Memaparkan catatan dengan label Sekolah Kebangsaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sekolah Kebangsaan. Papar semua catatan

02 November, 2009

Satu Sekolah Untuk Semua (SSS) perlukan suara majoriti rakyat!

-
Rujuk dan baca artikel oleh Portal Kempen SSS. Satu usaha yang tidak pernah luntur dan komited oleh semua komuniti blogger Malaysia. Syabas! Kena lipat gandakan usaha kerana perjuangan belum selesai.

Mari sama-sama berusaha agar Kerajaan dapat signal yang cukup jelas daripada suara majoriti. Suara 'silent majority' yang selama ini tidak mendapat perhatian kerana malas dan keberatan untuk mencampuri urusan remeh dan terlalu bertolak ansur sehinggakan perasaan dan kehendak kita semakin ditolak beransur-ansur.

Untuk renungan dan pembakar semangat buat semua penyokong SSS:

"Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur."
- Tun Abdul Razak Hussain, Report of the Education Committee 1956 atau Penyata Razak 1956 (diperolehi dari Portal Kempen SSS).

"Kita tidak perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah."
- Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, mSTAR Online, 22 Oktober 2009.

"Kerajaan sedia melaksanakan dasar sekolah satu aliran sekiranya itu kehendak rakyat negara ini."
- PM Dato' Sri Mohd Najib Razak, Utusan Malaysia, 1 November 2009.

"Perbincangan mengenai cadangan agar sekolah satu aliran dilaksanakan perlu diteruskan bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh daripada semua pihak."
- TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin, BERNAMA, 29 Oktober 2009.

Bagi penulis, rakyat perlu mendesak Kerajaan agar sebuah pungutan suara atau Referendum dilaksanakan bagi menentukan halatuju pendidikan di negara kita. Pulangkan sahaja persoalan pada hak dan kehendak rakyat.

Mari kita tuntut diadakan Referendum
! "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"!
+

17 Ogos, 2009

1Malaysia: Syor sekolah satu aliran

-
SEBAIK sahaja Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009, beliau terus memperkenalkan satu slogan iaitu ‘1Malaysia’ yang bertujuan menyatukan semua bangsa yang ada di tanah air ini.

1Malaysia tidak terhenti setakat laungan atau jeritan sahaja, malah ia dibawa kepada hati rakyat Malaysia menerusi lagu tema, iklan, logo, dan diwujudkan satu saham amanah yang diberi nama Amanah Saham 1Malaysia. Semua ini merupakan antara langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menjayakan misi ini.

Namun saya merasakan bahawa semua itu tidak cukup untuk merealisasikan agenda ini. Memang benar, terdapat pelbagai cara untuk menjayakan 1Malaysia. Tetapi saya merasakan bahawa 1Malaysia akan lebih berjaya jika hanya diwujudkan sekolah satu aliran sahaja, iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.

Saya bukanlah yang pertama mencadangkan hal ini. Namun surat ini ditulis supaya mereka dapat mendengar suara pelajar itu sendiri memberikan pandangan terhadap isu ini kerana merekalah yang akan menerima kesannya.

Saya merupakan pelajar sekolah menengah di sebuah sekolah yang majoriti pelajarnya orang Melayu. Orang Cina tidak bersekolah di sini kerana terdapat sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) tidak jauh dari sekolah saya. Begitu juga dengan kaum India.

Saya tidak berpeluang mengenali kaum lain dengan lebih dekat, melainkan pada waktu mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Belajar mengenai bangsa lain dalam masa 80 minit seminggu memang tidak mencukupi. Oleh itu, sudah jelaslah bahawa sekolah satu aliran tidak mampu mewujudkan perpaduan.

Sekolah satu aliran pada saya tidak mendatangkan apa-apa keburukan. Mungkin saya tidak nampak apa masalah yang akan timbul kerana saya tidaklah sehebat mana berfikir. Namun, apa yang saya nampak ialah:

*Sekolah satu aliran mampu mewujudkan perasaan saling menghormati sesama bangsa.

*Sekolah satu aliran mampu menimbulkan perasaan ingin tahu dalam hati pelajar terhadap bangsa lain.

*Sekolah satu aliran membolehkan para pelajar untuk saling mengenali, mendalami, mengetahui dan bergaul dengan bangsa lain.

Berbeza dengan sistem sekolah yang ada pada masa kini, ia lebih bersikap mementingkan diri dan tidak menghiraukan kaum lain. Malah para pelajar tidak berpeluang untuk mengenali bangsa lain.

Saya sendiri tidak berpeluang untuk mendekati kaum lain kerana saya bersekolah di sekolah yang majoriti pelajarnya orang Melayu, menetap di kawasan yang komunitinya kaum Melayu, menonton saluran televisyen yang banyak memaparkan orang Melayu, bermain bersama rakan dari kaum Melayu dan banyak aktiviti yang dilakukan bersama orang Melayu.

Saya percaya perkara ini juga berlaku kepada para pelajar kaum lain. Oleh itu, hanya di sekolah satu aliran sahaja saya boleh mengenali bangsa lain. Itu pun jika cadangan ini dilaksanakan. Pelaksanaan cadangan ini mungkin membolehkan para pelajar untuk mengenali kaum lain, sekali gus mewujudkan perpaduan di sekolah.

Perpaduan di sekolah merupakan asas kepada perpaduan negara. Mungkin apabila kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan idea ini, saya sudah pun menamatkan persekolahan saya, namun keputusan itu penting untuk jutaan adik-adik saya yang masih bersekolah.

Saya berharap agar kerajaan memikirkan cadangan ini kerana ia mampu menjayakan apa yang diharap kerajaan. Saya hanyalah seorang pelajar yang inginkan perpaduan dalam negara ini.

(Sumber: Utusan Malaysia, 17 Ogos 2009).
+

24 Jun, 2009

Satu Sekolah Untuk Semua: Pungutan Suara

-
Blog Demi Negara telah melancarkan kempen menggesa pihak kerajaan agar melaksanakan satu pungutan suara berhubung pelaksanaan sekolah satu sistem di negara ini. Sebagai Anak Bangsa Malaysia yang cintakan perpaduan, penulis menyokong penuh gesaan pungutan suara yang dibuat oleh blog Demi Negara tersebut.

Secara sinisnya, agak aneh apabila terdapat individu yang masih mempertahankan segregasi setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan. Suka penulis memetik kata-kata negarawan kita iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak dalam Penyata Razak 1956 sebagai pembakar semangat meneruskan perjuangan sebenar menyatukan anak bangsa Malaysia.

Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur. - Penyata Razak, Perenggan 12, 1956.


Kata-kata tersebut menunjukkan betapa perlunya sekolah satu sistem diguna pakai dalam sistem pendidikan negara. Kempen Satu Sekolah Untuk Semua sangat bertepatan dengan hasrat yang tercetus dari jiwa negarawan Tun Abdul Razak sejak sekian lama lagi. Dan hasrat ini sebenarnya sentiasa dekat di hati pemimpin yang berjiwa negarawan.

Sudah tiba masanya anak-anak Malaysia bersekolah di sekolah satu sistem yang mengguna pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar; sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di dalam Perlembagaan negara kita.

Kempen Satu Sekolah Untuk Semua turut memberi penekanan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah satu sistem. Berikut diperturunkan Perkara 152 seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia:

Perkara 152. Bahasa Kebangsaan.

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—

(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan

(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:

Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Jika diteliti klausa dalam setiap Fasal dalam Perkara 152 tersebut kita akan dapati bahawa Kempen Satu Sekolah Untuk Semua memang selari dengan kehendak Perlembagaan. Mari kita kaji dan bandingkan Perkara 152 dengan apa yang sebenarnya ditekankan oleh Kempen Satu Sekolah Untuk Semua.

Di dalam Fasal (1) ada ternukil bahawa:


(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:


Ya, melalui Satu Sekolah Untuk Semua, semua sekolah perlu mengguna pakai satu sistem dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, dan ianya sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan negara ini.

Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan


Kempen Satu Sekolah Untuk Semua tidak pun menyentuh untuk dirobohkan mana-mana sekolah-sekolah yang ada, cuma menyarankan satu sistem diguna pakai, dan yang pentingnya tidak pun melarang pengajaran, pembelajaran dan penggunaan bahasa selain Bahasa Kebangsaan atas maksud tidak rasmi.


Pendidikan terletak atas urusan rasmi. Dan urusan rasmi tersebut dikuatkan dengan wujudnya Akta Pendidikan. Akta Pendidikan 1996 di bawah Seksyen 29A, menetapkan kuasa Menteri untuk mewajibkan pendidikan rendah di negara ini. Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah tergolong di bawah maksud rasmi.

Seksyen 29A (2) juga menjelaskan bahawa setiap ibu bapa yang merupakan warganegara Malaysia hendaklah memastikan bahawa jika anaknya telah mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa anak itu didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah dalam tahun itu dan terus menjadi murid di sekolah rendah sepanjang tempoh pendidikan wajib.


(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.


Kempen ini tetap menekankan pemeliharaan dalam pengajian bahasa selain bahasa Melayu dengan mencadangkan penawaran pengajian bahasa selain bahasa Melayu di sekolah satu sistem.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Sekolah Kebangsaan (SK) telah pun mula menawarkan mata pelajaran bahasa Arab, Mandarin dan Tamil. Dan sebagai tambahan fakta, sebenarnya Bahasa Arab, Mandarin dan Tamil turut dipelajari oleh semua kaum di SK. Penulis difahamkan juga bahawa di Sabah, bahasa Kadazandusun turut diajar di SK.

Dalam peruntukan Fasal (2) dan seterusnya pula, terdapatnya unsur tolak ansur yang diberikan dengan mengambil kira masa untuk penyesuaian terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan memandangkan adalah tidak munasabah untuk mewajibkan pelaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan secara drastik (mengejut). Dan masa yang ditolak ansur tersebut ialah selama 10 tahun selepas kemerdekaan.

Pelbagai usaha dilakukan untuk menimbulkan kesedaran rakyat akan peri pentingnya mewujudkan sekolah satu sistem di negara yang pelbagai kaum ini. Dan penulis percaya rakyat yang cintakan perpaduan menyokong pelbagai usaha ke arah penyatuan bangsa Malaysia.

Namun, kesedaran untuk mewujudkan satu sistem persekolahan telah dipolitikkan dan dilengahkan oleh segelintir yang mendakwa berjuang demi rakyat dan negara tetapi tingkah laku mempertahan segregasi menzahirkan wajah sebenar mereka.

Khairul Anwar Shazali, Setiausaha Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memetik pandangan Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arsyad bahawa perlu ada keazaman politik untuk merealisasikan sekolah satu sistem yang mana para pemimpin perlu telus dan tulus untuk mencapai hasrat murni ini.

Apa pun, selagi para penggubal undang-undang (ahli politik) masih berjiwa lemah dan tidak mempunyai keazaman politik yang tinggi, selagi itulah segregasi terus akan wujud. Dan selama itu jugalah hasrat dan suara hati rakyat terbanyak dipinggir.

Dan elok kiranya kerajaan memulangkan hak menentukan penyatuan bangsa Malaysia di tangan semua rakyat dengan mengadakan pungutan suara berhubung sekolah satu sistem. Dengan ini, blog Kembara Politik berpendirian turut sama menyokong blog Demi Negara dalam menggesa pihak kerajaan mengadakan pungutan suara.
+

15 Mei, 2009

Kempen Satu Sekolah Untuk Semua: Tandatangan Petisyen, Pamer Logo & Hebah Kepada Anak Bangsa Malaysia

-
Akhirnya komuniti blog Demi Negara telah berjaya melaksanakan suatu usaha yang sungguh bermakna. Suatu usaha yang amat signifikan. Sesuatu yang sepatutnya telah lama dilaksanakan. Sesuatu yang telah lama ditolak dan ditarik umpama bermain layang-layang oleh para penggubal undang-undang dan aktivis politik yang hanya rakus memancing undi tanpa memberikan fokus terhadap suara hati sebenar seluruh anak Bangsa Malaysia yang benar-benar ikhlas melihat perpaduan seluruh rakyat.

Suara hati anak Bangsa Malaysia yang menginginkan perpaduan antara kaum dipupuk seawal usia muda bermula di bangku sekolah rendah lagi. Perpaduan antara kaum yang disemai melalui sekolah satu sistem dan aliran; bukannya pelbagai aliran yang hanya menyuburkan sikap saling syak-mensyaki antara satu sama lain. Sekolah pelbagai aliran yang memupuk sikap tiada toleransi antara semua kaum di negara tercinta ini.

Pelbagai aliran yang mencetuskan sikap tidak memahami antara kaum yang pelbagai latar belakang agama dan sebagainya. Orang Melayu dan Bumiputra memasuki Sekolah Kebangsaan, Cina pula cenderung ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, manakala India cenderung ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Akhirnya anak-anak kita diasing-asingkan oleh sistem yang dipertahan oleh penggubal undang-undang (ahli politik) dan para aktivis yang bersikap chauvinis.

Yang pastinya, tidak mungkin sistem TIGA aliran dapat menSATUpadukan anak bangsa Malaysia kita. Kita cuma mempunyai hanya SATU pilihan. Ya! Hanya SATU pilihan, bukannya TIGA. Hanya SATU pilihan: SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA. Janganlah usaha ini diremehkan dengan diberikan pelbagai dalih dan alasan (barangkali mereka sudah keras hati untuk tidak menyokong usaha ini!). Inilah masanya bagi semua rakyat untuk memberikan sokongan ke atas usaha perpaduan yang amat penting ini.

Penulis amat percaya bahawa majoriti rakyat Malaysia ingin sekali melihat para penggubal undang-undang (ahli politik) dan para aktivis politik berlumba-lumba untuk merealisasikan hasrat murni satu sekolah untuk semua ini. Janganlah disekat hasrat ini dengan pelbagai alasan dan dalih semata-mata takut kehilangan pengundi dari kumpulan-kumpulan tertentu yang hanya pandai berselindung di sebalik slogan “Saya Anak Bangsa Malaysia” tanpa memahami apa sebenarnya maksud yang tersurat dan tersirat serta tuntutan usaha ke arah merealisasikan Anak Bangsa Malaysia tersebut.

Jelas sekali, kumpulan-kumpulan tertentu hanya menyalah gunakan slogan Anak Bangsa Malaysia demi memenuhi agenda tertentu sahaja. Walau bagaimana pun, penulis menyeru kepada semua Anak Bangsa Malaysia yang benar-benar ikhlas tanpa ada sebarang agenda tersembunyi untuk sama-sama berganding bahu menyuarakan suara hati sebenar kita demi melihat perpaduan generasi akan datang. Tolong ketepikan segala perbezaan pelbagai fahaman dari segi politik, bangsa, dan sebagainya demi satu sebab: Melahirkan Satu Bangsa Malaysia Yang Bersatu, Teguh dan Bersepadu.

Segala usaha yang dibuat inilah yang membezakan dimana letaknya KITA dan MEREKA yang hanya berselindung dan mengaku kononnya benar-benar berjiwa Anak Bangsa Malaysia sedangkan tindak-tanduk mereka tidak langsung mencerminkan perlakuan sebagai Anak Bangsa Malaysia.

Sudah tiba masanya seluruh rakyat bangkit memperjuangkan pendidikan satu sistem demi melihat anak-anak kita bermain bersama, saling kenal-mengenali antara pelbagai kaum, saling mengenal hati budi masing-masing, saling berinteraksi dengan lebih kerap di usia yang masih rebung. Memahami dan menghormati adab dan budaya sesama kaum.

Penulis mohon penglibatan semua rakan agar dapat mengambil bahagian dalam kempen ini mengikut kemampuan masing-masing. Sama-sama kita berganding bahu menyumbang tenaga apa yang termampu demi memastikan kejayaan kempen ini. Sebarkan dan hebahkan kepada semua Anak Bangsa Malaysia melalui e-mel, sms, facebook dan alternatif lain yang difikirkan sesuai sebagai cara menyebarkan usaha murni ini kepada semua.

Sekalung tahniah dan jutaan terima kasih buat semua Anak Bangsa Malaysia yang menyokong usaha murni ini!

Tandatangan petisyen menyokong KEMPEN SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA di SINI.
+

14 Disember, 2008

Cadangan Mukhriz sesuai untuk penyatuan kaum - Tun Mahathir

-
PUTRAJAYA 13 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan cadangan anaknya, Datuk Mukhriz supaya diwujudkan satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan sesuai untuk penyatuan kaum di negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika format sistem pendidikan sedia ada masih digunakan, penyatuan kaum di negara ini sukar untuk dicapai.

''Secara dasar, apa yang diperkatakannya (Mukhriz) itu adalah sesuatu yang benar dan ini bukanlah satu usaha untuk menghapuskan adat dan budaya kaum lain di negara ini.

''Tetapi kerajaan komited untuk mempunyai sekolah bantuan kerajaan dan ia tidak akan membawa kepada penyatuan kaum di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada forum Kepimpinan dan Hubungan Antara Budaya serta Pemahaman di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Turut hadir isterinya yang juga Canselor Universiti Multimedia (MMU), Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden MMU, Prof. Dr. Zaharin Yusoff.

Baru-baru ini, Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun meminta kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Beliau berkata, menerusi sistem pendidikan sedemikian, semua sekolah pelbagai jenis akan diserap melalui entiti tunggal dengan bahasa Melayu sebagai perantaraan kecuali bagi Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, seseorang pemimpin seharusnya bersikap sensitif terhadap keperluan dan kehendak majoriti masyarakat yang diwakilinya.

Katanya, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan masyarakatnya itu berpaling tadah.

''Ada sesetengah pemimpin hari ini yang gagal menjadi seorang pemimpin yang baik kerana dia tidak memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat yang diwakilinya.

''Walaupun sebelum ini dia seorang pemimpin yang baik tetapi apabila berkuasa, dia merasakan tidak perlu buat apa yang dikehendaki oleh masyarakat," katanya.
+

Perkasa sokong sekolah satu aliran

-
KOTA BHARU 13 Dis. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong cadangan Profesor Emeritus, Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim spaya diwujudkan sistem sekolah satu aliran di negara ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, saranan yang dikemukakan oleh tokoh sejarah itu dianggap berani dan tepat pada masanya demi melahirkan generasi beridentitikan Malaysia.

‘‘Perkasa menyokong kenyataan Kay Kim kerana perubahan sistem sekarang kepada sistem sekolah satu aliran dijangka mampu mewujudkan integrasi nasional yang lebih berkesan bagi jangka masa panjang.

‘‘Sistem yang ada sekarang memerlukan transformasi kerana terdapat pelajar yang tidak fasih menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

‘‘Melalui bahasa juga perpaduan dapat dicapai, merapatkan hubungan antara pelbagai kaum yang ada di negara ini malah rakyat berbangga kerana mempunyai satu bahasa yang mencerminkan imej negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika mengulas cadangan Kay Kim dalam akhbar China Press kelmarin, supaya negara ini mewujudkan sistem sekolah satu aliran.

Ibrahim menambah, sistem yang ada sekarang juga mengelirukan pelajar berkomunikasi terutama apabila melanjutkan pelajaran ke luar negara.

‘‘Situasi tersebut mengundang persoalan di kalangan warga asing dan mungkin berpendapat pelajar negara ini tidak mempunyai identiti Malaysia malah mungkin menyangka mereka dari negara Cina, Hong Kong atau dari India,” katanya.
+

02 Disember, 2008

Sekolah satu sistem

-
Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan AU YEONG HAW

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Menurutnya, menerusi sistem pendidikan sedemikian semua sekolah pelbagai jenis diserapkan di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan kecuali bagi subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

“Sudah tentunya murid-murid diwajibkan belajar bahasa ibunda mereka iaitu Mandarin bagi kaum Cina dan Tamil bagi kaum India.

“Malah di bawah sistem ini, pelajar Melayu diberi pilihan untuk mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mukhriz berkata, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk melepaskan sistem sekolah berbeza yang dilaksanakan sekarang memandangkan ia menyumbang kepada masalah hubungan kaum di negara ini.

Katanya, sistem pendidikan kebangsaan diamalkan di 99 peratus negara di seluruh dunia, dan pola sedunia itu seharusnya turut menjadi amalan di Malaysia.

Beliau berharap pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak melihat cadangan tersebut secara negatif kerana ia bertujuan menjadi penyelesaian kepada masalah perkauman yang menjejaskan semangat kebangsaan rakyat Malaysia.

“Jika ada yang menolak cadangan ini, mereka perlu menjelaskan sebab-sebab mereka menentangnya. Bagaimana mungkin mereka bercakap mengenai perpaduan dan mempersoalkan hak-hak orang Melayu dan pada masa sama masih berkeras untuk mengamalkan sistem sekolah berbeza bagi kaum mereka?

“Kalau kita mahu hak yang sama rata, kita tidak boleh mempunyai sistem pendidikan berbeza. Kita tidak boleh mendapatkan kek dan mahu makan kesemuanya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, semua pihak khususnya pemimpin parti-parti komponen BN perlu berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh meregangkan hubungan antara mereka, termasuk membangkitkan isu ketuanan Melayu.

Beliau yang melihat isu itu sebagai perkembangan yang tidak sihat berkata, sejak akhir-akhir ini banyak kenyataan dibuat oleh pemimpin parti komponen BN yang mampu menaikkan kemarahan orang Melayu, khususnya ahli-ahli UMNO.

“Sekiranya mereka berdegil dan terus mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ketuanan Melayu, janganlah pula terkejut jika orang Melayu mula membuat reaksi balasan mengenai apa yang dianggap mereka sebagai ketuanan ekonomi kaum bukan Melayu di negara kita.

“Jadi eloklah kita elakkan polemik ini kerana walau apa pun yang dikatakan mengenai isu ketuanan Melayu, orang Melayu tidak pernah merasakan mereka tuan apabila bercakap tentang ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beberapa tokoh pendidikan negara menyokong cadangan Mukhriz tersebut.

Mereka berpendapat sistem pendidikan Malaysia kini adalah hasil peninggalan zaman penjajahan British yang menampilkan sekolah aliran Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

Tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, cadangan Mukhriz itu hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik di kalangan ahli-ahli politik negara ini.

“Lebih-lebih lagi politik negara sekarang dilihat lebih menekankan perkauman dan sehubungan itu terpulang kepada kerajaan untuk melaksanakannya,’’ kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tidak bersetuju dengan saranan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu untuk mewajibkan murid mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

“Memang tidak kena. Kaum Cina mempunyai bahasa Kantonis, Hokkien dan Mandarin.

“Bahasa Tamil pula jelas sekali bukan merupakan bahasa ibunda untuk pelajar kaum India. Ada lagi bahasa Telegu dan Punjabi,” jelas beliau.

Ahli sejarah, Prof. Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan cadangan Mukhriz itu sebagai sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes 1951.

“Malangnya cadangan itu tidak dapat dilaksanakan dan kemudian dilupakan begitu sahaja ekoran orientasi pendidikan yang lebih menekankan markah ‘A’ dalam peperiksaan.

“Pelajar belajar tanpa matlamat positif untuk perpaduan, hanya untuk peperiksaan. Seringkali mereka tidak faham apa-apa yang dipelajari... mereka hanya tahu menghafal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, cadangan Mukhriz itu bukan sesuatu yang baru tetapi pelaksanaannya dapat mengeratkan perpaduan kaum.

“Cadangan itu sebenarnya diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran dan diterjemahkan dalam Penyata Razak 1956.

“Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan sampai ke hari ini. Ternyata sistem pendidikan negara kini adalah ciptaan penjajah British dulu yang masih kita warisi selepas kemerdekaan negara,” katanya.
+

12 November, 2008

Label

'Masalah Sikap' vs 'Cemburu' #justiceforMH17 16 September 2008 1Malaysia 1MDB 22 tahun tanpa konflik kaum 3 billion 31 Ogos 2009 5 Ogos 1957 Abdullah ABIM Acaro Solingan Adik Siti Amynur Ain AIDC Air percuma AirAsia Akta hasutan Akta Hasutan 1948 Akta Pendidikan 1996 Aktivis Al-Fatihah Allahyarham Tun Abdul Razak Altantuya Altel Aman Malaysia Ambiga Anak Bangsa Malaysia? Anak Wayang Pas analisa PRU13 ancaman islam di Malaysia. Anjing Gila Anwar Anwar Ibrahim Azan Azizan Azmin Ali babi Badak Pekak Badut Bahasa Kebangsaan Bahasa Malaysia Bahasa Melayu Bajet Pahang 2009 BALACI Bangsa Malaysia Banjir Banjir di Kuantan Banjir di Lipis Bantuan Barisan Nasional Batal Usul Sekat Jualan Arak Behind The Veil Belasungkawa BERSATU Bersih biadap Biadap Hina Nabi Blogger BN BN Perak BOC Boikot barangan israel Boikot produk Yahudi-Amerika Boikot Secara Terancang Bomoh Boneka BR1M Brader Anwar Bin Ibrahim bubar UMNO Bumi Daku cadbury calon boleh menang Carlsberg halal Cawangan UMNO CDM25 Celaka Ceroboh Tanah Milik TNB chedet Chin Peng Chui Jui Meng Cina Cina Boikot Melayu COMANGO Criminalise War Exhibition and Conference 2009 Cuit: Dilema Melayu Moden DAP Datuk Ibrahim Ali Datuk Mukhriz Datuk Mukhriz Mahathir DEB deklarasi rakyat Demi Negara Demonstrasi DERHAKA diesel Din Turtle DNA babi Dokumen Langkah kajang Dong Zong Double Standard Prosedure Dr Abdul Rani Kamarudin Dr Chandra Muzaffar Dr Khir Dr Novandri Dr Ridhuan Tee Abdullah Dr Sidek Baba Dr Yusri Mohamad Dr Zambry Kadir Dr Zuhdi Dr. M DS Anwar DS Anwar Ibrahim DS Najib DUN DUN Perak Durian Runtuh Dyana Sofya DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah DYMM Sultan Azlan Shah Dyna Sofya DYTM Raja Dr Nazrin Shah Ekonomi Ekonomi Bumiputera ekonomi melayu Elizabeth Wong Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor Erniceda Etnic Cleansing Eurocopter Evolusi Politik Melayu Fatimah Zuhri's Blog Fatwa Anti Tomboy FELDA FGV fitnah Fitnah Undi Pos Flip-flop Forum Peluk Islam Foto gabungan UMNO dan PAS. gaza Gerakan Razak Gobalakrishnan Hak Istimewa Melayu/Bumiputera Hak Membeli Hak Mengundi Hansard Parlimen Harakah haram harga minyak naik Hari Kemerdekaan hina Hina Fatwa Hina Islam Hina Raja Melayu Hindraf Hipokrit Hishammuddin Tun Hussein Hishamuddin Hj Hadi Awang Hj Naser Disa Hormati murtad hudud Hudud dan Qisas Husam Musa i want to tocuh a dog i want to touch a dog Ideotique IFC india Institusi Raja Islam Islam Agama Persekutuan Islam Agama Rasmi Persekutuan Ismail Mina Ahmad israel Isu CAR Isu Kalimah Allah Isu Ketidakseimbangan Kaum isu lahad datu Isu Menteri Besar Isu Moral Isu Roboh Kuil Isu Scorpene Isu Tanah Kolej Taiping Isu Tanah Perak Jabatan Pendaftaran Negara JAIS JAKIM Jambatan Bengkok Jeff Ooi Jenayah Jom Bantu Jumlah pengundi muda Jurugambar Utusan KAFA Kaki Pembelit kalimah Allah Kamarudin Jaafar KAR1SMA Karpal Singh Kaum Cina Kaum Melayu Kebaikan Kebal Kebebasan Bersuara Kedah Kedai Rakyat 1 Malaysia keistimewaan Melayu Kekejaman Israel ke atas umat Islam kelvin yip Kempen Satu Sekolah Untuk Semua kerajaan islam Keranda 152 Kes Datuk Nasaruddin Hashim (UMNO ke PKR) Kes Liwat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Ketuanan DAP Ketuanan Melayu Ketuanan Pakatan Rakyat Ketum Khalid Ibrahim Kiasu KijangMas Kiki KKM Kongres Ekonomi Islam Ketiga Kontrak Sosial kronisma kuala kangsar Kuala Lumpur Foundation To Criminalise War Kuota Pemilikan 30 % Kuota Pemilikan Rumah 50 % Ladang Babi Lateefa Koya LBGT Lee Kuan Yew lembah klang Lembah Pantai Leong Ngah Ngah LGBT Liberalisasi? Lidah 'tidak rasmi' Pakatan Rakyat = Malaysiakini Lim Guan Eng Lim Kit Siang Lina Joy Logo Halal logo halal JAKIM Lompat Parti Low Siew Moi lowyat M Manoharan M-UPRo Mah Siew Keong Mahkamah Syariah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Majlis Fatwa Kebangsaan Majlis Muafakat Melayu Majlis Peguam Malay Mail Cyberspot Malaysia malaysia bukan negara sekular Malaysian Airline System Malaysian Malaysia Mangkat Mangkuk Ayun Azmi Shahrom Manifesto bukan janji Marah-Marah Sayang MAS Masjid Besi Putrajaya MB Kedah MB selangor MCA media sosial melayu Melayu Pulau Pinang Melayu Singapura Membina Negara mencari simcard Altel Menteri besar Selangor merdeka riview Meroyan MH17 MH370 MO1 Monopoli Ekonomi Muhammad Firdaus Dullah Muhyiddin Murtad Muslim UPRo Mustafa Ali Musuh islam Musuh Melayu Musuh Negara Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 MyKad Najib Najib Tun Razak Nasrudin Hassan negara islam negara sekular Negarawan Ulung Nga kor ming Ngeh Koo Ham Nik Aziz Nilai Nizar Nizar Boneka DAP Nurul Izzah Obama octoberfest octoberfest2014 OKU OKU dikurung OKU terbiar Omar Ong One utama Open Letter by Matthias Chang PAC Pahang Darul Makmur Pakatan Pakatan Haram Pakatan Rakyat Pakatan Rakyat Perak Pakatan Rakyat. pertusan undi cina Palestin Paneh Miang PAP Parlimen Parti baru Tun M Parti tunggal PAS Pas selangor Pas Terengganu PAS youth Pasca PRU-13 PAU Ke-59 Peguam Negara Pelacuran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 PEMBELA Pembohong Pembubaran parlimen Pemuda UMNO Pemuda UMNO Bahagaian Segambut Pemuda UMNO Pahang Penamaan Calon Pencemaran Pencerobohan Tanah Kerajaan Peneroka Pengganas Komunis Pengkhianat pengkhianat negara Pengundi Atas Pagar Penyata Razak 1956 Perak Perbandingan Perdana Menteri Malaysia Ke-6 perkara 11 Perkara 11 Perlembagaan Perkara 12 perkara 121 Perkara 152 Perkara 153 perkara 3 Perkara 3 Perlembagaan PERKASA perkauman Perkhidmatan Awam Pulau Pinang perkongsian kuasa. Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Perpaduan Perpaduan Melayu/Islam Persekutuan Tanah Melayu pesawat MAS terhempas pesta arak pesta arak terbuka Petisyen petrol Petronas Pilihanraya Masjid PKM PKNS PKPIM PKR Polarisasi Kaum Politik Perak Portal Kempen SSS PPSMI PR PRK Bagan Pinang PRK Bukit Gantang PRK Galas PRK Kuala Terengganu PRK Teluk Intan PRN pro-pembangkang produk cina produk melayu Prof Dr Aziz Bari Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim Prof. P Ramasamy propaganda PRU 14 PRU12 PRU13 Puasa Ramadhan Pulau Pinang Puppet Master Putera Sultan Selangor Putrajaya Qarinah Qazaf Rabindranath Tagore racist Raja Nong Chick Raja-Raja Melayu Rakyat Malaysia? Rasuah Razak Baginda RBA Reaksi pemimpin politik Reflections: Melayu Lama Ronnie Liu Rukun Negara Rusia Rusia Border Rusuhan Saham FGV Saiful Bukhari Azlan Sakmongkol AK47 Salah Guna Kuasa SAR Sastera Satira Satu Malaysia Sekolah Agama Sekolah Kebangsaan Sekolah Satu Aliran Sekolah Vernakular Seks sekular Selangor Sepitman Begins sesat Shafie Apdal shah alam Sidek Baba Sistem Pendidikan Kebangsaan skandal kewangan Skuad Banjir Pemuda sokongan masyarakat kepada MAS Solat Hajat SPR SRJK Persendirian steering lock SUARAM subsidi Sultan Perak Sultan Selangor Sumpah Laknat Sun Tzu'z Art of War sungai besar surah al kafirun Syed Azmi Alhabshi syiah Tan Sri Isa Samad Tan Sri Khalid Ibrahim Tan Sri Muhyiddin Tanah Kebun Peneroka Techno Crap Teluk Intan tembak Tender Tanah tender terbuka Tengku Adnan Teresa Kok terhempas The Economist The Unspinners The War Crimes Commission and Tribunal 2009 Titah DYMM Sultan Selangor Titah DYTM Raja Muda Perak di Majlis Perasmian Penutupan Kongres Ekonomi Islam Ketiga Toyota Camry 2.4 Perak Truth for Teoh Beng Hock Tsunami Cina Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Tulisan Jawi Tun Dr. Mahathir Mohamad Tun M tuntutan Ukraine UMNO UMNO Seremban Uncle sim Undang-undang antilompat parti wakil rakyat Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Undi cina undi hantu Usahawan Bumiputera Pahang Ustaz Kazim Elias Utusan Malaysia V. Sivakumar video WADAH wall street journal Wan Azizah Wasiat Raja-Raja Melayu Wong Siew Teng aka Agnes Wong Yayasan Anti Peperangan Kuala Lumpur Yusuf Qardhawi Zahid Hamidi Zahrain Zaini Hassan Zulkifli Noordin