Ku Seman
Ku Hussain
"Kita perlu kembali menelaah Penyata Razak (1956) yang menekankan peri pentingnya bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan untuk membina perpaduan di kalangan pelbagai kaum."
KEGAGALAN menzahirkan sekolah satu aliran selepas lebih setengah abad negara mencapai kemerdekaan adalah manifestasi “perpaduan” di negara ini. Usaha membina dan menyuburkan perpaduan menjadi begitu retorik apabila asasnya pada sekolah satu aliran tidak berupaya dilakukan.Ini kerana sesetengah pemimpin politik masih terkepung dengan sentimen melulu tentang identiti kaum hingga menolak teras pembinaan sebuah negara bangsa.
Isu sekolah satu aliran yakni tidak ada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bukan perkara baru. Isu ini telah dibangkitkan sejak lama dulu oleh pihak yang melihat kepentingan perpaduan melampaui sentimen kaum. Tetapi malangnya ada kalangan pemimpin politik Melayu tidak berani mengambil risiko politiknya. Sementara kalangan pemimpin politik bukan Melayu pula melihat ini sebagai penghapusan identiti kaum masing-masing.
Sekolah satu aliran iaitu sekolah kebangsaan bukan sekolah Melayu tetapi sekolah untuk semua kaum. Sekarang ini pun orang Melayu tidak mempunyai sekolah sendiri berbanding Cina dan India yang mempunyai sekolah jenis kebangsaan. Pemimpin politik bukan Melayu gagal mewaraskan kaum mereka bahawa sekolah satu aliran adalah sekolah semua anak Malaysia.
Sebenarnya kegusaran atau sengaja kelihatan gusar bahawa sekolah satu aliran akan menghapuskan identiti kaum adalah suatu yang melulu. Kalau benar sekalipun sekolah satu aliran menghapuskan identiti kaum mereka sepatutnya lebih memikirkan perpaduan dalam negara pelbagai kaum. Perpaduan di mana-mana negara sekalipun adalah tunggak kemajuan. Tidak ada perpaduan bermakna tidak ada kemajuan yang berterusan. Tetapi hakikat dan falsafah sekolah satu aliran di negara ini sama sekali tidak ke arah menghapuskan identiti mana-mana kaum.
Sekolah satu aliran akan membina kebanggaan bersama sebagai warganegara apabila menggunakan bahasa pengantar yang sama iaitu bahasa Melayu, sistem pembelajaran yang sama dan menikmati kemudahan pendidikan yang sama. Persamaan inilah yang menjadi titik mula bagi seseorang warganegara menganggap tiada perbezaan walaupun berlainan kaum. Inilah yang dinamakan perpaduan.
Orang bijak pandai ada berkata, kalau mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maknanya masa kecil lagi diasuh hidup dan berinteraksi dengan kaum lain, menggunakan satu bahasa dan memahami budaya rakan sebaya. Tetapi hal ini tidak akan berlaku kalau diberi kelonggaran orang Cina dan India mempunyai sekolah pengantar bahasa ibunda sendiri. Hanya orang Melayu saja yang mengisi sekolah kebangsaan, itu bukan sekolah orang Melayu.
Ungkapan “perpaduan” menjadi semakin memualkan apabila kalangan pemimpin politik tidak berani bertegas untuk membina perpaduan. Perpaduan menjadi barang mainan dan kita telah membuang banyak tenaga dan masa untuk mengisi retorik perpaduan sedangkan kita tidak berani membina asas perpaduan yang kukuh.
Perpaduan tidak boleh tercapai hanya dengan berkempen dengan slogan semata-mata. Perpaduan bukan benda yang boleh ditampal tetapi mesti tumbuh dan subur secara semulajadi.
Melampaui
Sekolah satu aliran harus dilihat melampaui kepentingan politik yang sempit dan sengkek, tidak kiralah sama ada kalangan Melayu atau bukan Melayu. Modul perpaduan menerusi sekolah satu aliran ini tidak wajar dikorbankan hanya kerana mahu menjaga kepentingan dalam politik.
Apakah maknanya kejayaan dan kepentingan politik kalau selepas setengah abad mencapai kemerdekaan kita tidak menggapai perpaduan? Ini satu kegagalan berpolitik sebenarnya.
Gelombang isu yang menjurus kepada sekolah satu aliran kali ini agak hebat. Kalau dibandingkan dengan sebelum ini, kali ini seolah-olah membawa petanda kewarasan kalangan pemimpin politik Melayu, bukan Melayu dan juga kalangan pembangkang. Biarpun ada kalangan pemimpin politik bukan Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu yang jumud tetapi nada yang lain memperlihatkan keyakinan.
Walau apa sekalipun, gelombang politik Melayu mesti menjadi peneraju supaya gagasan sekolah satu aliran menjadi kenyataan. Tanpa berpaksikan kepada sentimen kaum, pemimpin politik Melayu tidak ada alasan untuk menangguh perlaksanaan sekolah satu aliran. Kalau mereka berkata belum sampai masanya, katakan secara tegas bila masa yang sesuai untuk sekolah satu aliran? Rakyat sudah tidak mahu lagi sikap cuci tangan dan berdolak dalik.
Selepas politik Melayu gagal meletakkan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan, apakah mereka juga mahu mencipta kegagalan untuk membina asas perpaduan dengan sekolah satu aliran?
Apabila bahasa Melayu menjadi bahasa ketiga atau keempat di negara ini, masa depan sekolah kebangsaan juga akan senasib dengan bahasa Melayu.
Apakah kita masih boleh bercakap tentang “perpaduan kaum” kalau semua warganegara hanya memahami dan mengenali kaum lain selepas mereka di alam pekerjaan? Ini kerana masa kanak-kanak mereka telah dipisahkan oleh sistem pendidikan yang membenarkan sekolah berdasarkan kaum? Meminjam gelombang sekolah satu aliran kali ini yang agak besar, semua pihak mesti mencari kewarasan dengan mengenepikan perjuangan politik kaum yang sempit. Kita perlu kembali menelaah Penyata Razak (1956) yang menekankan tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan untuk membina perpaduan kalangan pelbagai kaum. Kalangan bukan Melayu mesti diyakinkan bahawa sistem dan dasar pendidikan negara ini tidak pernah mempunyai agenda menghapuskan identiti kaum bukan Melayu.
Di sekolah kebangsaan mereka masih boleh mempelajari bahasa ibunda masing-masing. Agenda utama sekolah satu aliran adalah membina asas perpaduan dan kalau tidak ada asas, berkurunlah kita akan bercakap perkara yang sama tanpa sebarang hasil.
(Sumber: Utusan Malaysia, 1 November 2009)
+
3 ulasan:
Salam bro, satu artikel yang baik untuk tatapan semua warga di Malaysia...... sepatutnya orang yang mendakwa pejuang bahasa lebih mendahului mendesak isu ini daripada bertungkus lumus berdemo menghapuskan PPSMI..
Pendatang banglades, Nepal lebih cepat fasih berbahasa Melayu dari mereka yang telah berada di Malaysia sejak lahir.....
Kembara Politik,
Satu makalah yang kuat sekali dalil-dalilnya,dan susah hendak dipatah atau dinafikan. Untuk renungan rakyat dan pemimpin semua.
Kelakar melihat org yg selalu menentang PPSMI tapi bila bab ni diam membisu..
p/s: nampak sgt pejuang hipokrit.
Catat Ulasan