecenderungan Majlis Peguam dalam memperjuangkan sesuatu yang banyak bercanggah dengan Perlembagaan terutamanya dalam Perkara 3 (1) dan Perkara 153.
4. Dalam RUU Harmoni 'karangan' Majlis Peguam ini pula banyak istilah yang digunakan yang bercanggah dengan Perkara 3 (1). Dalam RUU Perpaduan Nasional pula istilah bercanggah dengan Perkara 153. RUU Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional menidakkan peranan institusi Raja-raja Melayu.
6. RUU 'karangan' Majlis Peguam adalah satu percubaan untuk menidakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti dinukil dalam Perkara 3 (1) dan juga di setiap negeri dalam Perlembagaan negeri masing-masing.