Imej/Foto: PERKASA
Perkasa anjur perhimpunan pribumi 22 Mac
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Perkasa Negara akan diadakan di Kompleks Sukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bangsar pada 22 Mac ini.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan berkata, perhimpunan itu bertujuan memupuk semangat penyatuan dan perpaduan pribumi daripada pelbagai fahaman dan ideologi politik bagi membincangkan hak-hak pribumi dan kedaulatan negara.
Katanya, penganjuran yang bertemakan 'Pribumi Bertindak Demi Negara' itu bakal menghimpunkan ribuan kaum pribumi dan ratusan pertubuhan pribumi termasuk dari Sabah dan Sarawak.
"Perhimpunan Perkasa dijadual berlangsung pada sebelah pagi dan terbuka kepada orang ramai sementara sidang kemuncak pula diadakan pada pukul 2 petang.
"Perkasa menjangkakan kehadiran sekurang-kurangnya 10,000 orang menyertai perhimpunan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Fuad yang juga pengerusi program berkata, perhimpunan kali ini juga bakal menghimpunkan tokoh akademik dan pemikir yang akan menyuarakan ruang kepakaran masing-masing bagi merungkai permasalahan dan dilema kaum pribumi di negara ini.
Antara yang sah menghantar wakil ke perhimpunan tersebut ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Kumpulan Bajau dari Sabah, wakil pribumi Sarawak dan wakil Orang Asli.
"Majlis tersebut akan diakhiri dengan pengisytiharan 10 perkara Tindakan Perjuangan Perkasa dan pembentangan Deklarasi 22 Mac 2009," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia, 25 Februari 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan