-
TITAH
DULI YANG TERAMAT MULIA
RAJA MUDA PERAK DARUL RIDZUAN
RAJA NAZRIN SHAH IBNI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
DI MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN
KONGRES EKONOMI ISLAM KETIGA
TARIKH: 15 JANUARI 2009 (KHAMIS); JAM: 3.00 PETANG
TEMPAT: DEWAN MERDEKA,
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan pemerintah semesta alam lalu menganugerahkan rezeki serta nikmat kepada mereka yang tekun berusaha. Ya Allah, hamba Mu melafazkan kesyukuran kerana dengan inayat dari Mu jua, hamba Mu dapat berangkat untuk menzahirkan titah di Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Islam Ketiga pada petang ini. Dipohonkan taufik - dipohonkan hidayah, membolehkan hamba Mu, menyempurnakan tanggung jawab ini sebaik mungkin, bersandarkan pengetahuan yang masih terbatas – berpandukan pengalaman yang masih cetek; dengan penuh keinsafan - penuh kesedaran bahawa Hamba-Mu ini adalah insan lemah dengan serba kekurangan.
2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ke hari kebangkitan.
3. Kongres Ekonomi Islam Ketiga yang berlangsung sejak 12 Januari lalu, telah sampai ke penghujung; tiga (3) kertas status dan tiga puluh empat (34) kertas kerja dibentangkan. Sebelum ini dua Kongres Ekonomi Islam telah pernah dianjurkan. Kali terakhir ialah Kongres Ekonomi Islam Kedua yang berlangsung pada 7 hingga 9 April 1972. Berasaskan dari sumber akhbar, dilaporkan tujuh kertas kerja telah dibentangkan dalam Kongres tersebut. Maklumat yang dapat diperoleh dari laporan akhbar sangat terbatas. Prosiding, penyertaan, kertas kerja dan resolusi Kongres tersebut tidak dapat diperoleh selengkapnya lalu tidak membolehkan analisis yang lebih mendalam dapat dilakukan. Lebih malang lagi, rekod berhubung Kongres Ekonomi Islam Pertama tidak dapat dikesan. Ini berkemungkinan disebabkan kealpaan urus setia Persidangan tersebut untuk mendokumentasikan secara lengkap prosiding kedua-dua Kongres Ekonomi Islam sebelum ini. Semoga kealpaan masa dahulu menjadi satu pengajaran penting dan tidak diulangi lagi.
4. Atas asas ada kaitan rapat antara Islam dengan Melayu begitu juga Melayu dengan Bumiputera, Beta turut meneliti prosiding, kertas kerja, perbincangan dan resolusi yang terkandung dan dihasilkan oleh Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputera sebelum ini. Di antara tahun 1965 hingga 1999, empat Kongres Ekonomi Bumiputera telah dianjurkan. Kongres pertama diadakan pada tahun 1965, Kongres Kedua pada tahun 1968, Kongres Ketiga pada tahun 1992 dan Kongres Keempat pada tahun 1999.
5. Kongres Ekonomi Islam Kedua berlangsung dalam suasana umat Islam baru digegarkan dengan kejutan. Pilihan raya umum 1969 diikuti dengan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, menyuntik satu rasa keinsafan di kalangan umat Islam di bumi ini. Umat Islam bagai dibangunkan oleh loceng peringatan akan tahap pencapaian ummah dalam tempoh 12 tahun pertama Malaysia merdeka, dalam aspek-aspek penguasaan harta, kekayaan, urus niaga; juga penguasaan ilmu, penguasaan kemahiran, dan penguasaan jawatan-jawatan penting lagi utama, di samping penguasaan politik yang ketika itu turut tergugat. Kejutan tersebut mempengaruhi minda pemimpin dan minda umat Islam ketika itu; mereka sedar akan rasional untuk bersatu, menghargai akan semangat bersatu teguh – bercerai roboh; lalu mengetepikan perbezaan dan memilih untuk merapatkan barisan sesama ummah, lalu terjalin hubungan kerja, lalu terbina jambatan penyatuan antara ulama dan umara, antara pemimpin di bandar dan di luar bandar, antara pegawai awam dan individu, antara ummah yang sebelumnya bertelagah disebabkan mewakili organisasi politik yang berlainan.
6. Dalam sejarah tanah air pasca Perang Dunia Kedua, ummah memperlihatkan puncak penyatuan berkata sepakat ketika menghadapi tiga peristiwa yang amat signifikan kepada ‘survival’ ummah, sebagai pewaris tanah air pusaka bangsa:
7. Dasar Ekonomi Baru dapat ditafsirkan sebagai manifestasi yang lahir dari himpunan tuntutan ummah bermula dari suara yang digemakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama. Jawatankuasa Pemandu Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama dianggotai lapan belas ahli; dipengerusikan oleh Encik Mohd. Khir Johari yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Pelajaran dan dua dari anggota Jawatankuasa adalah Dato V.T. Sambanthan, Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekomunikasi serta Encik Khaw Kai Boh, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ketika itu. Kehadiran dua ahli bukan Melayu tersebut memperlihatkan secara simbolik bahawa warga Malaysia dari keturunan India dan Cina, dibawa bersama untuk sekurang-kurangnya memahami suara umat Melayu. Enam tema utama, menyentuh pembentukan modal, perkhidmatan, pemasaran, latihan, perusahaan dan tanah telah dibincangkan.Pertama: Menentang rancangan Malayan Union.
Kedua: Menuntut kemerdekaan negara.
Ketiga: Menggubal Dasar Ekonomi Baru pasca peristiwa 13 Mei 1969.
8. Antara resolusi utama yang dihasilkan merangkumi tuntutan agar ditingkatkan taraf Sekolah Kebangsaan terutama sekolah-sekolah di luar bandar, meningkatkan skop peranan Dewan Latihan RIDA, mengambil pengajaran dari semangat kejayaan bangsa dan negara Jepun, peranan lebih berkesan Pertubuhan Peladang, memperuntukkan kuota untuk orang Melayu dalam pembangunan kawasan baru terutama di bandar-bandar, penubuhan Bank Bumiputera, dan dianjurkan mesyuarat ulama-ulama Malaysia untuk membincangkan isu-isu pembangunan dan ekonomi.
9. Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua yang berlangsung dalam tahun 1968 telah menyenaraikan secara terperinci maklum balas tindakan susulan terhadap resolusi-resolusi yang dicapai dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama; antara perkara yang dilaporkan, bahawa lima ratus (500) ulama dari seluruh Malaysia telah mengadakan perjumpaan dalam bulan Februari 1968, Bank Bumiputera ditubuhkan pada 1hb. Februari 1966, Pertubuhan Peladang disuntik dengan dinamisme baru, Maktab Mara ditingkatkan menjadi Institut Teknologi Mara (ITM); dengan bilangan penuntut bertambah dari 200 orang pada tahun 1965 kepada 600 orang pada Julai 1966 dan meningkat kepada 900 orang dalam tahun 1968; sementara bilangan kursus di ITM ditambah dari lima (5) kursus di peringkat sijil dalam tahun 1965 kepada sembilan belas (19) kursus profesional peringkat diploma dan ijazah pada tahun 1967; dan pada tahun 1968 tujuh (7) kursus berkonsepkan ijazah luar negara (external degree) diperkenalkan. Laporan yang terkandung dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua memperlihatkan MARA dipertanggungjawabkan dengan amanah yang sangat penting untuk memajukan bumiputera. Resolusi-resolusi yang dirumuskan dalam Kongres Ekonomi Pertama dan Kedua ternyata menyuarakan banyak tuntutan untuk dilaksanakan oleh Kerajaan.
10. Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama dan Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua bukan sahaja dianjurkan dalam tempoh masa yang rapat malah turut mencerminkan elemen-elemen kesungguhan serta kesinambungan. Perkara-perkara yang diusulkan dalam Kongres Pertama disusul secara bersungguh melalui pelbagai tindakan; dan dilaporkan secara lengkap dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua. Enam tema yang dibincangkan dalam Kongres Pertama ditulis dalam bahasa yang mudah dengan kaedah penghujahan yang mudah tetapi sangat bertepatan; didukung dengan resolusi yang ringkas, berfokus dan disusuli dengan langkah pelaksanaan yang nyata. Sayangnya, dokumen yang dapat dikesan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua hanyalah dari segi laporan atas pelaksanaan usul-usul Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama. Penyertaan, prosiding, kertas kerja dan resolusi lengkap Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua juga tidak dapat dikesan. Pada hemat Beta, amatlah penting dilakukan inisiatif untuk mengesan dan mendokumentasikan secara lengkap bahan-bahan Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua dan Kongres Ekonomi Islam yang Pertama dan Kedua; supaya dokumen penting sejarah ini dapat menjadi sebahagian dari khazanah intelek ummah.
11. Empat tahun selepas berakhirnya Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua dan empat tahun selepas berlangsungnya pertemuan ulama seluruh Malaysia, Kongres Ekonomi Islam Kedua telah dianjurkan. Kongres Ekonomi Islam Kedua berlangsung ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB), baru digubal, Rukun Negara baru diperkenalkan, Rancangan Malaysia Kedua baru dilancarkan, dan ‘Revolusi Mental’ rancak diperkatakan. Sewaktu merasmikan Kongres, Tun Abdul Razak (Allahyarham) telah mengingatkan bahawa peruntukan kewangan Kerajaan yang banyak tidak membawa makna, jika insan sendiri tidak memiliki sikap untuk mengubah nasib mencapai taraf hidup yang lebih tinggi. Tun Abdul Razak (Allahyarham) turut menegaskan pentingnya pakar-pakar dan pekerja dilengkapkan dengan nilai-nilai agama supaya menjadi insan yang seimbang; begitu juga pentingnya ulama memahami kompleksiti sektor ekonomi yang beraneka corak; Tun Abdul Razak (Allahyarham) juga menegaskan pentingnya dimajukan kawasan pertanian dan luar bandar melalui konsep ‘bandarisasi’. Perkara-perkara utama yang mendapat perhatian Kongres Ekonomi Islam Kedua dapat dirumuskan seperti berikut:-
Atas hasrat mahu menyamakan kedudukan ekonomi umat Islam dengan bukan Islam, Majlis Raja-Raja dan Majlis Agama Islam dipohon membuat kajian mengenai segala hukum Islam dan menolak fahaman salah yang boleh menghalang kemajuan.
Melaksanakan langkah-langkah untuk mengatasi kemunduran umat Islam supaya dapat disamakan dengan pencapaian bukan Islam.
Penduduk negara berbilang kaum tidak harus dikenali melalui identiti yang berasaskan profesion, pekerjaan dan kegiatan ekonomi.
Membina Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian.
Meningkatkan usaha dalam sektor pertanian.
Kebimbangan ulama akan akibat buruk daripada kemajuan kebendaan dan gesaan untuk diimbangkan kemajuan sains dan teknologi dengan pembangunan rohani.
Sikap rakyat yang tidak mahu berubah terutama di kalangan yang mengamalkan kepercayaan-kepercayaan lama dan pegangan kolot berpunca dari tafsiran-tafsiran tidak tepat mengenai ajaran Islam.
Pentingnya bagi ulama membawa perubahan, memahami tugas Badan-badan Berkanun seperti MIDF, UDA dan Bank Bumiputera hingga berupaya mengupas dan memahami masalah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian.
12. Kongres menyedari bahawa Islam hanya dapat berlangsung dalam keadaan masyarakat Islam yang bersatu padu dan kuat, menguasai urusan pentadbiran, menguasai sumber-sumber dan memiliki kekuatan ekonomi. Dalam hasrat mahu menggembleng tenaga umat Islam di Malaysia, Kongres Ekonomi Islam Kedua mencapai persetujuan menubuhkan lima badan berikut;
Tabung Pembangunan Ekonomi Islam
Tabung Kewangan Orang-Orang Islam
Kompleks Kewangan dan Permodalan.
Persatuan Ulama Malaysia
Yayasan Sebaran Am (Islamic Missionary Trust) untuk menjalankan tugas-tugas dakwah Islamiah dan usaha-usaha kebajikan. Wang sejumlah 117,020.00 ringgit berjaya dikumpulkan di akhir Kongres untuk kegiatan dakwah Islamiah.
13. Tun Dr. Ismail (Allahyarham) di Majlis Penutupan Kongres, memberikan peringatan agar mereka yang mendapat nikmat dari hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera hendaklah mengamalkannya menurut susila dan peraturan yang memelihara maruah masyarakat Melayu dan Islam. Kata-kata tersebut adalah kata-kata keramat, satu amanat berharga – satu wasiat bernilai, amanat yang sepatutnya menjadi pantang larang; wasiat yang harus dipatuhi setiap masa – wasiat yang wajib dihormati sepanjang waktu. Begitu suntuk memori ummah, Tun Dr. Ismail kembali ke Rahmatullah dalam tahun 1973. Wasiat Tun Dr. Ismail bagaikan turut sama terkubur di Masjid Negara; hilang dari ingatan, padam dalam amalan. Bila pantang larang diabaikan, bila wasiat diketepikan, maka ternodalah kehormatan bangsa – tercemarlah kesucian agama; maka bangsa dan umat ditimpa bala – ditimpa petaka.
14. Dewan Kuliah Fakulti Islam Universiti Kebangsaan di Petaling Jaya menyaksikan berakhirnya Kongres Ekonomi Islam Kedua; sehingga tiga puluh tujuh (37) tahun kemudiannya baru disambut di Pusat Dagangan Dunia Putera oleh Kongres Ekonomi Islam Ketiga. Dalam tempoh tiga puluh tujuh (37) tahun itu, dua Kongres Ekonomi Bumiputera telah dianjurkan.
15. Dalam tahun 1979, Biro Ekonomi UMNO mengesyorkan Kerajaan supaya menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga bagi mengkaji kesan-kesan kegiatan subversif ekonomi bertujuan menggagalkan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Walaupun saranan itu datangnya dari UMNO, namun mendapat sokongan dari Parti Islam Malaysia (PAS). Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Syukri menyatakan pendirian untuk memastikan bahawa DEB dapat dilaksanakan sepenuhnya dan dipastikan tidak ada golongan yang cuba menggagalkannya. Dato’ Ahmad Boestamam anggota PEKEMAS turut melahirkan persetujuan supaya Kongres tersebut segera diadakan.
16. Episod ini penting diberikan analisis secara objektif. PAS pada tahun 1979 menghadapi senario politik berawan mendung. Setelah PAS mengambil ketetapan meninggalkan BARISAN NASIONAL dalam tahun 1977, PAS hilang kuasa pemerintahan di Kelantan dan sekadar berjaya mendapat lima (5) kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum tahun 1978. Dato’ Ahmad Boestamam pula adalah seorang ahli politik yang senantiasa memilih untuk berperanan sebagai pembangkang. Namun kelainan pendirian politik tidak menghalang mereka untuk mengambil pendirian yang sama dalam isu yang disifatkan menyentuh nasib dan masa hadapan orang Melayu dan umat Islam.
17. Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga diadakan pada tahun 1992, apabila tempoh Dasar Ekonomi Baru telah pun tamat dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) diperkenalkan. Dua belas kertas kerja dibentangkan. Salah satu kertas kerja tersebut bertemakan ‘Penerapan Nilai-Nilai Islam Ke arah Bina Insan Bumiputera Yang Berdaya Saing dan Berdikari’ Enam puluh tiga (63) resolusi dirumuskan; tiga puluh tujuh (37) dari resolusi yang dihasilkan adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan peranan kerajaan dari segi dasar, konsep, struktur dan institusi; lima (5) darinya khusus menyentuh Islam dalam aspek-aspek nilai murni Islam dan etika niaga, kutipan zakat, penerapan nilai-nilai Islam melalui pendidikan, menggembleng institusi Islam untuk mengubah nilai, menjadikan masjid sebagai tempat pameran ilmu dan perkembangan ekonomi.
18. Perbincangan di peringkat bengkel mentakrif bahawa perniagaan adalah satu ibadat dan etika perniagaan menurut ajaran Islam menekankan kepada sifat-sifat amanah, tekun, berjimat dan bekerja bersungguh-sungguh. Bengkel juga merumuskan bahawa Kerajaan dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru telah memberi peluang kepada usahawan Bumiputera untuk menyertai dalam semua kegiatan ekonomi dan jumlah Bumiputera yang telah mendapat pendidikan telah berkembang dengan pesatnya.
19. Elemen amalan-amalan negatif turut diberikan perhatian oleh Kongres. Kongres menyuarakan bahawa terdapat Bumiputera yang membenarkan diri dipergunakan oleh bukan Bumiputera; ada yang menjual ekuiti di bawah Dasar Penswastaan kepada bukan Bumiputera, bahawa berlakunya kebocoran dalam pemberian kontrak dan pentingnya untuk Bumiputera mengikis sikap dari sekadar mengharapkan ‘handout’ atau pemberian dengan menggunakan pengaruh politik untuk cepat kaya; bahawa terdapat Bumiputera yang bersifat boros, enggan membayar hutang, tidak tekun dan tidak berdaya tahan.
20. Perbincangan bengkel turut menegur penyelewengan dari segi pengagihan kontrak, perolehan atau pemberian lesen. Resolusi 30 ceraian (ii) secara khusus menegaskan pentingnya bagi setiap lapisan kepimpinan negara dan birokrasi benar-benar cekap serta mengamalkan sikap bersih dan beretika murni dalam melaksanakan tugas. Disuarakan bahawa segala keputusan yang melibatkan pemilihan, tawaran dan pengeluaran tender, permit dan lesen hendaklah dilakukan secara jelas dan terbuka. Elemen-elemen negatif yang dibangkitkan dalam bengkel dan Resolusi 30 ceraian (ii), memperingatkan wasiat yang telah diungkapkan oleh Tun Dr. Ismail (Allahyarham) dalam Kongres Ekonomi Islam Kedua pada tahun 1972.
21. Resolusi 37 menyarankan supaya diadakan Kongres Ekonomi Islam yang dihadiri oleh para ulama, usahawan korporat, cendekiawan dan pentadbir agama supaya masalah fatwa dan sekatan, diselaraskan untuk Pembangunan Ekonomi Islam. Alhamdulillah, setelah 17 tahun berlalu, resolusi tersebut akhirnya dipenuhi dengan terlaksananya Kongres Ekonomi Islam Ketiga ini.
22. Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat diadakan pada 10 dan 11 September 1999. Sepuluh (10) kertas kerja dibentangkan, satu khusus mengenai Islam atas tema ‘Penerapan Nilai Agama Ke Arah Membina Insan Bumiputera Yang Berdaya Saing.’ Satu ratus tiga belas (113) resolusi dihasilkan; enam puluh (60) dari resolusi yang dihasilkan menyentuh soal dasar dan struktur yang memerlukan perhatian kerajaan; sebelas (11) resolusi menyentuh Islam secara khusus, dan dari bilangan tersebut, enam (6) darinya wajib diberikan perhatian utama;
Bahawa agama Islam dan budaya Melayu harus menjadi tunggak bangsa dan perlu dijadikan landasan serta pedoman dalam segala dasar dan perancangan.
Perjuangan memartabatkan bangsa Melayu berlandaskan kebudayaan dan keagamaan yang berteraskan ilmu pengetahuan sains dan teknologi bagi menentukan kecemerlangan Melayu dan kelangsungan bangsa.
Sistem pendidikan Islam di semua peringkat pengajian perlu disemak supaya bersesuaian dengan tujuan memahami pandangan global.
Kementerian Pendidikan mengambil alih sekolah-sekolah agama yang daif dan distrukturkan semula pengurusan dan kurikulum.
Struktur organisasi pentadbiran dan pimpinan semua institusi Islam hendaklah disusun semula supaya dapat berfungsi secara berkesan dan masjid dijadikan pusat pembangunan ekonomi dan sosiobudaya ummah.
Kepakaran dan pengalaman Bumiputera mengendalikan institusi kewangan Islam dalam bidang perbankan dan insurans harus dijadikan kesempatan utama (niche opportunity) dan kaedah pembiayaan melalui kaedah Islam perlu dipertingkatkan.
23. Ummah sewajarnya bersyukur akan rekod kemajuan yang telah dicapai oleh institusi kewangan negara menguruskan kewangan Islam hingga meletakkan negara berada di barisan hadapan di peringkat global. Malaysia diiktiraf sebagai pusat yang melaksanakan langkah awal, dalam aspek pengedaran dan pasaran bond Islam yang dikenali sebagai ‘sukuk’. Pasaran ‘sukuk’ Malaysia merupakan pasaran bond Islam terbesar di dunia, merupakan 60% dari sukuk dunia. Negara juga melangkah maju melaksanakan takaful ataupun insurans berlandaskan Islam. Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga dan Keempat menegaskan pentingnya masjid berperanan lebih aktif sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya ummah. Beta juga sering kali membuat seruan supaya peranan masjid diperluaskan sebagai pusat pembangunan ilmu, pembangunan budaya dan pembangunan ekonomi, namun masih terdapat jurang yang luas antara harapan dan pelaksanaan; di sebaliknya terdapat kecenderungan lebih tinggi untuk menjadikan masjid sebagai markas kegiatan politik kumpulan.
24. Petang ini Kongres Ekonomi Islam Ketiga telah sampai ke hari penutupnya. Telah tujuh kali umat Islam berkongres membincangkan soal ekonomi. Tidak menjadi kejutan, jika terdapat unsur-unsur persamaan dari resolusi-resolusi yang dihasilkan dalam Kongres ini. Tidak juga menjadi kejutan jika bilangan resolusi semakin banyak, begitu juga jika resolusi banyak menyentuh soal dasar, struktur dan peranan kerajaan seperti yang diperlihatkan dalam trend sebelum ini. Jika demikian polanya, ia akan memberi cabaran kepada penganalisis untuk memahami minda umat Islam di negara ini sama ada semakin bertambah bergantung kepada peranan Kerajaan untuk memajukan ummah atau sedang beransur-ansur memiliki kekuatan untuk melepaskan diri dari terlalu bergantung pada Kerajaan. Jika peranan Kerajaan begitu penting kepada ummah, maka amatlah penting pula bagi ummah mempunyai sebuah Kerajaan yang kukuh lagi stabil, ditadbir urus secara cekap – secara bijak; Kerajaan yang memiliki latar belakang, pemahaman dan simpati yang tinggi terhadap keperluan ummah supaya dapat memberi tumpuan kepada usaha-usaha membawa kemakmuran kepada ummah.
25. Dalam tempoh lima puluh satu (51) tahun negara mencapai kemerdekaan, adalah satu realiti bahawa berlakunya peningkatan pencapaian sosioekonomi di kalangan sebahagian umat Islam. Bilangan umat Islam yang mendapat peluang pengajian tinggi meningkat berlipat ganda, lalu menghasilkan pertambahan bilangan profesional dan teknokrat Islam di negara ini. Pada hakikatnya bilangan umat Islam yang mencapai paras sosioekonomi yang lebih baik pada tahun 2009 nyata telah jauh bertambah berbanding dari tahun 1957. Namun, umat Islam tidak sepi dari merasa bimbang dan terancam apabila angka-angka pencapaian itu dilihat secara relatif dengan angka pencapaian orang-orang bukan Islam. Pencapaian secara relatif memperlihatkan berlakunya jurang yang semakin luas, membuktikan bahawa kadar pencapaian umat Islam adalah lebih kecil dari kelajuan pencapaian yang bukan Islam. Malah jurang pencapaian lebih lebar mungkin ditemui apabila dilakukan perkiraan kejadian ketirisan ekonomi dan kes pegangan ekuiti secara proksi. Jika ketirisan ekonomi berlaku dan jika pegangan ekuiti secara proksi menjadi norma, apalah ertinya dasar yang digubal untuk membela ummah bila berlaku kegelinciran di peringkat perlaksanaan. Keadaan demikian pastinya merugikan ummah, ibarat memagar kelapa condong; pohonnya tumbuh di kebun kita, buahnya jatuh ke kebun orang.
26. Turut memerlukan perhatian adalah berlakunya jurang pencapaian semakin luas di antara umat Islam yang kaya dengan umat Islam yang miskin, di antara umat Islam yang berada di bandar dengan umat Islam yang berada di luar dan di pinggir bandar, di antara umat Islam yang berilmu dengan yang kurang berilmu, hingga meletakkan umat Islam sesama sendiri berada pada dua hujung pola yang semakin berjauhan. Ia akan bertambah buruk apabila umat Islam yang telah mencapai kejayaan dan memiliki kekayaan bersifat tamak – bersikap haloba, tidak mempunyai keinsafan memenuhi tanggung jawab fardu kifayah untuk membantu masyarakat yang masih tertinggal. Jurang yang berlaku disebabkan faktor-faktor geografi, milik kekayaan, penguasaan ilmu, penguasaan kemahiran, juga kelainan pendekatan politik harus dirapatkan; dan ummah yang belum begitu kuat pada hari ini, tidak dapat lari dari memerlukan peranan penting Kerajaan dalam menggubal dasar yang pragmatik disusuli dengan langkah perlaksanaan yang berkesan.
27. Ummah pula tidak harus terlalu dibelenggu dengan minda rendah diri dan rasa hilang keyakinan; di sebaliknya ummah wajib memberi fokus dan mengambil iktibar dari contoh-contoh kejayaan yang telah membantu mengubah nasib dan pencapaian ekonomi ummah. Lembaga Urusan Tabung Haji, FELDA, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Permodalan Nasional Berhad dan Petronas adalah antara contoh kejayaan dasar dan kejayaan institusi nasional yang diilhamkan, dibangunkan, diuruskan dan dimajukan oleh umat Islam di negara ini.
28. Lembaga Urusan Tabung Haji yang ditubuhkan oleh Kerajaan melalui Akta Parlimen dalam tahun 1962, hari ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai satu badan urus niaga yang bukan sahaja berjaya mengendalikan urusan jemaah haji secara tersusun tetapi turut berjaya menguruskan dana Kewangan Islam secara cekap, bijak lagi produktif. Bermula dari budaya umat Islam menyimpan wang bagi keperluan haji, di bawah-bawah tilam, di dalam bantal, di atas para rumah, dan di dalam tempayan beras, telah dihijrahkan kepada konsep tabungan moden secara halal, satu idea yang dicetuskan oleh pemikir Islam bernama Ungku Abdul Aziz lalu dilaksanakan sehingga mencapai kejayaan cemerlang, membuktikan kehebatan umat Islam menguruskan dana melebihi 17 bilion ringgit secara canggih lagi produktif, memegang amanah 4.4 juta pendeposit.
29. FELDA ditubuhkan melalui Akta Pembangunan Tanah 1956. Bermula dari tahun 1961, FELDA secara sendiri telah membangunkan ladang. Kini kawasan yang dibangunkan oleh FELDA mencecah keluasan lebih 853 ribu hektar, melibatkan penyertaan lebih 112 ribu keluarga. Generasi pertama FELDA telah melakukan hijrah, dari kampung halaman asal. Komuniti FELDA melalui penghidupan baru, dalam perkampungan moden yang memiliki prasarana utiliti, jalan dan parit, kemudahan kesihatan, kemudahan persekolahan dan mengamalkan proses pertanian moden lagi terurus. Perkampungan moden dan terurus ini, turut diperlengkap dengan perkhidmatan sosial; secara langsung telah memberi kemudahan dan peluang pendidikan yang lebih baik kepada generasi kedua FELDA, membolehkan mereka sejak tahun enam puluhan mencapai prestasi akademik lebih cemerlang berbanding dengan anak-anak yang masih tertinggal di kampung tradisional yang belum membangun. Pencapaian akademik lebih cemerlang, telah melayakkan mereka untuk mendapat tempat pengajian di peringkat tertari, membuka ruang kepada mereka mengembangkan bakat, memilih pelbagai profesion. Hari ini generasi kedua dan ketiga FELDA mencipta pencapaian gemilang, menguasai pelbagai bidang, dari guru di sekolah hingga Profesor di Universiti, dari bidan di kampung hingga doktor pakar di hospital, dari kerani di pejabat Kerajaan hingga tokoh korporat di sektor swasta, dari pemain bola sepak hingga juara Akademi Fantasia.
30. Bayangkan betapa nasib lebih 112 ribu keluarga desa, berkemungkinan berada dalam kategori miskin tegar, jika FELDA tidak pernah wujud di negara ini. Namun dari kronologi peristiwa, peneroka tanah rancangan FELDA sebenarnya berpeluang melalui penghidupan di perkampungan lebih moden, sebelas tahun terkemudian dari kemudahan yang dinikmati terlebih awal oleh penduduk-penduduk Kampung Baru yang dibangunkan melalui Rancangan Briggs. Rancangan Briggs dilancarkan oleh Sir Henry Gurney dalam tahun 1950, memberi nikmat kepada 400,000 penduduk setinggan Cina di pinggir hutan berpindah ke Kampung Baru, yang dilengkapkan dengan jalan, bekalan elektrik, bekalan air paip, kemudahan sekolah dan kesihatan serta turut dibantu mendapat pelbagai peluang kerja dan kemudahan niaga ketika masih begitu ramai keluarga Melayu yang tidak memiliki tanah. Dari segi lokasi geografi, kawasan-kawasan Kampung Baru di bawah Rancangan Briggs terletak lebih hampir dengan bandar berbanding dengan kawasan-kawasan pembangunan FELDA. Rancangan Briggs sebenarnya menimbulkan rasa kurang senang Raja-Raja Melayu. Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950, menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu, dan pemerhatian bahawa kemudahan-kemudahan infrastruktur dan sosial yang disediakan di Kampung Baru jauh lebih baik dari apa yang terdapat di kampung tradisi Melayu. Raja-Raja Melayu malah pernah menzahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Sir Henry Gurney sebagai Pesuruhjaya di Tanah Melayu pada tahun 1948, berasaskan kebimbangan Duli-Duli Tuanku itu terhadap apa yang dilakukan oleh Henry Gurney ketika bertugas sebagai Setiausaha Negara di Palestin terhadap penduduk Arab.
31. Rancangan pembukaan tanah melalui FELDA adalah contoh ketara kejayaan gemilang program fardu kifayah yang bukan sahaja berjaya mengatasi masalah kemiskinan bagi ribuan keluarga Islam malah turut berjaya membawa mereka menerokai kejayaan lebih luas dan lebih besar. Kejayaan sesuatu idea begitu juga kejayaan sesuatu dasar bergantung pada kejayaan melepasi ujian di peringkat pelaksanaan. Tabung Haji dan FELDA bermula dari satu idea, digubal dasar untuk memberikan roh kepada idea itu, ditubuhkan institusi untuk memberi kerangka lalu diterjemahkan kepada projek, diuji di peringkat perlaksanaan. Sepanjang melalui liku perjalanan, tidak dinafikan berlaku ketempangan dalam organisasi tersebut; kerana kehidupan yang bernama duniawi ini tidak bebas dari kesilapan dan kealpaan, tidak terlepas dari godaan syaitan dan bisikan iblis; namun oleh sebab air bersih terus mengalir, maka nila yang sekali sekala menitik warna, akhirnya dapat di jernihkan semula.
32. Dasar yang dirangka dengan teliti, digubal dengan baik, bertujuan murni dan dilaksanakan secara adil akan terus mendapat sokongan untuk dikekalkan. Dasar Ekonomi Baru dicetuskan dengan niat ikhlas - dengan matlamat murni untuk menyusun semula masyarakat supaya berlaku perimbangan ekonomi antara kaum dan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Ia adalah formula perancangan pembangunan ekonomi yang dilahirkan secara kolektif oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kata-kata yang diucapkan oleh Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail, dua arkitek utama melakarkan Dasar Ekonomi Baru tidak menyebut bahawa dasar tersebut digubal dengan tujuan mahu memperkayakan kumpulan tertentu, tidak juga bertujuan mahu menindas kumpulan tertentu. Jika semangat DEB itu diamalkan sebagaimana yang disebut di dalam rancangan tersebut – tiada kumpulan tertentu yang akan mengalami sebarang kerugian atau berasa diambil sesuatu daripada diri mereka, sudah pasti tiada orang yang akan menentangnya. Hari ini DEB dipertikaikan, dasar yang pada asasnya baik dan murni ini telah dipersalahkan dan dituntut untuk dikuburkan kerana digelincirkan di peringkat pelaksanaan.
33. Perkara ini disentuh sebagai peringatan kepada apa juga tindakan yang akan disusul dari resolusi yang dihasilkan pada hari ini. Betapa kepimpinan negara perlu memperlihatkan kebijaksanaan menarik rambut di dalam tepung, dalam menghadapi suasana diluah mati emak – ditelan mati bapa, untuk memastikan bahawa dalam melaksanakan keutamaan tetap tercermin kesaksamaan dan dalam melaksanakan kesaksamaan tidak meminggirkan keutamaan.
34. Dua puluh lima tahun pertama negara mencapai kemerdekaan meliputi tempoh masa tahun 1957 hingga 1982. Era tahun 1957 ke tahun 1982 melihatkan ladang yang membuahkan hasil dari pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam tempoh 25 tahun pertama kemerdekaan. Bilangan umat Islam yang memiliki kepakaran dalam era ini boleh disamakan dengan kain singkat, ditutup paha terdedah dada, ditutup dada terdedah paha. Namun kain singkat itu ditenun dari benang belati, teguh kukuh tak mudah reput. Tempoh tersebut merupakan ‘golden era’ atau era emas, dari segi komitmen ummah baik di peringkat pimpinan tertinggi hingga di peringkat pelaksana di bawah. Di samping ummah memiliki tokoh-tokoh pimpinan politik yang memperlihatkan tahap pengorbanan yang tinggi, ummah juga memiliki barisan pentadbir – barisan teknokrat – barisan pelaksana yang melihatkan komitmen yang tinggi dengan semangat kenegaraan yang tinggi. Mereka kecil dari segi bilangan tetapi besar dari segi semangat; ummah masih miskin sumber tetapi kaya dengan pengorbanan. Kerana itu ummah berjaya; era tersebut layak dinamakan sebagai Era Peperangan Badar, ummah meskipun kecil dari segi angka tetapi berjaya membina kejayaan tulen.
35. Fasa dua puluh lima tahun kedua mencapai kemerdekaan, bermula dari tahun 1982 hingga tahun 2007. Kejayaan yang dicapai dalam fasa pertama telah menambahkan angka kejayaan di fasa kedua. Namun era ini memperlihatkan bermulanya pelbagai kepincangan; era ini memperlihatkan berlakunya trend baru dan budaya baru dalam urusan perebutan kuasa. Budaya ‘kuasa’ untuk ‘kuasa’ kerana ‘kuasa’ mula menerap di kalangan ummah. Amalan-amalan yang bercanggah dengan etika dan kesusilaan semakin merebak; kepentingan diri mula mengatasi kepentingan kumpulan, kepentingan kumpulan mula mengatasi kepentingan nasional. Perebutan, perebutan dan perebutan terus berlaku, terus berlaku dan terus berlaku. Kaedah mencapai kemenangan dan reaksi akibat ketewasan menambah lemahkan ummah. Kalimah-kalimah pengorbanan, kesetiaan kepada perjuangan, ketulusan dan keikhlasan bagaikan tidak berharga lagi. Kejayaan awal yang dicapai di fasa pertama yang sepatutnya membina kejayaan lebih besar di fasa kedua mula tergugat; ummah mula berpecah dan semakin terpisah. Era ini bagaikan mempunyai unsur-unsur persamaan dengan peristiwa sedih yang berlaku dalam suasana Peperangan Uhud, sifat tamak berebut harta rampasan, menjadi punca kepada kekalahan tentera Islam.
36. Umat Islam perlu menilai secara jujur cabaran yang melanda dunia yang begitu membimbangkan disebabkan sistem ekonomi dan sistem kewangan yang disifatkan telah terbakar hangus. Bagaimana struktur ekonomi dan kewangan memerlukan jurubina yang dapat memulihkan dunia dari debu-debu kemusnahan yang telah berlaku itu. Betapa pentingnya di saat ini untuk ummah bersatu dalam pemikiran, bersatu dalam pendekatan, bersatu dalam tindakan; betapa perlunya ummah berkata sepakat dalam niat dan hasrat membina ummah yang lebih kuat, membangunkan ummah yang lebih berjaya.
37. Akhir-akhir ini dalam interaksi pertemuan Beta dengan pelbagai lapisan rakyat, persoalan ‘survival’ ummah merupakan kebimbangan utama. Sifat ummah yang lebih taksub dan lebih setia kepada kafilah masing-masing telah mengalihkan ummah dari menuju kiblat perjuangan yang sama. Perlakuan ummah ketika ini tentunya amat tidak menepati dengan semangat kesedaran yang disuarakan dalam Kongres Ekonomi Islam Kedua tiga puluh tujuh tahun (37) dahulu. Kongres Ekonomi Islam Kedua merumuskan bahawa Islam itu hanya dapat berlangsung dalam keadaan masyarakat Islam yang bersatu, padu dan kuat, menguasai urusan pentadbiran, menguasai sumber-sumber dan memiliki kekuatan ekonomi.
38. Semoga Jawatankuasa Penganjur dan para peserta Kongres Ekonomi Islam Ketiga ini memberikan tumpuan untuk menghidupkan semula dan memberikan peringatan akan semangat dan kesedaran tersebut; apa juga yang diperbincangkan dan apa juga rumusan yang dicapai tidak mungkin dapat dilaksanakan dan jauh sekali dari dapat dipenuhi jika umat Islam tidak kembali bersatu dalam satu ukhuwah perjuangan untuk mempertahankan maruah bangsa dan kehormatan negara. Berpeganglah kepada tali persaudaraan sebangsa – seagama, dan amalkan semangat biduk berlalu kiambang bertaut. Umat Islam di negara ini jangan sampai mengalami nasib menang sorak kampung tergadai, berdagang di bumi sendiri kerana dagang lalu ditanak, akhirnya itik kehausan di air dan ayam kebuluran di kepuk.
39. Atas kesedaran bahawa Islam dan umat Islam itu merupakan perkara dan subjek yang begitu dekat di hati Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Beta menyarankan agar Jawatankuasa Kongres turut mempersembahkan resolusi yang telah dihasilkan untuk dijadikan kertas makluman dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.
40. Semoga Allah Subhanahu Wataala memberikan petunjuk - melimpahkan hidayah - mempertemukan kita jalan yang diredai. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta lafazkan bahawa Kongres Ekonomi Islam Ketiga ditutup secara rasminya.
+
Tiada ulasan:
Catat Ulasan