
Sebab apa penulis teruja apabila Dr Sidek membuka mulut?
Sebab, jarang kita semua dengar dari mulut bekas rakan karib Anwar itu perihal Anwar ataupun perihal sesiapa sekalipun. Orang yang mengenali Dr Sidek sudah pasti faham benar dengan sikapnya yang hanya bersuara apabila perlu sahaja. Beliau bukan jenis yang banyak cakap. Kalau bercakap pun penuh dengan ketelitian. Tidak gopoh-gapah.Yang kita tahu, tidak pernah kita dengar beliau bercakap buruk tentang seseorang. Jadi, apabila Dr Sidek bersuara semua orang hendak dengar dan tahu apa kisah di sebaliknya.
Penulis perturunkan di bawah ini artikel akhbar Utusan Malaysia, 28 Mac 2013 bertajuk "Sidek Baba dedah sebab tinggalkan Anwar" untuk kita sama-sama baca dan berfikir secara waras.
Sidek Baba dedah sebab tinggalkan Anwar
KUALA LUMPUR 27 Mac - Tiga tahun lalu, bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba mengejutkan banyak pihak selepas bertindak meninggalkan Ketua Pembangkang itu meskipun lebih 30 tahun bersahabat.Namun, punca sebenar mengapa beliau yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) demi mempertahankan Anwar meninggalkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak banyak didedah kepada pihak luar.
Malah, media sendiri jarang berpeluang menemu bual Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu yang bertanggungjawab membangunkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Anwar.
Walau bagaimanapun, hari ini, Sidek akhirnya mendedahkan, masalah keruntuhan moral, sokongan kepada pluralisme agama serta kredibiliti antara tiga punca utama beliau bertindak meninggalkan Anwar.