KANGAR 2 Jan. - Masyarakat negara ini digesa memboikot produk keluaran Yahudi dan Amerika Syarikat (AS) berikutan tindakan rejim Israel itu yang tidak mengendahkan pandangan dunia agar menghentikan serangan terhadap Palestin.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, masanya sudah tiba untuk semua masyarakat yang mencintai keamanan agar berhenti membeli barangan keluaran Yahudi sebagai salah satu cara bagi menunjukkan protes terhadap tindakan Israel selama ini.
Katanya, tindakan negara rejim itu dan AS yang tidak pernah bersetuju dengan resolusi dan pelan damai menunjukkan keangkuhan mereka yang berterusan melancarkan serangan sehingga mengorbankan golongan yang tidak bersalah.
''Sekiranya ada pilihan untuk membeli barangan selain yang dikeluarkan oleh Yahudi dan AS, adalah amat wajar masyarakat yang mencintai keamanan memboikot barangan yang dikeluarkan negara itu.
''Semangat yang tinggi perlu disertakan dalam diri masing-masing sebagai tanda simpati terhadap masyarakat Palestin berikutan tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan dan AS yang menyalurkan bantuan kewangan kepada rejim itu," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pergolakan Israel-Palestin selepas Majlis Perutusan Khas Menteri Besar Perlis Sempena Sambutan Tahun Baru Hijrah 1430 dan Masihi 2009 di Dewan Warisan di sini hari ini.
Dalam pertemuan bersama ketua-ketua jabatan dan kakitangan kerajaan itu, Md. Isa berkata, walaupun beliau berpuas hati terhadap prestasi kerja yang ditunjukkan, masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
''Kehendak pelanggan sentiasa berubah-ubah jadi kita perlu meningkatkan kematangan dalam bekerja agar semua kehendak itu dapat dipenuhi.
''Pada tahun ini semua kakitangan kerajaan pelbagai peringkat perlu berusaha lebih gigih dalam memastikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan tahun 2010 sebagai sifar kemiskinan tegar tercapai," ujarnya.
Menurutnya, terdapat kira-kira 2,000 penduduk di negeri ini yang masih tergolong dalam kategori miskin tegar dan pelbagai program perlu dijalankan untuk menangani masalah tersebut.
''Dalam menyelesaikan masalah miskin tegar ini termasuk dengan pemberian rumah yang lebih selesa, ia bukan bermakna mereka tidak lagi tergolong dalam kelompok miskin tegar.
''Oleh itu, agensi kerajaan perlu bekerjasama untuk memastikan golongan miskin tegar mempunyai pendapatan sampingan bagi merubah nasib mereka seperti terlibat dalam penanaman sayur-sayuran dan pertanian lain yang sesuai," jelasnya.
Selain bantuan yang disalurkan kepada golongan miskin tegar itu katanya, mereka juga perlu mempunyai keazaman untuk berubah dan berhijrah bagi menikmati kehidupan yang lebih baik.
Sumber: Utusan Malaysia, 3 Januari 2009
+
Tiada ulasan:
Catat Ulasan