Memaparkan catatan dengan label Evolusi Politik Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Evolusi Politik Melayu. Papar semua catatan

01 Februari, 2010

Dr. Mahathir kecewa parti Melayu tidak bantu kaum sendiri

-
KUALA LUMPUR 30 Jan. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlalu 'asyik' mendapatkan sokongan bukan Melayu sehingga tidak mempedulikan rintihan kaum mereka sendiri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini apa jua tuntutan bukan Melayu, sama ada beralas undang-undang, Perlembagaan atau perjanjian lalu, akan dilayan oleh parti-parti berkenaan.

Beliau percaya tindakan itu berpunca daripada keyakinan mereka yang menyedari bahawa orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan ketika pilihan raya dan akan tetap menyokong mereka.

"Tidak perlu saya nyatakan apa yang menyebabkan kita berasa kecewa. Tetapi kita lihat orang yang dulu kata orang Islam jika berkawan dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang peluk cium orang bukan Islam dan dihalalkan segalanya bagi mereka kerana orang Melayu tetap akan bagi sokongan.

"Ia bukan tindakan yang bijak. Orang Melayu rasa tidak boleh lagi bergantung pada parti-parti politik, sebab itu ditubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pendapat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin pada majlis pelancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hulu Kelang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali serta beberapa pemimpin NGO Melayu.

Dr. Mahathir menambah, terdapat beberapa NGO Melayu yang menemuinya dan menyatakan kekecewaan mereka terhadap kerajaan dan parti-parti pembangkang.

"Tetapi apa yang mereka boleh buat. Mereka kata, jika terlampau giat suarakan pendirian orang Melayu, mereka akan dituduh rasis dan mungkin juga diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

"Akhirnya, mereka datang bertemu bekas Perdana Menteri yang sudah tidak bertaring. Mereka kecewa tetapi tidak dapat suarakan kepada pemimpin Melayu sama ada kerajaan atau parti lawan," ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang Melayu agar melakukan protes secara tertib dan tidak melakukan kekacauan sehingga menghancurkan keamanan negara.

"Kalau mereka tidak dengar, kita ada kuasa dalam pilihan raya. Jangan gunakan cara yang boleh merosakkan keamanan.

"Tetapi saya bimbang, sekiranya keadaan ini berterusan, orang Melayu yang sekian lama memendam kekecewaan akan 'meletup'," katanya

(Sumber: Mingguan Malaysia, 31 Januari 2010).


Artikel berkaitan:

The Scribe A Kadir Jasin - Hak Melayu: Umno dan Pas Sama Koro?
+

16 Julai, 2009

Kuasa Melayu Islam terletak pada perpaduan

-
Oleh ROHAMI SHAFIE

SERUAN demi seruan dilaungkan agar orang Melayu Islam memperkukuhkan penyatuan. Ia dibuat dari peringkat bawah sehinggalah ke pemimpin atasan. Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah turut memperkatakan isu yang sama sewaktu Muzakarah Cendekiawan Islam 2009.

Baginda meminta orang Melayu yang beragama Islam bersatu padu bagi membina modal pengupayaan Islam dan Melayu. Titah baginda mencakupi sejarah seperti Peristiwa Natrah pada Disember 1950 dan Tragedi 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur.

Kedua-duanya menunjukkan kebangkitan orang Melayu Islam dan seterusnya memperkukuhkan perpaduan.

Titah baginda itu amat bertepatan dalam suasana orang Melayu Islam masih tercari-cari formula untuk kembali bersatu padu terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu.

Dalam keadaan yang dilihat semakin meruncing ini, orang Melayu Islam tidak seharusnya hanya sekadar berpeluk tubuh.

Tanpa perpaduan, orang Melayu Islam mudah diperkotak-katikkan dan tidak mampu membina keupayaan sendiri.

Keupayaan ini amatlah penting dalam menghadapi cabarancabaran yang lebih besar dan sukar dijangka. Cabaran ekonomi umpamanya menuntut agar umat Melayu Islam bersedia dengan segala persiapan untuk menghadapi.

Globalisasi dan liberalisasi merupakan cabaran besar yang perlu diamati dan difahami oleh setiap individu Melayu Islam.

Namun kini, orang Melayu Islam tidak dapat menumpukan kekuatan untuk menghadapi perkara ini kerana banyak perkara yang kini dipersoalkan oleh pihak ketiga akibat daripada kekuatan perpaduan orang Melayu Islam yang semakin longgar dan berpecah belah.

Sehinggakan hak-hak keistimewaan Melayu Islam dipertikaikan dengan pelbagai analogi dan cemuhan seolah-olah Melayu Islam selama ini amat kejam kepada bangsa lain.

Sedangkan orang Melayu Islam merupakan bangsa dan mempunyai agama paling suci di dunia yang sentiasa memberi peluang kepada bangsa lain menikmati dan berkongsi kekayaan di tanah airnya sendiri.

Carilah bangsa lain di dunia, tiada yang sebegitu pemurah seperti orang Melayu Islam di Malaysia. Ini sejajar dengan ajaran Islam yang mengajar umatnya agar memberi keadilan untuk semua pihak.

Namun, jika tidak bersatu padu, orang Melayu Islam akan sentiasa ditekan. Tiada bangsa di dunia ini akan mengecapi kejayaan tanpa bersatu padu.

Tiada satu pun perkara boleh dilaksanakan dengan jayanya tanpa ada penyatuan. Ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja. Ajaran Islam sendiri mengajar umatnya bersatu padu mengikut kiblat yang satu dan menyembah Tuhan yang satu - Allah SWT

Asasnya orang Melayu yang berbeza pendapat dan fahaman politik harus berpegang pada kiblat yang satu ini kerana mempunyai senjata yang amat ampuh iaitu memiliki agama yang terunggul di dunia iaitu Islam. Maka, Raja Nazrin bertitah mengenai betapa roh Islam yang amat mementingkan penyatuan dan menerima orang Islam sebagai saudara.

Perkara ini wajib dilakukan bagi mengekalkan kuasa Melayu Islam bukan sahaja setakat kuasa politik tetapi juga untuk membina keupayaan ekonomi dan pendidikan.

Bila kedua-dua ini dapat dibina, maka sudah pasti agenda-agenda Islam yang lain dapat diteruskan dengan lebih mudah lagi.

Orang Melayu Islam perlu mengambil iktibar daripada rusuhan kaum antara etnik Uighur dan Han di Xinjiang, China yang menampakkan betapa umat Islam di seluruh dunia sering menjadi mangsa kekejaman bangsa dan agama lain.

Etnik Uighur yang beragama Islam serta penduduk asal Xinjiang diperkotak-katikkan dengan mudah dan disisihkan terutamanya daripada sudut ekonomi.

Inilah pengajaran di depan mata yang perlu diambil oleh orang Melayu Islam. Kini kita masih ada kuasa politik, namun tidak mustahil kuasa politik ini tinggal sejarah jika orang Melayu Islam tidak bersatu padu. Inilah satu-satunya kuasa yang masih ada pada orang Melayu.

Orang Melayu Islam masih ketinggalan dalam serba-serbi. Jika perpaduan yang merupakan tunjang kuasa orang Melayu Islam tidak dapat diperkukuhkan, tidak mustahil banyak lagi tekanan akan dikenakan oleh pihak-pihak yang sentiasa mengintai ruang untuk mengambil kesempatan.

Maka orang Melayu Islam mesti mengetahui siapakah kawan dan siapakah lawan agar tidak mudah diperolok-olokkan.

Usaha memperkukuhkan perpaduan dan penyatuan perlu diteruskan tanpa adanya perkataan "putus asa".

Kita boleh berselisih pendapat, namun berselisih pendapat ini hanyalah semata-mata untuk mendapatkan keputusan terbaik dan tidak sesekali meminggirkan agenda Melayu Islam.

Banyak lagi usaha perlu dilakukan agar orang Melayu Islam bukan sahaja bersatu padu dalam erti kata kuasa politik tetapi juga bersatu padu untuk menjadikan agama Islam sentiasa disegani dan dihormati di Malaysia.

Inilah pengorbanan besar yang perlu dilakukan oleh setiap individu Melayu Islam tidak kira orang bawahan atau pemimpin atasan.

Lupakan segala sengketa dan dendam kerana ia bukan sahaja menjadikan orang Melayu berpecah belah tetapi juga mampu membinasakan ummah.

Titah Raja Nazrin agar orang Melayu Islam wajar membuat pembetulan dan kembali ke pangkal jalan seharusnya dirintis sepenuhnya sebelum nasi menjadi bubur.

PENULIS ialah Pensyarah di Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

(Sumber: Utusan Malaysia, 16 Julai 2009).
+

13 April, 2009

UMNO perlu jadi jaguh Melayu & Bumiputra

-
Apa yang dilihat sejak kebelakangan ini terlalu banyak ugutan yang dilakukan oleh musuh serta rakan UMNO dalam BN. Lagak sesetengah rakan dalam BN pula seolah-olah lebih DAP dari DAP itu sendiri. Inilah padahnya bila BN tidak lagi berupaya menang dengan 2/3. Dan hanya UMNO sahaja yang agak bertahan semasa PRU12 yang lalu. Komponen yang lainnya dilanda badai tsunami. Hampir ranap.

Di kala keperitan inilah banyak benar cabaran yang menguji sejauh mana kemampuan UMNO. UMNO diasak dari pihak lawan dan juga kawan. Banyak perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Tuntutan demi tuntutan ditagih daripada MCA dan juga MIC. Walau pun prestasi mereka tidak membanggakan, mereka tanpa segan silu meminta itu dan ini.

Permintaan jawatan TPM oleh MCA di saat genting ini tidak sepatutnya keluar dari mulut ahli komponen yang setia. Suara MCA dah menjadi saling tidak tumpah seperti suara DAP. Keterbukaan Anwar yang bersedia menawarkan jawatan TPM kepada kaum Cina menyebabkan MCA terikut-ikut rentak pihak lawan. Tidak boleh disalahkan sepenuhnya kepada MCA. Kotak Pandora sudah dibuka oleh Anwar.

Kesediaan di pihak Melayu pembangkang yang menawarkan jawatan TPM membuatkan kaum bukan Melayu melihat Pakatan Rakyat sebagai objektif baru perjuangan politik mereka. Mungkin sudah bulat tekad mereka untuk menyokong penuh PR. Tawar-menawar di dalam BN sudah tidak boleh diperbaharui. Sudah tepu bak kata orang. Kaum Cina mungkin sudah dapat mengagak bahawa UMNO agak keberatan untuk memberikan jawatan tersebut kepada bukan Melayu.

Di pihak MIC pula karenah Samy membuat semacam ugutan tidak langsung membantu pemulihan BN. Mungkin sudah tiba masanya PM Dato' Sri Najib mengambil langkah drastik menasihati Samy untuk berehat. Tambahan pula beliau ditolak oleh ahli partinya sendiri. Kemenangan Samy sebagai presiden yang menidakkan hak pencabarnya bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan MIC. Malahan perlu dilihat sebagai satu liabiliti kepada MIC dan juga BN.

Signal sokongan bukan Melayu jelas boleh dibaca di PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April yang lepas. Mesejnya jelas. 85% bukan Melayu menolak BN. Sudah tidak ada daya penarik dalam BN lagi barangkali. Nak minta pun dah tepu. Kalau kad kredit, dah cecah credit limit. Dan tak boleh buat pengeluaran lagi. Dah tak boleh nak gores lagi.

Di pihak PR yang masih tiada pengalaman pula menjanjikan sesuatu yang amat menarik. Sesuatu tawaran yang tidak dijanjikan di pihak BN. Keadaan para pemimpin PR yang tidak punya pengalaman menyebabkan kaum Cina melihat bahawa bargain power mereka boleh digunakan di sana. Kaum Cina melihat Melayu PR tidaklah sekeras kepala macam Melayu UMNO. Melayu UMNO kena ugut MCA untuk minta jawatan TPM pun masih berdegil. Sedangkan Anwar tak perlu diugut, malah ditawarnya dengan rela hati tanpa paksa pun (sangap nak jadi PM!).

Dasar-dasar PR pun mungkin menjadi daya penarik kaum Cina untuk tidak akan kembali lagi ke pangkuan BN dalam satu tempoh yang lama. Isu tanah contohnya. Melayu PAS & PKR tak kisah walau pun melanggar dan bertentangan dasar tanah kerajaan Persekutuan. Penulis secara peribadi tidak suka tanah dijadikan komoditi politik untuk raih undi, namun dengan ‘keterbukaan’ Melayu PR akan hal ini nampak gayanya UMNO perlu turut mengorbankan dasar kerajaan Pusat berhubung hal tanah ini.

Mungkin kaum Cina merasakan dengan berkuasanya PR maka akan banyaklah tanah-tanah yang bakal diagihkan kepada mereka. Mungkin sudah tiba masanya UMNO berbuat perkara yang sama. Strategi dan langkah drastik yang semacam DAP Perak perlu diguna pakai. Mungkin UMNO perlu bermurah hati menabur tanah sebanyak-banyaknya kepada Melayu dan Bumiputra untuk mendapatkan sokongan padu kaum Melayu/Bumiputra.

Mungkin boleh difikirkan beberapa program ala Felda yang memberikan peluang kepada golongan miskin tegar Melayu/Bumiputra memiliki tanah dan secara tidak langsung melonjak taraf sosio ekonominya. Apa salahnya jika UMNO berbuat sedemikian di kala PR menabur tanah di Perak untuk mendapatkan sokongan padu bukan Melayu. Dan hasilnya semua orang tahu. 85% undi bukan Melayu di Bukit Gantang pergi kepada PR walaupun 63% undi Melayu memihak kepada BN. Undi bukan Melayu sudah jadi undi penentu.

Tak guna tabur berlebihan kepada bukan Melayu kerana mustahil mereka kembali semula ke pangkuan BN. Cuma kalau ada yang miskin dari kaum bukan Melayu wajiblah UMNO tolong. Kalau ada anak India yang cerdik tapi miskin perlulah diberikan biasiswa. Kalau anak Cina yang miskin dan cerdik pun perlu dibantu. Yang ini tak bolehlah diabaikan. Cuma bantuan yang pelbagai untuk raih undi tak perlulah diteruskan. Sampai RM1 juta kepada sekolah jenis Cina buat apa? Duit mereka ambil, pangkah tetap PR. Kan elok diberi pada PIBG sekolah kebangsaan di Felda atau kampung-kampung Melayu yang ada kalanya sesak nafas bila nak buat pelbagai aktiviti.

Keadaan sekarang sangat jauh berbeza. Bukan Melayu semacam sudah bulat tekad mengatakan rumput di PR lebih hijau. UMNO juga perlu memikirkan kaedah yang mungkin tidak disukai oleh komponennya tetapi bakal disukai oleh majoriti Melayu/Bumiputra. Mungkin sudah tiba masanya biasiswa diberikan kepada Melayu/Bumiputra. Anak Melayu/Bumiputra yang miskin/sederhana dan menepati syarat bolehlah dianugerahkan biasiswa dan bukannya pinjaman seperti sekarang ini.

Mungkin banyak lagi perkara yang boleh difikirkan untuk mengembalikan sokongan padu orang Melayu terhadap UMNO. Yang pastinya, UMNO perlu menjadi jaguh orang Melayu/Bumiputra semula untuk mendapatkan sokongan padu supaya penentu bagi politik Malaysia terus berada di tangan Melayu. Tidak boleh tidak!
+

12 April, 2009

Kuasa penentu Melayu hilang jika terus berpecah

-
Pembangkang mengatakan konsep Satu Malaysia ia sama seperti konsep Malaysian Malaysia, apa pandangan Tan Sri?

MUHYIDDIN: Ia jauh berbeza, Malaysian Malaysia lain, konsep Satu Malaysia akan diberikan kupasan oleh kerajaan. Tetapi bagi saya penekanan terhadap konsep Satu Malaysia ia menunjukkan kita harus berperasaan Malaysia dan ada rasa tanggungjawab yang sama memajukan negara dan mempunyai cita-cita, wawasan dan visi yang sama untuk menjadi Malaysia sebuah negara yang maju tetapi yang penting ialah soal semangat kerjasama dan perpaduan.

Ia kerana akhir-akhir ini kita lihat ada juga sedikit bunga-bunga berputik perasaan polarisasi, perkauman dan ia dieksploitasikan oleh pembangkang. Mereka membangkitkan perasaan tidak berpuas hati termasuk isu-isu yang sudah disepakati bersama.. Isu-isu ini memerlukan kita melihat semula semua tindakan bagi mencari pendekatan untuk menyatu padukan rakyat, keduanya ialah dari segi melihat peluang pengagihan, nikmat pembangunan bukan dikatakan sama rata tetapi mesti buat secara kesaksamaan bukan kesamarataan, yang mana perlu dibantu, harus dibantu supaya semua orang boleh menikmati kemajuan dalam konteks yang saksama dan paling adil.

Tetapi Pas melalui Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat menganggap melalui konsep Satu Malaysia itu, UMNO mula meminggirkan perjuangan terhadap orang Melayu?

MUHYIDDIN: Itu tidak betul kita tidak pernah lari daripada perjuangan asal kita, kita tahu di mana kedudukan kita. Kalau Nik Abdul Aziz berkata begitu, maknanya beliau sudah menerima gagasan UMNO walaupun kononnya Pas tidak menyebut soal Melayu hanya Islam sahaja, tetapi kita sejak dulu lagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan itu masih termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan UMNO tidak pernah lari daripada asas perjuangan kita. Namun dalam konteks yang sama dan terkandung dalam Perlembagaan UMNO ialah kita juga perlu membantu bangsa-bangsa lain dalam negara kita yang ada hak dan kedudukan. UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawab itu tetapi UMNO juga memahami senario dan landskap politik yang berubah pada hari ini, kalau kita mengambil pendekatan yang agak sempit dan tidak mengambil kira tentang senario politik yang sudah berubah orang akan kata UMNO sudah tidak relevan maknanya kita tidak lagi dilihat sebagai mampu membela nasib bangsa kita.

Ini pembaharuan pendekatan yang digunakan oleh Presiden parti dan menunjukkan bahawa kita berlapang dada dan bersikap terbuka tetapi tidaklah kita mengorbankan kepentingan asas kita, kalau kita hanya melihat dari sudut itu tanpa melihat kepada yang lain masalah kita akan lebih besar lagi.

Kalau melihat kepada keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini terutamanya di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, ia seolah-olah menampakkan laluan BN masih sukar untuk mendapat sokongan rakyat, apa pandangan Tan Sri?

MUHYIDDIN: Saya fikir paling jelas terbukti masyarakat Cina dan India belum bersedia menerima apa-apa bentuk pimpinan kerajaan yang seperti ada sekarang ini, lebih lagi agak terlalu menonjol ialah terhadap apa yang berlaku di Perak itu sendiri. Sesetengah masyarakat di sana, melihat ia dari sudut yang rasis, kerajaan orang Cina ditumbangkan oleh kerajaan orang Melayu walaupun tanggapan itu tidak betul.

Mungkin mereka tidak berapa jelas cara dari sudut Perlembagaan dan peraturan, maka mereka melihat apa yang berlaku sebagai satu bentuk menolak hak majoriti rakyat, mereka mahu kerajaan dipilih seperti pilihan raya lepas.

Komplikasi ini menyebabkan rasa marah di kalangan orang Cina dan juga masyarakat India, jadi bagi saya itu agak menjadi faktor utama di Bukit Gantang dan kesannya sampai ke Bukit Selambau. Ini jelas apabila ada masyarakat Cina di Bukit Selambau ramai yang tidak keluar mengundi, kita tidak pasti sama ada mereka memboikot atau tidak mahu menyatakan pendirian.

Bagaimanapun petanda lain, kita melihat sokongan orang Melayu meningkat, jadi dari satu sudut ada faktor yang positif kerana masyarakat Melayu mungkin lebih yakin apabila melihat angin perubahan dalam kepimpinan negara, kepulangan Tun Dr.Mahathir Mohamad ke dalam UMNO dan lain-lain usaha yang kita buat untuk menjelaskan isu yang berlaku di Perak sebab itu mereka membantu kita.

Saya fikir ada juga faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan seperti pembangunan, faktor tidak ada keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang menyenangkan rakyat, isu tanah dibangkitkan dan mungkin dari segi bantuan sekolah-sekolah bukan kebangsaan, jadi sama ada faktor ini menggambarkan senario nasional atau pun lokal, kita akan ketahui selepas kita membuat satu kajian oleh badan bebas nanti. Di Bukit Selambau pun tidak banyak bezanya, mungkin 'angin' yang sama 'bertiup' ke sana dan kesannya hampir serupa, faktor sokongan Melayu hampir positif, kaum India sedikit ada penambah baikan tetapi tidak banyak berubah, jadi ini satu perkara yang perlu kita kaji dan teliti. Tetapi macam di Sarawak, di Batang Air, mungkin disebabkan ia jauh di pedalaman mereka melihat soal pembangunan, jadi mereka melihat kerajaan sebagai satu tempat yang mereka harapkan sangat.

Di Semenanjung pembangunan tidak menjadi isu, mereka melihat kepada isu-isu yang lebih nasional apa lagi dibebankan dengan apa yang dibuat oleh parti pembangkang. Mungkin methodologi yang kita guna masih lama sedangkan mindset baru. Ini kita akan ambil iktibar daripada itu, bagaimana kita hendak mengubah methodologi kepada suatu yang lebih sesuai dengan keadaan dan masa.

Tetapi bukankah setiap kali pilihan raya kecil, permintaan kaum bukan Melayu dipenuhi, malah di Bukit Gantang walaupun peruntukan RM1juta diberikan tetapi kaum Cina tidak juga menyokong BN?

MUHYIDDIN: Ya, kadang-kadang kita berasa terpedaya juga kerana zahirnya nampak macam 'ok', sambutan dengan tepukan gemuruh tetapi mungkin sudah ada tertanam dalam hati iaitu sesuatu tidak mudah hendak berubah, pokoknya masalah isu Perak terutamanya di kalangan masyarakat Cina yang mungkin telah dipengaruhi dengan sentimen simpati kepada Datuk Seri Ir.Mohamad Nizar Jamaluddin, kononnya dia 'dijatuhkan', lepas itu kononnya dasar memberi pegangan tanah selama 99 tahun dilihat dasar yang menguntungkan.

Ini yang mungkin menyebabkan sukar BN mendapat sokongan walaupun kita fikir bila mereka hendak sekolah Cina dibantu, kita bantu, sepatutnya mereka membalas budi. Pada waktu itu, kita pun tidak berharap sokongan kaum Cina akan meningkat 40 peratus dan sebagainya cuma kita berharap ada peningkatan sedikit tetapi apa yang berlaku ia mencatatkan penurunan, macam tidak ada penghargaan terhadap apa yang kita lakukan.

Oleh itu kita kena kaji psikologi apa yang menyebabkan masyarakat Cina tidak bersedia untuk berubah, pada zaman dahulu tidak begitu.

Persoalannya apakah mereka melihat dalam konteks senario politik baru ini, selepas kerajaan BN tumbang di lima buah negeri, mereka sudah menjadi kuasa penentu? Orang Cina rasa sekarang, walaupun mereka kumpulan minoriti, merekalah menentukan kerana kelompok masyarakat Melayu sudah berpecah tiga kumpulan. Masyarakat Cina tidak berpecah mereka bersatu, setidak-tidaknya dari segi semangat apabila bersama-sama membuat sesuatu keputusan.

Dalam keadaan ini, mereka boleh menentukan keputusan sesuatu pilihan raya dan apabila kesan itu dapat dilihat dalam pilihan raya umum lalu dan beberapa pilihan raya kecil, mereka fikir sekarang mereka lebih ada kuasa penentu, bukan sahaja Cina malah masyarakat India pun begitu, apa tah lagi apabila mendapat kedudukan dalam kerajaan yang ditubuhkan pakatan pembangkang dengan menjadi Timbalan Ketua Menteri, Speaker dan exco kerajaan negeri, jadi ini bagi mereka seolah-olah tawaran yang diberikan oleh pihak sana lebih baik daripada kita pernah tawarkan dalam konteks BN, jadi ini kita harus teliti.

Apakah situasi ini yang mendorong Tan Sri membuat seruan supaya semua orang Melayu bersatu kembali di bawah UMNO?

MUHYIDDIN: Saya membuat seruan itu kerana saya berpendapat dalam situasi sekarang ini, orang Melayu sudah banyak berpecah, faktor antara lain apakah kerana ia kelemahan UMNO yang tidak memahami cita rasa orang Melayu atau kerana ia perbuatan yang dilakukan oleh sesetengah kelompok contohnya Anwar Ibrahim yang memberikan kononnya satu gagasan baru atas dasar keadilan dan kesamarataan, ada sesetengah kelompok yang terpedaya, jadi dengan sebab itu selagi Melayu berpecah, saya bimbang kelompok majoriti akan menjadi minoriti.

Teras pembangunan negara kita adalah berasaskan kepada suatu jumlah masyarakat Melayu yang agak besar tetapi terpisah atau dipecahkan oleh perbezaan politik yang begitu ketara, dalam masa yang sama di pihak sana pula bukan Melayu menjadi penentu, inilah yang saya kata sudah berubah landskap politik negara kita, dan kalau hal sebegini berterusan apakah ia akan menguntungkan Melayu?

Bila saya berkata demikian bukanlah bermakna bukan Melayu akan rugi, orang bukan Melayu tidak akan rugi kerana mereka sudah maju, berjaya menguasai bidang ilmu dan ekonomi dan sebagainya. Bagaimana dengan masa depan orang Melayu? Apakah orang Melayu akan terjamin dengan situasi sebegini? Saya sudah mendapat banyak maklum balas bahawa orang Melayu berasa bimbang, mereka memikirkan soal generasi Melayu akan datang, macam mana nasib anak cucu kita. Perasaan ini wujud kerana mereka merasakan kedudukan orang Melayu sudah mula tergugat, kuasa politik Melayu melalui UMNO sudah tergugat, sedangkan dahulu kita jadi teras kita adil, saksama dan kita bantu semua kaum.

Kita menolong orang Melayu lebih kerana orang Melayu miskin, orang Melayu belum ada banyak harta dan orang Melayu belum menguasai kekayaan ekonomi dan sebagainya, jadi kita bantu beri pendidikan, biasiswa dan bantuan macam-macam lagi. Sebenarnya agenda pembangunan umat Melayu belum beres, sekarang tercabar dengan sebab berbeza politik menyebabkan orang Melayu berpuak-puak.

Oleh itu saya fikir formula yang mudah bagaimana hendak mengembalikan orang Melayu dalam satu saf. Saya tahu ia bukan mudah untuk meletakkan mereka dalam satu saf dan wadah yang sama. Kebimbangan saya orang yang tidak menjadi penentu sudah menjadi penentu, orang Melayu yang majoriti sepatutnya menjadi penentu sudah tidak menjadi penentu.

Justeru bagi kita kalau boleh sebaik mungkin mereka bernaung di bawah sayap UMNO, tetapi UMNO yang relevan dan memahami cita rasa rakyat, UMNO yang adil, UMNO yang lebih bersedia untuk melihat dengan lebih saksama, ini kita kena fikirkanlah.

Sumber: Utusan Malaysia Online, 12 April 2009.
+

12 Mac, 2009

Semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB): Ingatan Buat Para Pemimpin & Pelaksana Dasar

-
“Rancangan pembukaan tanah melalui FELDA adalah contoh ketara kejayaan gemilang program fardu kifayah yang bukan sahaja berjaya mengatasi masalah kemiskinan bagi ribuan keluarga Islam malah turut berjaya membawa mereka menerokai kejayaan lebih luas dan lebih besar. Kejayaan sesuatu idea begitu juga kejayaan sesuatu dasar bergantung pada kejayaan melepasi ujian di peringkat pelaksanaan. Tabung Haji dan FELDA bermula dari satu idea, digubal dasar untuk memberikan roh kepada idea itu, ditubuhkan institusi untuk memberi kerangka lalu diterjemahkan kepada projek, diuji di peringkat pelaksanaan. Sepanjang melalui liku perjalanan, tidak dinafikan berlaku ketempangan dalam organisasi tersebut; kerana kehidupan yang bernama duniawi ini tidak bebas dari kesilapan dan kealpaan, tidak terlepas dari godaan syaitan dan bisikan iblis; namun oleh sebab air bersih terus mengalir, maka nila yang sekali sekala menitik warna, akhirnya dapat dijernihkan semula.

Dasar yang dirangka dengan teliti, digubal dengan baik, bertujuan murni dan dilaksanakan secara adil akan terus mendapat sokongan untuk dikekalkan. Dasar Ekonomi Baru dicetuskan dengan niat ikhlas - dengan matlamat murni untuk menyusun semula masyarakat supaya berlaku perimbangan ekonomi antara kaum dan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Ia adalah formula perancangan pembangunan ekonomi yang dilahirkan secara kolektif oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kata-kata yang diucapkan oleh Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail, dua arkitek utama melakarkan Dasar Ekonomi Baru tidak menyebut bahawa dasar tersebut digubal dengan tujuan mahu memperkayakan kumpulan tertentu, tidak juga bertujuan mahu menindas kumpulan tertentu. Jika semangat DEB itu diamalkan sebagaimana yang disebut di dalam rancangan tersebut – tiada kumpulan tertentu yang akan mengalami sebarang kerugian atau berasa diambil sesuatu daripada diri mereka, sudah pasti tiada orang yang akan menentangnya. Hari ini DEB dipertikaikan, dasar yang pada asasnya baik dan murni ini telah dipersalahkan dan dituntut untuk dikuburkan kerana digelincirkan di peringkat pelaksanaan.

Perkara ini disentuh sebagai peringatan kepada apa juga tindakan yang akan disusul dari resolusi yang dihasilkan pada hari ini. Betapa kepimpinan negara perlu memperlihatkan kebijaksanaan menarik rambut di dalam tepung, dalam menghadapi suasana diluah mati emak – ditelan mati bapa, untuk memastikan bahawa dalam melaksanakan keutamaan tetap tercermin kesaksamaan dan dalam melaksanakan kesaksamaan tidak meminggirkan keutamaan”.

Sedutan Titah DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Dr Nazrin Shah, 15 Januari 2009.
+

08 Februari, 2009

Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara!


Secara peribadi penulis tidak ambil kisah pun dengan niat Pakatan Rakyat mahu membubarkan DUN sebaik sahaja mendapat khabar angin bahawa akan berlaku lompat parti.

Namun, pembubaran perlulah dibuat dengan cara yang betul, dengan mendapatkan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Bukannya pembubaran tanpa perkenan tetapi telah diumumkan kepada rakyat terlebih awal. Ini sudah membelakangkan kuasa Sultan namanya.

Setelah Sultan membuat keputusan untuk tidak membenarkan pembubaran DUN (atas alasan PR tidak mendapatkan perkenan terlebih dahulu sebelum pengumuman) dan membenarkan pembentukan kerajaan BN (atas alasan mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan), segala tindakan mencabar keputusan Sultan adalah bererti kurang ajar dan melambangkan PENDERHAKAAN!

Terdapat banyak persoalan yang perlu dijawab oleh semua rakyat dengan menggunakan akal fikiran. Persoalan yang timbul akan menyingkap rentetan peristiwa yang akan memperlihatkan betapa Pakatan Rakyat Perak telah mengecewakan rakyat dan menyebabkan Sultan murka.

Adakah kedududan Nizar sebagai MB (sekarang bekas MB) sangat tinggi sehingga beliau merasakan tidak perlu mendapatkan perkenan Sultan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman pembubaran?

Kenapa bertindak membelakangkan keperluan mendapatkan perkenan Sultan terlebih dahulu? Mana perginya tatacara? Bila sudah umum, baru hendak terhegeh-hegeh menghadap Sultan mahu minta perkenan?

Tindakan Nizar membelakangkan perkenan Sultan sebenarnya bukanlah perkara baru. Sebelum ini pun Nizar pernah mengarahkan Datuk Jamry Suri selaku Pengarah JAIP bertukar ke Sekretariat Negeri tanpa perkenan Sultan selaku Ketua Agama Islam negeri. Akibatnya, Nizar dititahkan Sultan agar menarik kembali pertukaran tersebut. Nizar tidak pernah belajar dari kesilapan lalu.

Namun, ianya tidak berakhir di situ sahaja, Ngeh Ko Ham memberikan reaksi yang kurang beradab dan memprotes tindakan Sultan. Karpal Singh tidak ketinggalan menyertai 'chorus line' ini dengan menyanggah tindakan Sultan dengan membuat kenyataan bahawa Sultan tidak mempunyai hak dalam hal perpindahan Jamry Suri.

Kenyataan yang dibuat oleh mereka-mereka ini nampak seperti mahu membela rakan sealiran. Namun bagi penulis, kenyataan demi kenyataan yang dibuat seolah-olah memperlekeh kuasa dan keputusan Sultan. Merosakkan imej Sultan. Mereka mempertikai segala keputusan yang telah diputus oleh Sultan. Mereka tidak mahu menerima dengan hati terbuka dengan penuh rasa hormat dan insaf. Mereka tidak pernah insaf!

Tindakan pemberian hak milik kekal tanah atau pajakan 999 tahun turut mendapat perhatian Raja Dr Nazrin. Pemberian tanah hak milik kekal kepada sekolah persendirian juga turut tidak terkecuali. Kenapa Raja Dr Nazrin bertitah menyentuh soal tanah dan seakan kecewa dengan tindakan Nizar dalam hal pemberian tanah ini? Tidakkah Nizar sedar isyarat yang diberikan dan cepat-cepat insaf?

Dalam masa itu, rakyat membicarakan pelbagai perkara tanpa mahu memikirkan kesannya kepada imej Sultan. Ramai mempersoal tentang banyak perkara berhubung situasi yang berlaku di Perak ini. Namun, perkara yang paling penting di sini bukanlah lagi terletak pada soal mempertikai pembubaran atau pelantikan MB yang baru.

Ramai cerdik pandai secara selamba membuat ulasan di kaca televisyen dengan menyatakan peri perlunya mandat baru, peri tidak beretikanya lompat parti. Bermacam-macam alasan menjustifikasikan kenyataan yang keluar dari mulut mereka-mereka yang sesetengahnya memegang Ph.D. Namun terlupa akan perkara yang paling penting yang sengaja dipandang sebelah mata oleh pihak ini.

Apa perkara penting tersebut?

Kesetiaan kepada Raja dan Negara! Ingat? Rukun Negara! Menjunjung Titah Sultan! Pernah dengar? Atau sengaja buat-buat tidak pernah dengar dan tahu?

Pelbagai respon diberikan oleh mereka yang kononnya terpelajar tetapi sebenarnya terlebih ajar menjadi kurang ajar, berlagak terlebih pandai sehinggakan menampakkan kebodohan. Rakyat mahukan mandat baru katanya. Perlu diadakan pilihanraya baru dakwanya walau pun sedar Sultan sudah memutuskan mengikut budi bicara Sultan dengan penuh bijaksana akan hal ini.

Rakyat mahukan mandat baru diadakan? Rakyat mana? Rakyat Perak? Rakyat yang berajakan Sultan Perak? Biar betul! Kalau rakyat yang berajakan Sultan Perak atau rakyat di negeri lain yang berajakan Sultan mereka, sudah tentulah mereka akan menjunjung titah Sultan dengan sedaya upaya mereka. Bukannya MENDERHAKA!

Bukannya dipersoal macam ahli akademik dalam sebuah forum yang secara mudah memberikan pandangan kononnya perlu mandat baru. Semasa BN lompat ke PR tidak pula bising bercakap soal mandat. Bila Anwar Ibrahim memancing MP BN untuk tubuh kerajaan Pusat, tidak pula dibincangkan tidak beretika dan sebagainya. Ini hipokrit namanya.

Bawa 31 orang MP BN yang melompat ke PR ke Istana Negara mengadap Yang DiPertuan Agong, apabila Agong perkenan maka bolehlah ambil alih kerajaan Pusat", terang seorang ahli akdemik undang-undang yang menulis panjang lebar dalam Harakah. Tapi lain pula jadinya kalau BN yang gunapakai cara tersebut. Halal bagi PR, haram bagi BN.

Kalau sudah keputusan Sultan menitahkan bubar DUN, rakyat akan ikut, mereka akan turuti titah Sultan. Rakyat tidak mempunyai masalah. Dan jika tiada pembubaran DUN pun rakyat akan terima. Tiada banyak soal. Yang tidak boleh terima hanyalah pemimpin yang mabuk kuasa dan penyokong yang ber'sultan'kan pemimpin!

Yang anehnya, Nizar dengan rasa penuh insaf pernah menyatakan akan menuruti segala keputusan bijaksana Sultan dalam membuat keputusan. Namun apabila keputusan tidak menyebelahinya beliau mengambil langkah menderhaka. Tidak mahu menjunjung titah!

Pakatan Rakyat sengaja mahu menjuruskan para penyokongnya merusuh ke jalanan. Dan Nizar mahu mahkamah pula yang menentukan kedudukannya. Dan bagaimana pula sekiranya mahkamah tidak memihak kepada Nizar? Apa tindakan PR seterusnya?

Beberapa pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat melancarkan kempen di blog-blog dengan mengarahkan pembaca dan penyokongnya menyerbu Buku Pelawat (Guest Book) laman web rasmi Pejabat DYMM Sultan Perak. Kononnya atas alasan sebagai tindakan memberikan pandangan untuk memperbetulkan tindakan Sultan. Kepala otak aktivis ini yang tidak betul, tapi disuruh penyokongnya memperbetulkan Sultan. Protes yang didakwanya dibuat dengan penuh adab. Namun, secara realitinya, tindakan protes itu sebenarnya ialah penderhakaan dan merendahkan keputusan Sultan.

Lihat sahaja betapa kebencian dan kata-kata kesat dilemparkan kepada Sultan Perak di dalam Guest Book tersebut. Kerana apa? Kerana cerdik pandai seperti pemimpin PR, ahli panel forum yang terdiri dari ahli akademik yang sengaja tidak mahu melihat dari perspektif "Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara" (mungkin kerana cenderung PR), aktivis dan penyokong yang tidak dapat memahami semangat Rukunegara ini.

Lihat sahaja aktivis Hindraf yang dengan kurang ajar melemparkan kata-kata kesat di blognya. Tajuknya saja sudah membuatkan penulis sangat sakit hati. Penulis tidak tersentuh secara emosi sekiranya activist Hindraf tersebut hanya meyentuh UMNO. Tetapi tindakan menghina Sultan semata-mata bencikan UMNO adalah sangat kurang ajar! Kalau benci UMNO, kutuk saja UMNO. Jangan cuba-cuba berani sentuh dan maki Sultan!

Segelintir orang Melayu nampaknya sudah semakin kabur dan hilang jati diri. Tiada kefahaman perjuangan agama, bangsa dan negara. Sudah tidak lagi meletakkan Raja dan Sultan sebagai simbol yang perlu dijaga dan dijunjung tinggi. Imej baik Sultan diinjak-injak dengan segala perlakuan yang tidak sepatutnya.

Tindakan Sultan tidak perkenan pembubaran DUN dan sebaliknya memberi perkenan BN membentuk kerajaan di Perak, disambut dengan rusuhan dan balingan batu dan objek ke kenderaan dan menahan kenderaan istana tersebut.

Namun, apabila Karpal Singh secara lantang dan kurang ajar bertindak mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Sultan, Selasa depan di Mahkamah Tinggi Ipoh, tiada seorang pun daripada mereka-mereka ini mempertahankan Sultan.

Apa reaksi orang Melayu yang menjunjung tinggi kedudukan Sultan?

“Saya orang Melayu, saya tak suka” - Ini jawapan Tun Dr Mahathir apabila disoal berkenaan reaksi orang Melayu berhubung tindakan Karpal Singh yang bercadang memfailkan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Dan penulis sangat percaya jawapan yang sama akan dijawab oleh seluruh orang Melayu kecuali orang Melayu ‘moden’ seperti yang disindir oleh Tun Dr Mahathir. “Orang Melayu ‘moden’ memang sudah ramai yang sokong Karpal. Saya Melayu lama”, kata Tun Dr Mahathir lagi.

Kalau tanya pada penulis, jawapannya ialah “sejuta kali tak suka, bukan setakat tak suka sahaja, tapi marah, bukan setakat marah sahaja tapi marah yang teramat sangat”. Itu perasaan jujur dari penulis. Tiada seorang pun yang suka. Perasaan marah penulis kerana rasa hormat yang tinggi penulis terhadap institusi Kesultanan Melayu. Dan perasaan yang sama juga sepatutnya terdapat dalam setiap orang Melayu, tanpa mengira parti.

Dimana keutamaan mereka? Dan dimana pula keutamaan anda?

Karpal Singh, aktivis HINDRAF, atau pun Kesultanan Melayu? Ketuanan Pakatan Rakyat atau Ketuanan Melayu?

Nak merusuh lagi, tak puas hati lagi? Kalau masih ada lagi niat nak merusuh lagi, memang sangat betul dan sangat bijaksana tindakan Sultan Perak sebab Pakatan Rakyat (dari pemimpin sampailah ke pendokongnya) memang kuat merusuh. Sangat tidak sesuai memerintah Perak!

Sudah-sudah lah tu! Jangan bermain politik yang merugikan bangsa! Sedarlah kembali wahai Melayu.
+

07 November, 2008

Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di acara penyerahan memorandum oleh Gabungan Melayu Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahi Rahmanir Rahim, BETA merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas ikrar taat setia yang dilafazkan oleh rakyat Beta yang dikasihi sebentar tadi.

Kemerdekaan negara ini dicapai melalui perundingan dan persefahaman antara tiga pihak, Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan Kerajaan Inggeris. Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957 membentuk sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja.

Semasa menerima Ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang kaum itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka... Perkataan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu' dan 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' dan 'Persekutuan Tanah Melayu' masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.

Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa. Perlembagaan Merdeka digubal berlatar belakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu. Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu bimbang akan kedudukan mereka dalam negara merdeka yang komposisi warga negaranya terdiri dari pelbagai kaum. Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan jaminan - memerlukan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai peribumi tidak terancam.

Kebimbangan orang-orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan Merdeka, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh Raja-Raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang- orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja. Institusi Raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi Raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian.

Raja-Raja memahami bahawa Perlembagaan Merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah.

Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali. Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang- orang Melayu.

Oleh itu, warga dan rakyat yang Beta kasihi, hendaklah berfikiran secara rasional, tindakan-tindakan politik secara berlebihan dan keterlaluan hendaklah dihentikan segera. Kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan. Keamanan negara, kerukunan warga tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

Semoga negara dan warga terus diberikan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala dan barang dijauhkan negara dan bumi ini dari ditimpa sebarang musibah.

Wabillahi taufik, walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sumber dan Foto: Utusan Malaysia, 6 November 2008.

Label

'Masalah Sikap' vs 'Cemburu' #justiceforMH17 16 September 2008 1Malaysia 1MDB 22 tahun tanpa konflik kaum 3 billion 31 Ogos 2009 5 Ogos 1957 Abdullah ABIM Acaro Solingan Adik Siti Amynur Ain AIDC Air percuma AirAsia Akta hasutan Akta Hasutan 1948 Akta Pendidikan 1996 Aktivis Al-Fatihah Allahyarham Tun Abdul Razak Altantuya Altel Aman Malaysia Ambiga Anak Bangsa Malaysia? Anak Wayang Pas analisa PRU13 ancaman islam di Malaysia. Anjing Gila Anwar Anwar Ibrahim Azan Azizan Azmin Ali babi Badak Pekak Badut Bahasa Kebangsaan Bahasa Malaysia Bahasa Melayu Bajet Pahang 2009 BALACI Bangsa Malaysia Banjir Banjir di Kuantan Banjir di Lipis Bantuan Barisan Nasional Batal Usul Sekat Jualan Arak Behind The Veil Belasungkawa BERSATU Bersih biadap Biadap Hina Nabi Blogger BN BN Perak BOC Boikot barangan israel Boikot produk Yahudi-Amerika Boikot Secara Terancang Bomoh Boneka BR1M Brader Anwar Bin Ibrahim bubar UMNO Bumi Daku cadbury calon boleh menang Carlsberg halal Cawangan UMNO CDM25 Celaka Ceroboh Tanah Milik TNB chedet Chin Peng Chui Jui Meng Cina Cina Boikot Melayu COMANGO Criminalise War Exhibition and Conference 2009 Cuit: Dilema Melayu Moden DAP Datuk Ibrahim Ali Datuk Mukhriz Datuk Mukhriz Mahathir DEB deklarasi rakyat Demi Negara Demonstrasi DERHAKA diesel Din Turtle DNA babi Dokumen Langkah kajang Dong Zong Double Standard Prosedure Dr Abdul Rani Kamarudin Dr Chandra Muzaffar Dr Khir Dr Novandri Dr Ridhuan Tee Abdullah Dr Sidek Baba Dr Yusri Mohamad Dr Zambry Kadir Dr Zuhdi Dr. M DS Anwar DS Anwar Ibrahim DS Najib DUN DUN Perak Durian Runtuh Dyana Sofya DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah DYMM Sultan Azlan Shah Dyna Sofya DYTM Raja Dr Nazrin Shah Ekonomi Ekonomi Bumiputera ekonomi melayu Elizabeth Wong Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor Erniceda Etnic Cleansing Eurocopter Evolusi Politik Melayu Fatimah Zuhri's Blog Fatwa Anti Tomboy FELDA FGV fitnah Fitnah Undi Pos Flip-flop Forum Peluk Islam Foto gabungan UMNO dan PAS. gaza Gerakan Razak Gobalakrishnan Hak Istimewa Melayu/Bumiputera Hak Membeli Hak Mengundi Hansard Parlimen Harakah haram harga minyak naik Hari Kemerdekaan hina Hina Fatwa Hina Islam Hina Raja Melayu Hindraf Hipokrit Hishammuddin Tun Hussein Hishamuddin Hj Hadi Awang Hj Naser Disa Hormati murtad hudud Hudud dan Qisas Husam Musa i want to tocuh a dog i want to touch a dog Ideotique IFC india Institusi Raja Islam Islam Agama Persekutuan Islam Agama Rasmi Persekutuan Ismail Mina Ahmad israel Isu CAR Isu Kalimah Allah Isu Ketidakseimbangan Kaum isu lahad datu Isu Menteri Besar Isu Moral Isu Roboh Kuil Isu Scorpene Isu Tanah Kolej Taiping Isu Tanah Perak Jabatan Pendaftaran Negara JAIS JAKIM Jambatan Bengkok Jeff Ooi Jenayah Jom Bantu Jumlah pengundi muda Jurugambar Utusan KAFA Kaki Pembelit kalimah Allah Kamarudin Jaafar KAR1SMA Karpal Singh Kaum Cina Kaum Melayu Kebaikan Kebal Kebebasan Bersuara Kedah Kedai Rakyat 1 Malaysia keistimewaan Melayu Kekejaman Israel ke atas umat Islam kelvin yip Kempen Satu Sekolah Untuk Semua kerajaan islam Keranda 152 Kes Datuk Nasaruddin Hashim (UMNO ke PKR) Kes Liwat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Ketuanan DAP Ketuanan Melayu Ketuanan Pakatan Rakyat Ketum Khalid Ibrahim Kiasu KijangMas Kiki KKM Kongres Ekonomi Islam Ketiga Kontrak Sosial kronisma kuala kangsar Kuala Lumpur Foundation To Criminalise War Kuota Pemilikan 30 % Kuota Pemilikan Rumah 50 % Ladang Babi Lateefa Koya LBGT Lee Kuan Yew lembah klang Lembah Pantai Leong Ngah Ngah LGBT Liberalisasi? Lidah 'tidak rasmi' Pakatan Rakyat = Malaysiakini Lim Guan Eng Lim Kit Siang Lina Joy Logo Halal logo halal JAKIM Lompat Parti Low Siew Moi lowyat M Manoharan M-UPRo Mah Siew Keong Mahkamah Syariah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Majlis Fatwa Kebangsaan Majlis Muafakat Melayu Majlis Peguam Malay Mail Cyberspot Malaysia malaysia bukan negara sekular Malaysian Airline System Malaysian Malaysia Mangkat Mangkuk Ayun Azmi Shahrom Manifesto bukan janji Marah-Marah Sayang MAS Masjid Besi Putrajaya MB Kedah MB selangor MCA media sosial melayu Melayu Pulau Pinang Melayu Singapura Membina Negara mencari simcard Altel Menteri besar Selangor merdeka riview Meroyan MH17 MH370 MO1 Monopoli Ekonomi Muhammad Firdaus Dullah Muhyiddin Murtad Muslim UPRo Mustafa Ali Musuh islam Musuh Melayu Musuh Negara Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 MyKad Najib Najib Tun Razak Nasrudin Hassan negara islam negara sekular Negarawan Ulung Nga kor ming Ngeh Koo Ham Nik Aziz Nilai Nizar Nizar Boneka DAP Nurul Izzah Obama octoberfest octoberfest2014 OKU OKU dikurung OKU terbiar Omar Ong One utama Open Letter by Matthias Chang PAC Pahang Darul Makmur Pakatan Pakatan Haram Pakatan Rakyat Pakatan Rakyat Perak Pakatan Rakyat. pertusan undi cina Palestin Paneh Miang PAP Parlimen Parti baru Tun M Parti tunggal PAS Pas selangor Pas Terengganu PAS youth Pasca PRU-13 PAU Ke-59 Peguam Negara Pelacuran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 PEMBELA Pembohong Pembubaran parlimen Pemuda UMNO Pemuda UMNO Bahagaian Segambut Pemuda UMNO Pahang Penamaan Calon Pencemaran Pencerobohan Tanah Kerajaan Peneroka Pengganas Komunis Pengkhianat pengkhianat negara Pengundi Atas Pagar Penyata Razak 1956 Perak Perbandingan Perdana Menteri Malaysia Ke-6 perkara 11 Perkara 11 Perlembagaan Perkara 12 perkara 121 Perkara 152 Perkara 153 perkara 3 Perkara 3 Perlembagaan PERKASA perkauman Perkhidmatan Awam Pulau Pinang perkongsian kuasa. Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Perpaduan Perpaduan Melayu/Islam Persekutuan Tanah Melayu pesawat MAS terhempas pesta arak pesta arak terbuka Petisyen petrol Petronas Pilihanraya Masjid PKM PKNS PKPIM PKR Polarisasi Kaum Politik Perak Portal Kempen SSS PPSMI PR PRK Bagan Pinang PRK Bukit Gantang PRK Galas PRK Kuala Terengganu PRK Teluk Intan PRN pro-pembangkang produk cina produk melayu Prof Dr Aziz Bari Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim Prof. P Ramasamy propaganda PRU 14 PRU12 PRU13 Puasa Ramadhan Pulau Pinang Puppet Master Putera Sultan Selangor Putrajaya Qarinah Qazaf Rabindranath Tagore racist Raja Nong Chick Raja-Raja Melayu Rakyat Malaysia? Rasuah Razak Baginda RBA Reaksi pemimpin politik Reflections: Melayu Lama Ronnie Liu Rukun Negara Rusia Rusia Border Rusuhan Saham FGV Saiful Bukhari Azlan Sakmongkol AK47 Salah Guna Kuasa SAR Sastera Satira Satu Malaysia Sekolah Agama Sekolah Kebangsaan Sekolah Satu Aliran Sekolah Vernakular Seks sekular Selangor Sepitman Begins sesat Shafie Apdal shah alam Sidek Baba Sistem Pendidikan Kebangsaan skandal kewangan Skuad Banjir Pemuda sokongan masyarakat kepada MAS Solat Hajat SPR SRJK Persendirian steering lock SUARAM subsidi Sultan Perak Sultan Selangor Sumpah Laknat Sun Tzu'z Art of War sungai besar surah al kafirun Syed Azmi Alhabshi syiah Tan Sri Isa Samad Tan Sri Khalid Ibrahim Tan Sri Muhyiddin Tanah Kebun Peneroka Techno Crap Teluk Intan tembak Tender Tanah tender terbuka Tengku Adnan Teresa Kok terhempas The Economist The Unspinners The War Crimes Commission and Tribunal 2009 Titah DYMM Sultan Selangor Titah DYTM Raja Muda Perak di Majlis Perasmian Penutupan Kongres Ekonomi Islam Ketiga Toyota Camry 2.4 Perak Truth for Teoh Beng Hock Tsunami Cina Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Tulisan Jawi Tun Dr. Mahathir Mohamad Tun M tuntutan Ukraine UMNO UMNO Seremban Uncle sim Undang-undang antilompat parti wakil rakyat Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Undi cina undi hantu Usahawan Bumiputera Pahang Ustaz Kazim Elias Utusan Malaysia V. Sivakumar video WADAH wall street journal Wan Azizah Wasiat Raja-Raja Melayu Wong Siew Teng aka Agnes Wong Yayasan Anti Peperangan Kuala Lumpur Yusuf Qardhawi Zahid Hamidi Zahrain Zaini Hassan Zulkifli Noordin